Jika menghadapi masalah mental, mereka akan dirujuk pakar sakit jiwa sama ada layak dibicarakan atau sebaliknya. Jika tidak ada latar belakang berkaitan masalah mental, mereka akan dibicarakan seperti orang normal.

Ada juga kes golongan OKU yang mempunyai masalah berkaitan ketidakupayaan pada tahap intelektual yang dimiliki atau dipanggil lembam, dihukum penjara kerana terlibat dalam jenayah seksual seperti satu kejadian pada Mac lalu, yang mana seorang lelaki mencabul adik kandungnya sendiri.

Jadi, tiada siapa berhak menentukan apa hukuman atau dakwaan yang perlu dikenakan kepada pesalah OKU melainkan mahkamah, jauh sekali lagi warganet laman media sosial.

Ini kerana, baru-baru ini tular tentang kes seorang perempuan ‘diraba’ lelaki autisme di sebuah restoran, yang mana ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis.

Rata-rata warganet meluahkan pendapat masing-masing yang mengutuk tindakan ibu bapa mangsa yang tidak prihatin terhadap lelaki autisme berkenaan dan tidak kurang juga menyalahkan ibu bapa lelaki yang berusia 22 tahun itu, yang gagal mengawal anaknya.

Dalam kejadian itu, ibu bapa mangsa tidak mengetahui remaja lelaki berkenaan merupakan OKU dan laporan dibuat berdasarkan kesalahan seksual yang dilakukan terhadap mangsa ketika di restoran berkenaan.

Polis turut mengakui penahanan lelaki tersebut adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP), serta bertindak berlandaskan batas undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Pun begitu, ibu kepada lelaki berkenaan mendakwa anaknya mempunyai kapasiti mental budak berumur 13 tahun dan terpaksa bermalam di dalam lokap pada malam hari jadinya, yang sudah pasti memberi kesan serta gangguan emosi terhadap anaknya.

Menurut Pensyarah Kanan dan Perunding Psikologi Klinikal, Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Dr. Kartini Ilias, dalam konteks perundangan, pihak berkaitan seharusnya menggunakan garis panduan yang jelas untuk mengendalikan kes berkaitan golongan OKU.

Katanya, pihak polis sememangnya telah bertindak mengikut SOP berdasarkan aduan yang mereka peroleh, namun masih ada ruang budi bicara dan rasa kemanusiaan dalam kendalian kes, memandangkan pesalah adalah daripada golongan kelainan upaya.

“Pada saya, tidak perlu sampai ditahan dalam lokap yang mungkin boleh menyebabkan dia menjadi lebih trauma kerana persekitaran lokap, selain cara polis layan ketika sesi soal jawab sepanjang tahanan reman.

“Ada kemungkinan dia akan menjadi lebih ganas dari segi tingkah laku dengan mencederakan diri sendiri kesan daripada tekanan dan ketakutan berada di dalam lokap,” jelasnya.

Tambah Kartini, pendidikan seks masih lagi dipandang sebagai isu yang tabu pada masyarakat dan perkara berkenaan seharusnya tidak boleh diambil enteng oleh ibu bapa dan masyarakat.

Ujarnya, segelintir ibu bapa dan masyarakat masih ada yang tidak menyedari tentang keinginan seksual yang ada pada golongan autisme, menyebabkan mereka tidak mengambil berat tentang keperluan dan keinginan mereka.

“Golongan autisme juga mempunyai nafsu. Pendidikan seks perlu didedahkan dengan cara yang betul kepada anak-anak sebegini sedari awal. Amat penting ibu bapa untuk mempelajari ilmu dan teknik yang betul untuk mengajar anak autisme pendidikan seks.

“Masyarakat juga harus peka dan faham tentang keadaan golongan autisme kerana mengajar mereka juga berdepan dengan cabaran yang bukan mudah,” katanya.