Fatbike pada asalnya direka bagi memudahkan pergerakan di atas permukaan yang lembut seperti salji, pasir dan lumpur. Namun, ia kini digunakan secara meluas di atas semua jenis permukaan jalan serta untuk pelbagai kegunaan.

Penampilannya yang kelihatan lebih sasa membuatkan fatbike mempunyai peminat tersendiri termasuk masyarakat negara ini.

Baru-baru ini, komuniti peminat fatbike dari Fatbikers Melaka Cycling Club (FMCC) dengan kerjasama Team Fatbike Malaysia menganjurkan program Global Fatbike Day 2018 di Taman Rempah, Melaka.

Program tahunan yang dianjurkan sejak 2016 itu berjaya menghimpunkan 150 pemilik fatbike dari seluruh Semenanjung.

Menurut Presiden FMCC, Muhammad Akmal Noorli, program tersebut mendapat sokongan penuh Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

Malah, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azlan Abidin turut hadir pada program itu bagi menyempurnakan majlis pelepasan.

“Peserta memulakan kayuhan dari Taman Rempah melalui pesisir Sungai Melaka dan kemudian ke lokasi-lokasi menarik yang menjadi mercu tanda di Melaka seperti Muzium Samudera, Kota A Famosa dan sebagainya.

“Tujuannya adalah untuk memperkenalkan peserta terutama dari luar Melaka yang datang bersama rakan-rakan dan ahli keluarga mereka mengenai tempat-tempat pelancongan di negeri ini,” katanya.

Konvoi fatbike di sekitar Bandaraya Melaka telah menarik perhatian orang ramai yang berkunjung ke bandar tersebut.

Ternyata mereka teruja melihat keunikan fatbike. Ada di antaranya mengambil peluang bergambar bersama basikal berkenaan dan ada juga menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai fatbike.

Malah, penganjuran Global Fatbike Day pada tahun ini mendapat perhatian PPSPM yang menyatakan minat untuk terus memberi kerjasama kepada FMCC bagi program akan datang.

Berdasarkan rekod penganjuran dan sambutan yang diterima, Global Fatbike Day berpotensi dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Melaka.

“Alhamdulillah, objektif utama kita iaitu mengeratkan silaturahim antara pemilik dan kelab fatbike tercapai dan mereka berpuas hati dengan laluan kayuhan yang ditetapkan terutama di sepanjang pesisir Sungai Melaka.

“Sambutan yang diberikan terhadap program ini amat menggalakkan. Rata-rata memberikan maklum balas yang positif dan meminta program ini diteruskan pada masa akan datang,” kata Muhammad Akmal.

Selain kayuhan, pelbagai aktiviti lain turut diadakan bagi memeriahkan program tersebut seperti pertandingan basikal lambat, wheelie paling jauh dan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.