Berada di ketinggian 2,476 meter dari paras laut (dpl), hutan yang tebal diterokai, laluan berliku dan naik serta turun bukit dihadapi dengan tabah. Segala cabaran dan halangan ditempuh tanpa bersunggut. Malah tubuh dan pakaian sentiasa bermandikan keringat. Cuaca yang tidak menentu termasuk hujan dan panas setia menemani pendaki setiap masa, sekali gus menjadi ujian buat mereka.

Kesukaran yang ditempuhi tidak mematahkan semangat peserta. Setiap langkah perjalanan, pengembaraan dan pendakian ini merupakan satu pengalaman baru dan ia tidak dapat dilupakan atau dinilai dengan wang ringgit.

Panorama indah alam semula jadi yang cukup mempesona membuatkan sesiapa sahaja sukar menggambarkannya dengan kata-kata. Itu adalah nikmat yang tidak terhingga dikecapi setiap pendaki.

Pengerusi Kelab Pendaki Cap Kapal Sabah (PCK) merangkap ketua ekspedisi, Lt. Madya Maritim Thinaraj Balakrishnan, 32, berkata, pemandangan landskap gunung yang kaya dengan nilai hutan hujan tropika membuatkan pendaki leka dan terpaku.

“Cabaran pacat, lumpur, cuaca tidak menentu serta laluan basah dan berliku menjadi peneman dalam setiap hari pendakian,” katanya kepada S2.

Ekspedisi ini dianjurkan oleh Kelab PCK dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah dan Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM). Jarak pendakian ke puncak Gunung Kaingaron adalah sejauh 16 kilometer.

Gunung ini memiliki hutan yang amat menarik dan menakjubkan. Namun sebelum tiba di puncak Kaingaron, pendaki akan tiba dahulu di puncak SingSing. Ketinggian kedua-dua gunung itu diperoleh hasil cerapan daripada Handheld GPS.

Pendakian bermula pada 27 April dan berakhir, 3 Mei lalu. Ekspedisi ini merupakan satu kejayaan dan penemuan terbaharu yang sangat berharga buat pengemar aktiviti mendaki dan pencinta alam. Ini kerana sepanjang laluan ke puncak, pendaki akan disajikan dengan keunikan hutannya.

Selain Thinaraj, pendaki lain ialah Mohd Shahidan Jamaluddin, 35, selaku pembaca topografi dan navigasi darat; Harikrisna Batunipah, 41, (pengurus logistik); Awangku Azanul Azhar Pg Arshad, 42, (komunikasi Radio Amatur); Ahmad Fuad Morad, 64, (pakar botani) dan Mohammad Mohammad Salleh,37, (wilderness first aider).

Manakala tugasan jurukamera/videographer/Drone Operator dipikul oleh Harith Muhadzir,27; Lt Madya Maritim Mohd Feerdaus Daud,32, (penulis blog perjalanan) dan Saleha Karimin, 33. Kumpulan ini juga dibantu oleh Damasus Justin,35, (wakil Jabatan Perhutanan Daerah Tambunan) yang merupakan malim Gunung Trusmadi serta Jaulis Patrick Joannes, 34, dan Jerikson Joannes, 21, sebagai wakil penduduk Kampung Nupakan.

Dalam pada itu, Thinaraj berkata, selain dapat mengisi masa lapang dengan lebih berfaedah, mendaki gunung juga dapat memupuk semangat cintakan keindahan alam dan peka kepada isu alam sekitar.

“Bahkan, aktiviti ini juga dapat mengeratkan silaturahim dengan ramai orang, lebih-lebih lagi peminat aktiviti mendaki gunung yang kian berkembang pada masa kini,”jelasnya.

Selain itu, katanya, kerjasama berkumpulan dan sifat tolong menolong dapat dipupuk dalam kalangan ahli kelab dan juga pencinta sukan kembara. Justeru, tidak hairanlah aktiviti ini semakin digemari semua golongan masyarakat, tidak kira tua mahupun muda.

“Nilai-nilai inilah yang cuba disampaikan Kelab PCK dalam setiap aktiviti yang kami laksanakan,”tambahnya.

Mengulas lanjut, Thinaraj berkata, untuk mencapai matlamat ekspedisi, beberapa kajian dan kaedah penyelidikan telah diteliti oleh setiap peserta.

“Antaranya adalah pemerhatian jejak, rakaman data dalam peranti GPS, merekodkan setiap kemudahan asas yang terdapat di sepanjang laluan, mendokumentasi imej flora dan fauna yang dijumpai, di samping maklumat profil altitud rentis ke Gunung Kaingaron,” katanya.

Selain itu, katanya, semua maklumat yang diperolehi daripada ekspedisi ini penting kepada peminat sukan kembara, pendidik dan pengusaha ekopelancongan komuniti setempat.

Pemerhatian dan penemuan itu katanya akan didokumentasi sebagai bahan penambahbaikan kepada Jabatan Perhutanan Sabah, manakala video perjalanan ekspedisi akan diwar-warkan di laman sosial Facebook sebagai bahan promosi Gunung Kaingaron.

Gunung Kaingaron terletak di Banjaran Trusmadi dalam daerah Tambunan, Sabah dan telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas I (Forest Management Unit 10 (Tambunan), di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Sabah

Kepelbagaian biodiversiti hutan Kaingaron menjadikannya bernilai tinggi. Justeru, ia harus dilindungi dan dipelihara demi warisan generasi masa hadapan.

Hutan gunung ini dikategorikan kepada beberapa bahagian iaitu Hutan Dipterokarp Pamah (400-1,000m), Hutan Dipterokarp Bukit (1,000-1,2000m), Hutan Montane Bawah (1,000-1,800m) dan Hutan Montane Atas (1,800-2,900m).

Pemandangan landskap hutan yang unik seperti hutan Old World Oak (1,200m), fenomena hutan berkabus rendah (2,310m) dan hutan lumut (2,500m) yang beraneka bentuk dan warna, menjadikannya destinasi pergunungan yang sangat istimewa. Selain itu, kepelbagaian flora dan fauna amat unik dan persekitaran semula jadi ini merupakan makmal yang sempurna bagi penyelidik flora dan fauna.

“Geografi gunung ini juga menjadi tarikan terutama kepada penggemar aktiviti mendaki kerana laluan ke puncak adalah merentasi permatang yang panjang, curam serta tidak kurang daripada 10 puncak ‘tipu’ perlu dilepasi,” kata Pengerusi Kelab Pendaki Cap Kapal Sabah (PCK) merangkap ketua ekspedisi, Lt. Madya Maritim Thinaraj Balakrishnan.

Menurutnya, kedudukan permatang SingSing yang strategik menjanjikan panorama indah untuk menyaksikan pemandangan matahari terbit dan terbenam di ufuk langit.

BAGAIMANA KE SANA?

Untuk mendaki Gunung Kaingaron, kita perlu sampai ke pekan Tambunan. Kemudian menuju ke Kampung Nupakan. Jarak dari pekan ke kampung adalah 17.4 kilometer.

Perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda kerana jalan raya tidak berturap dari simpang jalan utama pekan Tambunan.

Gunung Kaingaron bakal dibuka kepada orang ramai dalam masa terdekat ini. Hubungi Jabatan Perhutanan Sabah Daerah Tambunan untuk maklumat lanjut.