Dengan harga serendah RM57 seorang, aktiviti berkumpulan tersebut boleh dinikmati di Melaka Wonderland setiap hari termasuk hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum, kecuali hari Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif Me­laka Wonderland, Seow Cheng Swee berkata, menerusi pakej keluarga, korporat atau kumpulan tersebut, bayaran dikenakan meliputi pek makan tengah hari dan penyertaan tiga jenis permainan di taman tema tersebut.

“Penyertaan minimum bagi pakej ini ialah 30 orang, malah pihak kami memberi tiket ma­suk percuma kepada pemandu bas yang menyertai kumpulan itu.

“Tawaran ini terbuka tanpa had masa kerana Melaka Wonderland menyediakan pelbagai jenis permainan dan kemudahan taman tema air yang menarik untuk disertai pengunjung,” katanya ketika ditemui di pejabat Melaka Wonderland di Lebuh Ayer Keroh di sini hari ini.

Melaka Wonderland menjadi lokasi program Cuti-Cuti Riuh [email protected] Wonderland anjuran bersama Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia pada 13 Oktober ini.

Pada tarikh tersebut, orang ramai berpeluang memeriahkan Konsert Mini Kumpulan Utusan yang membariskan artis popular tempatan, selain penganjuran beberapa pertandingan melukis untuk kanak-kanak dan studio pameran.

Menurut Cheng Swee, pi­haknya turut menyediakan Pakej Sekolah Melaka Wonderland dengan hanya mengenakan harga tiket masuk sebanyak RM42 seorang untuk murid sekolah rendah dan RM48 seorang (pelajar sekolah menengah).

Katanya, menerusi pakej itu juga, satu tiket masuk percuma diberikan kepada seorang guru dan pemandu bas, manakala had minimum penyertaan untuk layak menerima pakej itu ialah 25 orang.

Tawaran pakej ini juga sah setiap hari termasuk cuti hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum kecuali hari Isnin, kata beliau.

Sementara itu beliau berkata, Melaka Wonderland menyediakan Pakej Hari Keluarga 2018 de­ngan menawarkan bayaran tiket masuk berpatutan dengan syarat penyertaan minimum sebanyak 35 peserta.

Menurutnya, tiga pakej yang disediakan ialah Totti iaitu harga masuk RM36 untuk dewasa dan RM31 (kanak-kanak) pada waktu puncak, manakala tiket masuk RM32 (dewasa) dan RM25 (kanak-kanak) pada hari biasa serta membolehkan pengunjung menggunakan pas masuk ke taman tema air sepanjang hari.

Pakej kedua pula ialah Pinky iaitu bayaran masuk RM45 untuk dewasa dan­ RM39 (kanak-kanak) serta boleh menikmati set makan tengah hari dan kemudahan taman tema air.

Pakej ketiga ialah Dino, bayaran sebanyak RM71 untuk dewasa dan RM54 (kanak-kanak) serta pengunjung boleh menikmati kemudahan taman tema air, set makan tengah hari dan tiga jenis permainan telematch.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai pakej-pakej yang ditawarkan ini boleh berhubung terus menerusi talian 06-2313333, e-mel di [email protected] atau di laman web: www.melakawonderland.com.my.