Street Twin, Street Scrambler, Scrambler 1200 XC dan XE serta Speed Twin yang dilancarkan itu dilihat mampu mendominasi pasaran dua roda tempatan ekoran pelbagai ciri-ciri menarik yang disediakan pengeluar.

Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes, Datuk Razak Al-Malique Hussain berkata, model-model baharu tahun 2019 itu walaupun rekabentuknya klasik, namun jentera-jentera itu sarat dengan teknologi terkini.

“Bayangkan jika anda memiliki Scrambler 1200 XE, dengan tetapan OffRoad Pro, anda boleh berada dalam situasi jalan tidak rata di luar jalan raya dan dalam tempoh singkat berada di atas jalan urban menunggang di kota raya tanpa perlu menukar cara tunggangan.

“Jadi, kehadiran XC dan XE ini akan membolehkan pemilik untuk bergaya di bandar selain menempuh halangan ketika berekreasi di luar jalan raya dalam jarak yang jauh dengan pelbagai pilihan aksesori dari Triumph sendiri,” katanya kepada Utusan Online di sini semalam.

motor triumph
TRIUMPH Scrambler 1200 XC dan XE bakal mendominasi pasaran motosikal tempatan bagi tahun 2019. Foto ihsan FAST BIKES SDN. BHD.

Kedua-dua model Scrambler 1200 XC dan XE itu dijana oleh unit enjin dua silinder selari 1,200cc kuasa tinggi yang ditala khas untuk tunggangan luar jalan raya dan mampu menghasilkan kuasa 88.7hp pada 7,400 rpm dengan 110Nm daya kilas pada 3,950rpm.

Ia juga dilengkapkan dengan panel instrumen TFT berwarna penuh generasi kedua yang membolehkan penunggang menyesuaikan paparan mengikut tema kegemaran mereka termasuk meletakkan nama mereka sendiri.

Selain dua jentera itu, turut dilancarkan Street Twin, yang hadir lebih premium dengan rim aluminium, logo serta paparan instrumen yang berkualiti.

Prestasi jentera 900cc HT, ini telah ditingkatkan sebanyak 10PS dan had kitaran tertinggi enjin telah dinaikkan sebanyak 500rpm yang turut dilakukan kepada model Street Scrambler.

Kedua-dua jentera ‘jalanan’ ini turut dilengkapi dengan dua pilihan tetapan tunggangan (Jalanan dan Hujan), brek ABS, sistem kawalan cengkaman yang boleh dimatikan, soket pengecas USB, lampu belakang LED, modul pelumpuh enjin dan klac jenis Torque Assist.

motor triumph
GIMIK pelancaran lima model jentera dua roda Triumph dengan membuka kotak paling ditunggu-tunggu peminat motosikal tempatan. - Foto ihsan FAST BIKES SDN. BHD.

Bagi yang inginkan kesempurnaan, boleh memilih Speed Twin yang dilengkapi dengan enjin 1,200cc dengan ciri prestasi dan ergonomik sebagai roadster yang selesa dengan tiga tetapan tunggangan.

Harga bagi Street Twin ialah RM55,900 sementara Street Scrambler dijual pada harga RM64,900 manakala Scrambler 1200 XC ditawarkan pada harga RM80,900 dan XE yang padat dengan kelengkapan yang lebih tinggi dijual pada harga RM86,900. Bagi Speed Twin pula, ia dijual dengan harga RM73,900. Semua harga tidak termasuk insurans dan cukai jalan serta kos pendaftaran yang lain.

Untuk keterangan lanjut dan penempahan, orang ramai boleh melayari laman web www.fastbikes.com.my atau menghubungi 03-79609007. - UTUSAN ONLINE