Pendakian melalui Ponn Hill diiringi pemandu arah dari White Himalaya Treks Pvt. Ltd., Sona Sherpa (Ganesh) dan dibantu Angelu Sherpa. Bermula penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kathmandu, menaiki bas ke Pokhara, seterusnya menaiki jip ke Nayapul, kami sempat membeli-belah barangan aktiviti luar di ibu negara Nepal dan berehat sehari di Pokhara sebelum mula mendaki pada 10 September 2018.

Pendakian hari pertama disambut hujan lebat. Kami bermalam di Prastuti Guest House, Ulleri. Menjadi rutin dari malam pertama hingga malam terakhir iaitu usai makan malam, Sona akan menyampaikan taklimat mengenai perjalanan seterusnya, selain mengambil pesanan untuk sarapan. Pancake, capati, roti bakar, roti Gurung, telur goreng, telur separuh masak dan omelet menjadi pilihan peserta.

Hari kedua mendaki masih hujan. Destinasi tujuan adalah Hungry Eye Guesthouse di Upper Ghorephani. Kami menempuh Banthanti dan singgah makan tengah hari di Nagetanthi yang terletak di Lower Ghorephani. Kami sampai ke destinasi pada pukul 4.15 petang.

Berikutnya pada hari ketiga pendakian, selesai solat subuh sekitar pukul 4.50 pagi dan ketika hari masih gelap serta sejuk, kami memulakan perjalanan ke Poon Hill. Satu jam kemudian, kami tiba di puncak Poon Hill yang berketinggian 3, 210 meter dari paras laut (mdpl). Selesai bergambar berkumpulan, kami turun semula ke rumah tamu untuk sarapan dan bersiap bagi meneruskan perjalanan ke Hotel Rainbow di Chuile. Perjalanan banyak menempuh denai hutan. Kami makan tengah hari di Sunrise Guesthouse di Banthanti dan rehat sekejap di Tadapani. Sekitar pukul 6.25 petang, kami tiba di Chuile untuk bermalam.

Keesokannya, ketika matahari mula memunculkan diri, kami ‘dibelanja’ dengan pemandangan indah puncak Fish Tail. Selesai sarapan, kami berjalan ke Upper Sinuwa. Hari cerah tetapi hujan sekejap-sekejap di sepanjang perjalanan. Kami singgah di Chomrong untuk makan tengah hari sebelum ke Upper Sinuwa Guesthouse. Kami tiba di rumah tamu itu pada pukul 6.40 petang.

Hari kelima mendaki, kami menyasarkan untuk sampai ke Deurali. Memulakan pendakian pada pukul 8.20 pagi dan dua jam kemudian, kami tiba di Bamboo untuk berehat. Ketika kami tiba di Himalaya Guesthouse pada pukul 3.15 petang, kami dimaklumkan oleh Sona bahawa perjalanan ke Deurali tidak dapat diteruskan kerana jambatan runtuh akibat kejadian kepala air. Kami terpaksa bermalam di Himalaya Guesthouse, sementara menunggu jambatan dibaik pulih. Terdapat juga pendaki lain berpatah balik dan tidak meneruskan perjalanan. Mengambil keberkatan pada petang Jumaat, kami berdoa agar perjalanan dipermudahkan.

Alhamdulillah, kami menerima khabar bahawa jambatan runtuh telah dibaik pulih dan boleh dilalui. Justeru, pada pukul 9.10 pagi, kami meneruskan perjalanan ke ABC. Hari ini adalah hari keenam mendaki dan selepas satu jam setengah berjalan, kami menyeberangi sungai yang mana berlakunya kejadian jambatan runtuh. Setengah jam kemudian, kami singgah berehat di Deurali. Machhapuchhre Base Camp (MBC) menjadi persinggahan kami yang seterusnya untuk makan tengah hari. Perjalanan bersambung dan dua jam kemudian, kami tiba di destinasi dambaan peserta iaitu ABC. Walaupun jarak antara MBC dan ABC tidak jauh, namun untuk mengelak daripada diserang penyakit akut gunung atau AMS (Acute Mountain Sickness), kami memperlahankan perjalanan sambil menikmati pemandangan indah.

Kepenatan berjalan dan mendaki hilang sekelip mata. Perasaan bercampur baur antara gembira dan terharu sehingga ada di antara kami menitiskan air mata. Ketibaan kami disambut dengan cuaca agak baik dan pemandangan puncak gunung Annapurna yang tersergam kukuh berhadapan puncak Machhapuchhre atau Fish Tail. Kami bermalam di Annapurna Sanctuary Lodge & Restaurant dengan suhu di dalam bilik sekitar 5 darjah selsius.

Indah untuk dikenang

PERJALANAN hari ini adalah dari ABC ke Upper Sinuwa. Seperti dijangka, kami sampai di rumah tamu itu pada pukul 7.10 malam. Menurut Sona, ini kali pertama sejak menjadi pemandu arah, beliau berjalan terus dari ABC ke Upper Sinuwa tanpa bermalam di Deurali atau Himalaya terlebih dahulu.Makan malam di sini berlarutan agak panjang. Mungkin menjadi sesuatu yang indah untuk dikenang. Sebagai meraikan malam terakhir dan kejayaan sampai ke ABC, kami diberi peluang beramah mesra untuk lebih saling mengenali dengan lebih rapat antara pemandu arah, pembantunya dan pengangkut barang (porter).

Keesokannya, kami seolah-olah tidak sabar untuk keluar ke dunia tamadun walaupun sedar perjalanan masih jauh. Bermula pada pukul 8.50 pagi, kami berjalan dan sekali lagi kami melalui Chomrong yang terkenal dengan laluan mendaki beratus-ratus anak tangga. Jhinu Danda menjadi hentian makan tengah hari, manakala Birethanti pula destinasi yang mengakhiri pendakian kami, sekitar pukul 6.15 petang. Kami menaiki bas menuju ke Pokhara dan tiba di Hotel Romantika pada pukul 10.45 malam.

Dari Pokhara, kami kembali semula ke Kathmandu. Majlis penyampaian sijil disempurnakan oleh Sona di Hotel Backyard. Keesokannya pada 19 September 2018, kami selamat tiba di tanah air.