Terdapat pelbagai jenis kecelaruan mental yang melibatkan remaja atau generasi muda masa kini.

Antaranya, kecelaruan tingkah laku, emosi dan identiti yang dipengaruhi pelbagai faktor dan sekiranya remaja gagal mengawal keadaan tersebut, akan mengalami pelbagai rintangan, kerumitan dan kecelaruan.

Hari ini, tanpa kita sedari, golongan muda menghadapi masalah kesihatan mental diakibatkan oleh kemurungan dan kebimbangan yang keterlaluan.

Malah, ramai dalam kalangan lulusan institusi pengajian tinggi (IPT), terjejas emosi dan fizikal mereka akibat faktor-faktor berkenaan, sedangkan golongan ini diperlukan untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Menurut Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, adalah lumrah seorang lepasan universiti yang telah berusaha dengan jayanya di medan pengajian, mengharapkan keadaan yang terbaik dengan mendapatkan pekerjaan dan gaji yang tinggi.

“Namun, tidak semua impian itu akan tercapai. Ada yang sukar mendapatkan pekerjaan, bekerja dalam bidang yang bukan dalam bidang mereka atau tidak suka dengan bidang itu.

“Mereka juga dibebani rasa khuatir dengan masa depan, hubungan dengan keluarga terjejas, komitmen baharu kewangan, mengharapkan dapat kerja yang terbaik, bimbang dengan harapan tinggi keluarga dan ibu bapa, perlu membayar pinjaman serta kos sara hidup, yang kesemua itu menyebabkan mereka berada dalam emosi, kemurungan dan kebimbangan yang nyata.

“Memang semua generasi berhadapan dengan masalah mereka tersendiri, namun golongan muda hari ini berhadapan dengan satu masalah yang berbeza daripada generasi masa lalu yang pasti membawa kesan terhadap kehidupan mereka kerana masa kini dipenuhi dengan cabaran daripada teknologi terkini,” kata Lam Thye.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Saintifik Tahunan bagi Pakar-pakar Psikiatri dan Profesional Dalam Kesihatan Mental, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, lebih ramai golongan muda dilihat menghidap simptom-simptom mengalami tekanan atau stres seperti kemurungan dan kebimbangan keterlaluan, gejala yang bukan sahaja ditemui di negara ini, malah seluruh dunia.

Jelas beliau, berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017, seorang daripada lima remaja didapati mempunyai simptom kemurungan, manakala dua daripada lima orang mengalami simptom kecelaruan fikiran dan seorang daripada 10 orang mengalami stres.

Bukan itu sahaja, sikap sebahagian daripada mereka yang mahu menjadi lebih baik daripada rakan sebaya dan pengaruh terbesar daripada media sosial dari segi pemilihan fesyen dan pemilihan idola, membuatkan golongan ini mahu menjadikan diri mereka lebih sempurna sebagaimana yang mereka inginkan menerusi paparan dalam media sosial.

Mereka akan mula membandingkan antara satu sama lain dan sukar untuk membezakan sama ada yang dipaparkan dalam media sosial itu merupakan sesuatu yang realiti atau sebaliknya.

“Hakikatnya, pada ketika ini, golongan ini sebenarnya sedang tercari-cari ruang dan kehidupan mereka sendiri. Mereka perlukan sesuatu yang selamat dan kasih sayang agar boleh mencari identiti sendiri.

“Justeru, ibu bapa perlu lebih berinteraksi dengan anak-anak mereka pada usia ini, bertanyakan minat mereka, memberikan keyakinan dan selesaikan kebuntuan yang dialami mereka,” kata beliau.

DERITA MASALAH MENTAL

Menurut Lam Thye lagi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan secara global, sebanyak 450 juta orang telah menderita akibat kesihatan mental dan kecelaruan minda, dengan anggaran seorang daripada lima individu menghidap kecelaruan fikiran, yang 11 peratus daripadanya hidup dalam serba kekurangan dan sebahagian daripadanya adalah wanita.

Dalam hal ini, Malaysia juga tidak terkecuali. Keadaan ini boleh dilihat menerusi laporan yang dikendalikan oleh Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan, yang menunjukkan peningkatan masalah isu berkaitan kesihatan mental dalam kalangan mereka yang berusia 16 tahun dan ke atas sebanyak 29.2 peratus, berbanding 10.6 peratus pada 1996.

Masalah kesihatan mental memberikan kesan yang besar kepada si penghidapnya, termasuk keluarga dan komuniti. Individu yang menderita masalah ini tidak boleh melakukan aktiviti termasuk bekerja, yang pasti akan menimbulkan impak negatif kepada produktiviti negara.

Mereka juga akan terdorong kepada sasaran stigma dan diskriminasi daripada masyarakat sekeliling, yang menghalang mereka daripada mendapatkan bantuan dan rawatan.

Stigma ini bukan sahaja merangkumi mereka yang menderita, bahkan juga keluarga si penghidap yang sudah tentu memerlukan mereka mendapatkan bantuan dan sokongan secara emosi dan fizikal.

“Bebanan kepada keluarga boleh bermula daripada reaksi emosi ke bebanan kewangan. Ahli keluarga perlu memahami dan mencakupi perangai individu si penghidap yang terpinggir daripada aktiviti sosial dan berhadapan dengan kos tambahan untuk rawatan, sesi kaunseling dan ubat.

“Dalam kebanyakan negara membangun, rawatan pesakit mental tidak diberikan penyediaan khusus kepada si penghidapnya yang menyebabkan mereka dibiarkan kemurungan, berdepan dengan kebimbangan melampau tanpa rawatan dan tidak menerima apa-apa rawatan,” jelas beliau.