Dalam edisi pertama di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) pada 2016, pemain Australia, Marcus Fraser muncul juara. Bagi edisi kedua pada 2017 di Saujana GCC, gelaran juara milik pemain dari Paraguay, Fabrizio Zanotti. Edisi ketiga 2018 di lapangan yang sama iaitu Saujana GCC pula dimenangi Shubhankar Sharma dari India.

Pada tahun ini siapakah pemain yang bakal menggenggam trofi Kejohanan Maybank? Adakah Shubhankar mampu mempertahankan gelaran juara atau akan muncul pemain lain yang merangkul piala berprestij itu?

Setiap kali kejohanan golf bertaraf antarabangsa berlangsung di Malaysia, sering kali timbul persoalan - bilakah pemain-pemain profesional negara akan berdiri gah sambil menjulang trofi juara seperti Kejohanan Maybank? Atau apakah mereka tidak mampu memecah kepompong gelaran ‘hero kampung’?

Setiap kali Kejohanan Maybank berlangsung, tidak pernah ketinggalan pemain-pemain profesional negara yang akan turut beraksi. Pada edisi keempat Kejohanan Maybank ini, antara pemain yang terpilih ialah Gavin Kyle Green, Ben Leong dan Nicholas Fung yang layak atas kapasiti Asian Tour Ranking.

Lain-lain pemain profesional negara yang turut layak ialah Shariffuddin Ariffin, Danny Chia, Amir Nazrin, Sukree Othman, Kim Leun Kwang, Arie Irawan, R. Nachimuthu, Wilson Choo, Kenneth De Silva dan Kemarol Baharin.

Namun di antara 13 pemain ini, siapakah yang mampu menggapai trofi juara Kejohanan Maybank 2019 sekali gus melakar sejarah baharu negara dalam sukan golf yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Setakat ini tidak pernah seorang pun pemain negara memenangi trofi ini yang diperkenalkan bagi menggantikan Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank yang diperkenalkan sejak 1962. Begitu juga dalam kejohanan yang lebih besar iaitu CIMB Classic di Kelab Golf The Mines Resort dan TPCC Kuala Lumpur.

Detik terbaik pernah hadir pada Terbuka Malaysia 1994 apabila mendiang P. Gunasegaran hampir menang selepas mengheret pemain Sweden, Joachim Haeggman ke lapan penentuan play-off sebelum kecundang. Selepas itu, pemain-pemain golf negara terus kemarau kejohanan.

Peminat-peminat golf tempatan sebenarnya berharap agar ada pemain golf negara menggenggam trofi Kejohanan Maybank atau lebih bertuah piala CIMB Classic, jika tidak pada tahun ini mungkin tahun-tahun akan datang.

Peluang kini dilihat berada pada beberapa pemain seperti Gavin, Ben dan Nicholas. Bagaimanapun tumpuan utama diberikan kepada Gavin yang kini menghuni ranking 221 dunia. Dengan status sebagai pemain golf Malaysia pertama merangkul gelaran Order of Merit Jelajah Asia 2017, Gavin dilihat mampu memberi cabaran kepada pemain-pemain tersohor dunia sama ada dari Jelajah Eropah mahupun Jelajah Asia.

Antara pemain dunia yang dijangka menyertai Kejohanan Maybank 2019 ialah Ernie Els (Afrika Selatan), Padraig Harrington (Ireland), Shubhankar (juara bertahan dari India), Ryo Ishikawa (Jepun), Poom Saksansin (Thailand) dan ramai lagi.

Shukree Othman yang menduduki rangking pertama; pemain muda, Shariffuddin Ariffin di tangga kedua dan R. Nachimuthu tempat ketiga berdasarkan PGAM Order of Merit 2018, juga dilihat mempunyai peluang untuk meraih gelaran juara Kejohanan Maybank 2019. Juga tidak dipandang mudah terhadap pemain senior, Danny Chia yang mempunyai pengalaman luas dan pernah beraksi di Terbuka British sebanyak tiga kali.

Kejohanan Maybank yang tercatat dalam kalendar Jelajah Eropah dan Asia mengekalkan hadiah keseluruhan berjumlah RM3 juta pada tahun ini. Ini adalah peluang terbaik kepada pemain-pemain negara untuk meraih peluang mengukuh kewangan jika mahu melangkah lebih jauh.

Pengarah Maybank, Datuk R. Karunakaran ketika majlis memperkenalkan barisan 13 pemain negara yang diketuai Gavin, semalam berkata, Maybank sentiasa memberi peluang dan komitmen penuh kepada pemain-pemain golf profesional tempatan untuk bersaing dengan pemain-pemain terbaik dari Jelajah Eropah dan Asia dalam setiap penganjuran kejohanan tersebut.

Tahniah dan terima kasih seharusnya diberikan kepada Maybank kerana masih meneruskan kejohanan golf berprestij ini selepas CIMB dan LGPA menutup tirai kejohanannya di Malaysia mulai tahun ini. Kini tinggal hanya Maybank yang benar-benar ingin membantu pemain-pemain profesional golf di negara ini. Justeru, diharapkan pemain-pemain negara merebut peluang yang diberikan ini.

Edisi Kejohanan Maybank kali ini dijangka lebih menarik dan memberi cabaran kepada semua pemain yang beraksi di Saujana GCC berikutan berlaku perubahan pada green yang menggunakan rumput baharu, Tiff eagle mengikut piawaian dan standard USGA.

Tinggal kira-kira dua bulan sebelum Kejohanan Maybank bermula. Gunakanlah masa yang ada sebaik mungkin. Kita mengharapkan ini kalilah ‘harimau’ kita akan mengaum! Jangan biarkan kata-kata ‘jaguh kampung’ atau ‘jaguh tadika’ terus meniti di bibir peminat golf tanah air!