Tanpa sebarang pengiktirafan, kehidupan mereka akan terus ketinggalan dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan. Justeru, belas ihsan sahaja diharapkan daripada orang ramai.

Di Malaysia, nasib pelarian sangat bertuah kerana kerajaan bermurah hati menghulurkan bantuan atas dasar kemanusiaan.

Malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut memainkan peranan bagi meringankan beban hidup mereka.

MOHD. DAUD SULAIMAN
MOHD. DAUD SULAIMAN 

Antara yang menghulurkan bantuan adalah Malaysian Relief Agency (MRA), sebuah NGO yang sangat aktif dalam memperjuangkan nasib anak-anak pelarian di negara ini.

Presidennya, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, kebanyakan anak-anak pelarian yang berada di negara ini masih jauh ketinggalan dalam bidang akademik.

Katanya, kumpulan tersebut masih mengharapkan bantuan dan ihsan orang ramai untuk menyediakan peluang kepada mereka bagi menimba ilmu.

Namun begitu, katanya, situasi serta sistem perundangan negara menyaksikan kumpulan tersebut gagal mendapat bantuan sepenuhnya ekoran Malaysia sendiri tidak memberi pengiktirafan kepada golongan pelarian. Ini kerana Malaysia tidak menandatangani Konvensyen 1951 dan Protokol 1961 berkaitan orang pelarian di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

KECERIAAN jelas kelihatan pada wajah kanak-kanak Bajau Laut yang sudah selesa dengan kehidupan di p
KECERIAAN jelas kelihatan pada wajah kanak-kanak Bajau Laut  yang sudah selesa dengan kehidupan di pesisir laut Semporna, Sabah.

“Secara diplomatiknya, kita masih belum menuju ke arah itu, namun Malaysia tidak pernah menghalang mereka untuk berada di negara kita, dan itu istimewanya Malaysia.

“Saya sendiri melihat anak-anak Rohingya yang menjadi pelarian di Semenanjung Malaysia bersungguh-sungguh menuntut ilmu di sekolah pelarian yang diwujudkan oleh banyak NGO termasuk MRA.

“Malah kami sedar peluang untuk mereka mengenal ilmu perlu diberikan walaupun sekadar asas sahaja,” katanya kepada S2, baru-baru ini.

MOHD. DAUD SULAIMAN (kanan) menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan
MOHD. DAUD SULAIMAN (kanan) menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan. 

Mohd. Daud berkata, beliau bersyukur kerana dapat menikmati pendidikan sejak kecil lagi kerana peluang pendidikan yang diterima rakyat negara ini sangat mudah, sekali gus membolehkan kita menjadi seorang doktor pada hari ini, hasil daripada pendidikan yang diberikan kerajaan.

Atas kesedaran tinggi itu, katanya, MRA bertekad memberikan yang terbaik dalam bidang pendidikan kepada kanak-kanak pelarian di negara ini.

MISI MRA-UMS

AKTIVITI harian kanak-kanak Bajau Laut yang sering berdamping
AKTIVITI harian kanak-kanak Bajau Laut.

Kesempatan baru-baru ini digunakan bersama petugas MRA Cawangan Sabah bagi melaksanakan Misi Muhibbah yang turut melibatkan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai rakan pelaksana misi kemanusiaan dan pendidikan di Pulau Mabul, Semporna dan Kota Kinabalu, Sabah.

Mohd. Daud berkata, seorang pensyarah dan pengkaji mengenai isu pendidikan dan kewarganegaraan di Pulau Mabul, Dr. Badariah Saibeh telah menyalurkan data kepada MRA.

Katanya, menerusi data itu, pihaknya mengenal pasti mengapa isu pendidikan menjadi motif utama kajian beliau.

Tambah Mohd. Daud, pihaknya dimaklumkan bahawa ramai anak-anak kecil berstatus tanpa kewarganegaraan berada di pulau tersebut mengalami keciciran dalam bidang pendidikan.

Tegasnya, perkara yang berlaku itu sangat membimbangkan kerana tanpa pendidikan, masalah sosial mudah berlaku, sekali gus menjadi masalah utama sekiranya tidak dapat dibendung.

“Ya.., tanpa kewarganegaraan, mereka tidak mempunyai peluang untuk bersekolah seperti anak-anak lain. Saya juga difahamkan mengapa isu kewarganegaraan ini menjadi lebih rumit dan sukar untuk diterjemah.

“Mengambil kira peranan sebenar kami di pihak NGO, kami melihat isu pendidikan lebih besar daripada masalah kewarganegaraan.

“Meskipun begitu, saya tetap menghormati dasar kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk cuba menyelesaikan isu kewarganegaraan ini dan secara akademiknya, saya menyokong kajian yang dilakukan Dr. Badariah untuk mengenal pasti masalah tersebut.

PULAU Mabul turut menjadi perkampungan bagi masyarakat bajau laut
PULAU Mabul turut menjadi perkampungan bagi masyarakat Bajau Laut.

Sehubungan itu, katanya, MRA bersama UMS, pihak berkuasa tempatan seperti Jabatan Imigresen Sabah, Jabatan Pendaftaran Negara (Sabah) dan pemimpin tempatan dari Majlis Hal Ehwal Anak Negeri terlibat dalam satu perbincangan akademik mengenai isu pendidikan dan kewarganegaraan di negeri Sabah yang diadakan di UMS.

BINA PUSAT KOMUNITI

Mengulas suasana kehidupan di Pulau Mabul, Mohd. Daud berkata, masih ramai anak-anak kecil yang tidak bersekolah, sekadar bermain di gigi pantai dan mendayung sampan kecil bagi menghabiskan masa lapang.

DISKUSI meja bulat anjuran Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan
DISKUSI meja bulat anjuran Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS dan MRA merupakan usaha membantu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sabah bagi mendapat bantuan pendidikan sewajarnya.

Jelasnya, bukan satu perkara mudah untuk mendekati anak-anak kecil tersebut termasuk mengubah gaya kehidupan seharian mereka daripada ‘santai di pantai’ ke alam persekolahan. Ini kerana laut dan pantai sudah sebati dengan kehidupan mereka.

“Namun saya terus bertekad agar kami di MRA dapat berbuat sesuatu untuk mereka. Jika sebelum ini, ada beberapa NGO dan orang perseorangan di Pulau Mabul bersungguh-sungguh membina sekolah dan memberi peluang pendidikan, kami juga mahu melakar harapan yang besar untuk anak-anak ini.

MOHD. DAUD SULAIMAN (tengah, bertopi) bersama sukarelawan MRA
MOHD. DAUD SULAIMAN (tengah, bertopi) bersama sukarelawan MRA .

“Sekurang-kurangnya mereka lebih cakna dan mahu belajar. Bersama pihak UMS, kami berusaha dan bercadang untuk mengadakan sebuah pusat komuniti yang lebih besar fungsinya agar anak-anak terpinggir ini mendapat peluang yang lebih besar dari sudut pendidikan, kemahiran dan pendidikan sosial.

“Meskipun ia bukanlah satu perkara mudah, namun cita-cita ini kami bulatkan agar ia akan berhasil dengan gabungan wira dan wirawati kemanusiaan serta akademik yang kami miliki,” katanya penuh yakin.

IMPIAN CIKGU ALI

Semasa berada di Pulau Mabul, Mohd. Daud bertemu dengan Cikgu Ali, satu-satunya tenaga pengajar di Mabul Kids Education School (MKES) iaitu sebuah pusat pembelajaran alternatif yang mendidik hampir 80 kanak-kanak tanpa status warganegara di Pulau Mabul.

ATAS dasar kemanusiaan, sukarelawan yang menyertai misi MRA di
ATAS dasar kemanusiaan, sukarelawan yang menyertai misi MRA di Sabah bersiap sedia menghulurkan bantuan kepada masyarakat setempat di Pulau Mabul, Semporna.

Jelasnya, usaha Cikgu Ali itu sangat murni kerana menjadi satu titik perjuangan yang cukup baik untuk memberi kesedaran kepada anak-anak di pulau tersebut menikmati satu lagi kehidupan yang lebih baik.

Katanya, biarpun dalam suasana sekolah yang sangat usang tanpa apa-apa kemudahan asas, Cikgu Ali tetap gigih meneruskan sesi pembelajaran buat anak-anak Pulau Mabul.

BADARIAH SAIBEH (dua dari kiri) menjelaskan status dan keadaan
BADARIAH SAIBEH (dua dari kiri) menjelaskan status dan keadaan pusat pembelajaran alternatif MKES kepada sukarelawan MRA dan  wakil guru  di Pulau Mabul.

“Kelas yang diadakan oleh Cikgu Ali hanya berlangsung pada sebelah malam dan bergantung kepada minyak diesel untuk menghidupkan generator. Kadang ada, kadang tiada. Tetapi itulah perjuangan sebenar.

“Wira yang tidak didendang ini begitu bermakna buat anak-anak kecil di pulau ini kerana berkhidmat tanpa mengenal erti lelah. Malah hidupnya diserahkan untuk berbakti di sekolah usang ini.

“Jarang sekali saya melihat orang yang sebegini gigih. Namun itulah kehidupan. Tidak menunggu tongkat untuk berjalan,” katanya.