Dibuka pada Oktober lalu dan direka bentuk dengan lapangan yang menarik oleh arkitek ter­kenal, Nigel B. Douglas, hamparan rumput ‘bermuda’ di lapangan 12 lubang direka dengan tema alam hutan semula jadi.

Lebih 40 jenis bunga dan pokok pelbagai spesies menyerlahkan lagi keceriaan dan keselesaan kepada mereka yang beraksi di KSGCC.

Walaupun masih dikategorikan kelab golf baharu, namun nama KSGCC menjadi bualan dalam kalangan pemain-pemain golf amatur mahupun profesional di negara ini.

Rata-rata mereka menzahirkan rasa puas hati bukan sahaja dengan keada­an lapangan dan green yang menarik, tetapi juga persekitaran alam semula jadi yang menyihatkan badan.

Dengan lapangan permukaan serta green yang sedikit beralun, sudah pasti memberi cabaran kepada setiap mereka yang beraksi di sini.

Bersandarkan sambutan baik daripada mereka yang pernah ber­aksi di sini, tidak mustahil harapan dan impian KSGCC untuk menjadikan kelab golf ini sebagai destinasi utama kaki-kaki golf dalam dan luar negara suatu hari nanti akan termakbul.

KEMUDAHAN

Selepas menghabiskan 18 lubang, pemain-pemain boleh menghilangkan rasa dahaga atau lapar di ‘golfer’s terrace’ dengan hidang­an pelbagai menu menarik pada harga yang berpatutan. Rekabentuk bangunan kelab dengan ciri klasik Inggeris menyerlahkan lagi pengalaman golf di KSGCC.

Selain itu, pihak KSGCC juga turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti surau, ruang menunggu, bilik persalinan dan dewan makan yang berhawa di­ngin untuk memberi keselesaan kepada para pemain. Bahkan KSGCC juga turut memberi tawaran harga yang menarik kepada mana-mana syarikat kerajaan ataupun swasta yang mahu mengadakan seminar di dewan KSGCC.