Bantahan meletus setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dilaporkan berkata, kerajaan komited untuk meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan (2019). Ratifikasi beberapa konvensyen dan triti ini selaras dengan manifesto Pakatan Harapan, jelas menteri itu lagi.

Apakah sebenarnya ICERD ini? Kenapakah hasrat kerajaan meratifikasinya dibantah? ICERD adalah satu konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan merupakan satu instrument hak asasi manusia. Ia diterima oleh Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada 21 Disember 1965 dan mula berkuat kuasa pada 4 Januari 1969. Mengikut portal Wikipedia, konvensyen ini kini disertai oleh lebih 170 pihak negara (states parties).

Artikel 5 ICERD menyatakan bahawa semua negara yang telah meratifikasi konvensyen ini hendaklah menghalang dan memusnahkan diskriminasi ras dalam semua bentuk dan menjamin hak setiap orang, tanpa perbezaan ras, warna kulit, asal usul etnik atau bangsa, mendapatkan kesaksamaan di sisi undang-undang.

Menyuarakan bantahannya kepada tindakan kerajaan meratifikasi konvensyen ini, Majlis Perundingan Melayu (MPM) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bercadang menghantar satu memorandum bantahan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat.

Menurut Pengerusi MPM, Datuk Hasan Mad, memorandum bantahan itu akan menyebut, antara lain bahawa ICERD jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak-hak istimewa Raja-raja Melayu, agama Islam dan kaum bumiputera.

Tiga kumpulan aktivis (Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Malaysian Lawyers Circle, dan Concerned Lawyers for Justice) secara bersama menyatakan baru-baru ini bahawa sementara mereka menentang segala bentuk diskriminasi ras di negara ini, mereka menghargai dan menghormati kebijaksanaan datuk moyang kita dulu memasukkan peruntukan khas dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak dan dalam masa sama memberi peluang kepada bukan pribumi terutamanya orang Cina dan India, mendapatkan kewarganegaraan di negara ini.

Kumpulan aktivis ini menegaskan bahawa peruntukan yang terdapat dalam ICERD itu adalah amat luas sekali dan jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Takrif “diskriminasi ras” (racial discrimination) yang ada dalam konvensyen ini jelas bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Jika konvensyen ini dilaksanakan di negara ini, parti-parti politik seperti PPBM, UMNO, MCA, MIC dan parti-parti berasaskan etnik di Sabah dan Sarawak menjadi tidak sah (illegal).

Artikel 1(1) ICERD menyebutkan: “In this Convention, the term “racial discrimination” shall mean any distinction, exclusion, restriction or preference based on race, colour, descent, or national or ethnic origin which has the purpose or effect of nullifying or impairing the recognition, enjoyment or exercise, on an equal footing, of human rights and fundamental freedoms in the political, economic, social, cultural or any other field of public life.”

Andainya konvensyen ini dilaksanakan di negara ini, beberapa institusi sedia ada seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Rejimen Askar Melayu terpaksa dimansuhkan. Beberapa undang-undang lain yang telah wujud ratusan tahun seperti Enakmen Tanah Rizab Melayu (yang menjadi asas perundangan tanah rizab Melayu di seluruh Semenanjung) juga terpaksa dimansuhkan.

Kesimpulannya, sekiranya kerajaan berhasrat meratifikasi ICERD dan melaksanakan sepenuhnya kehendak konvensyen itu di negara ini, Perkara 153 perlu dipinda dan pindaan serupa itu memerlukan bukan hanya undi majoriti dua-pertiga Dewan Rakyat dan Dewan Negara, bahkan juga kelulusan dan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Menggesa agar tindakan meratifikasi ICERD ini tidak akan dibuat secara terburu-buru, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, sepatutnya kerajaan mengadakan satu proses konsultasi (rundingan) dengan semua pihak berkepentingan serta mendapatkan mandat rakyat terlebih dahulu. Beliau tidak tahu sama ada setakat ini Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara telah dirujuk sebelum perkara ratifikasi konvensyen ini disebutkan oleh Menteri di Jabatan Menteri berkenaan.

Hati kecil saya berkata, kalau kerajaan Pakatan Harapan ini masih lagi menghadapi masalah melaksanakan banyak lagi janji lain dalam manifestonya yang ada kait rapat dengan kepentingan rakyat miskin dan terpinggir di negara ini, kenapa (atas alasan mahu melaksanakan manifestonya) ia kini terburu-buru mahu meratifikasi suatu konvensyen yang bukan hanya bertentangan dengan Perlembagaan negara ini, bahkan juga tidak mendapat restu 100 peratus rakyat negara ini dan belum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja?

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.