Beliau berkata bagi tujuan itu, anak muda didedahkan dengan aktiviti yang menterjemahkan gaya hidup kontemporari yang akan diadakan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2016 akan bermula pada 1 Disember ini.

“Kita menekankan kepada penggabungan aktiviti pertanian dengan elemen hiburan atau agrotainmen pada MAHA kali ini bagi menarik golongan muda dengan sasaran penglibatan 30 peratus (penyertaan),” ujar beliau. 
 Antara acara yang bakal menarik golongan muda sempena MAHA 2016 itu adalah Perkhemahan Belia Agro NAFAS (NAFAS Agro Youth Camp) iaitu program perkhemahan tersebut melibatkan 7,000 golongan muda melibatkan pelajar dan usahawan yang telah berjaya.

Mereka katanya, akan terlibat dengan pelbagai program yang dianjurkan bertujuan mewujudkan generasi belia menceburi industri agro makanan sekali gus dapat membuka dan memberi peluang secara menyeluruh termasuk penglibatan, kesedaran dalam memupuk minat generasi tersebut terlibat dalam industri pertanian seterusnya menjadi ahli dan wakil generasi belia di setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Program perkhemahan tersebut akan bermula dari 2 Disember hingga 11 Disember 2016 di Taman Tasik Rekreasi MARDI Serdang.

Tapak tersebut juga akan dijadikan kawasan perniagaan trak makanan yang menjadi trend masa kini dan kesukaan golongan muda.

Dalam masa sama, MAHA 2016 ini juga akan memperkenalkan Kampung Durian Runtuh Upin dan Ipin yang bertujuan menarik golongan kanak-kanak datang ke mengunjungi pameran tersebut.

“Selama ini, ibu bapa asyik mengajak anak mereka datang ke MAHA tapi pada kali ini kita mahu anaknya pula yang mengajak bapa mereka,” ujarnya sambil memberitahu watak komik tersebut adalah ikon yang mampu menarik perhatian golongan tersebut.

Satu lagi daya penarik pada kali ini program Rhythm of the Farmers (ROTF) yang menampilkan persembahan beberapa artis yang menyanyikan lagu berkaitan pertanian antaranya Ebiet G Ade dan Datuk Ramli Sarip.

Festival Muzik ROTF merupakan sebuah acara unik bagi meraikan industri agromakanan di negara ini menerusi muzik dan hiburan.

Ia adalah satu konsep baharu agrotainmen yang ingin kita ketengahkan, sebagai satu cara untuk menarik masyarakat kepada pertanian menerusi hiburan.

Idea penganjuran ROTF sempena MAHA kali ini merupakan cetusan idea Ahmad Shabery bertujuan menarik minat generasi muda terlibat dalam industri pertanian menerusi acara berbentuk hiburan.

Ahmad Shabery berkata, satu cerun landai dalam kawasan berbukit MAEPS Serdang yang dinamakan D’Lereng telah dipilih sebagai lokasi utama acara tersebut.

Sebuah pentas dibina dan cerun tersebut akan berperanan sebagai ‘ampiteater semulajadi’ untuk para penonton duduk dan menikmati persembahan.

Acara tersebut juga melibatkan persembahan kebudayaan dari pelosok negara di sertai kilauan lampu sensasi dan persembahan tarian tradisional.

Ia bermula pukul 10.30 pagi hingga 12 malam, dan masuk adalah percuma.

Satu lagi program yang mampu menarik minat orang dewasa dan usahawan kecil adalah Kampung Mok Cun yang melibatkan selebriti siri televisyen tersebut.

Selain itu pada MAHA 2016 terdapat 14 pavilion negeri, yang masing-masing mempunyai reka bentuk yang unik.

Rumah-rumah negeri ini menampilkan identiti, kebudayaan, pameran dan makanan mereka sendiri, yang boleh dinikmati oleh pengunjung.

Galak orang muda ceburi agromakanan 

Program memperkenalkan lebih banyak konsep bercirikan kontemporari pada MAHA 2016 seperti trak makanan amat sesuai sejajar dengan gaya hidup masa kini. Kesibukan masyarakat terutama di bandar mendorong kepada gaya hidup yang santai, lebih mudah tetapi masih mengekalkan kualiti. Dalam masa yang sama, perubahan gaya hidup yang mendorong kepada perkembangan jenama termasuklah antaranya kopi dan makanan segera memang semakin popular.

Seorang pengusaha muda yang mengusaha trak makanan Norhazlina Sajali berkata, konsep tersebut memang semakin popular dan sesuai diperkenalkan pada MAHA 2016 bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi bidang keusahawan agromakanan.

Beliau berkata, golongan muda mempunyai banyak idea tetapi tidak mempunyai ilmu dalam perniagaan, maka kebanyakan mereka tidak ada hala tuju dalam menentukan kerjaya.

“Trak makanan merupakan salah satu cabang bisnes yang mempromosikan gaya hidup untuk golongan muda kerana ia menjual jenama dan konsep,” ujar beliau yang juga pengeluar produk sambal hijau, sambal cili merah, sambal hitam, perencah masak merah, sambal ikan bilis, perencah rendang jenama Samza.

Beliau juga berpendapat, golongan muda wajar diberi peluang dalam pembangunan usahawan berasaskan agromakanan sehingga ke pasaran eksport dan kerajaan perlu mencari jalan bagaimana memberi ruang kepada mereka seluas-luasnya termasuklah mengurangkan kerenah birokrasi.

Beliau yang juga usahawan yang berdaftar dengan Agrobazaar Online kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berharap golongan muda mengambil peluang mengunjungi MAHA 2016 bagi mendapatkan maklumat dan ilmu mengenai keusahawanan.