Terdapat tiga warna menarik ditawarkan iaitu hitam (Mat Gun Powder Black), merah (Grandprix Red) dan putih (Pearl Metalloid White). Bunyi ekzos pun agak padu didengar meskipun stan­dard.

Lampu utama depan dan belakang pula adalah jenis diod pemancar cahaya (LED) yang me­nyerlahkan ciri-ciri moden.

Okaylah, dari segi reka bentuk, boleh beri markah lulus. Bagaimana pula prestasinya?

Seronok ditunggang

Pada mulanya penulis rasa cukup kekok menunggang CBR650F. Mungkin sudah biasa dengan motosikal jenis naked menjadikan kedudukan tunggangan yang membongkok rasa tidak selesa. Sesekali lengan terasa lenguh kerana beban badan tertumpu pada bahagian tangan. Namun ibarat pepatah, tak kenal maka tak cinta, perasaan itu lama kelamaan diganti dengan keseronokan.

Lokasi pilihan penulis untuk tunggang uji adalah jalan lama dari Hulu Langat, Selangor me­nuju Jelebu, Negeri Sembilan. Enjin berkapasiti 648.72 cc ini cukup selesa ditunggang dalam ligatan (rev) rendah.

Meskipun enjinnya menghasilkan daya kilas tinggi di bawah 4,000 rpm, namun pertukaran ke ligatan lebih tinggi tidak membuatkannya ‘meronta’. Sebaliknya memberikan tindak balas lebih agresif selepas 5,000 rpm dengan menghasilkan daya pecutan tinggi membuatkan jentera ini seolah-olah mahu ‘menerkam’ apa sahaja di depannya.

Sepanjang menempuh laluan yang menerima jolokan Litar Lumba Antarabangsa Kuala Kelawang (KKIC) itu, daya pecutan sedemikian membolehkan CBR650F keluar dari selekoh dengan pantas.

Enjin empat lejang selari ini juga banyak membantu semasa memotong deretan kende­raan yang memastikan penulis dapat kembali ke laluan asal dengan selamat setiap kali ada kenderaan lain datang dari arah bertenta­ngan.

Tidak hairanlah disebabkan terlalu teruja, perancangan awal penulis mahu menunggang uji setakat Jelebu boleh ‘terlajak’ sampai Kuala Pilah!

Lebuh raya pula memang tempat ‘permainan’ CBR650F. Kedudukan penunggang membentuk aerodinamik, ditambah reka bentuk baharu bahagian depan reraut (fairing) membuatkan tidak terasa jentera ini ditunggang dalam kelajuan tinggi. Ia mampu mengalihkan angin yang kuat dari depan daripada menerpa terus ke arah penunggang.

Kesimpulannya, jentera ini cukup tangkas dan pada masa sama mempersembahkan enjin yang berkuasa dan lancar.

Dari segi penggunaan bahan api pula adalah kira-kira 21 kilometer (km) seliter atau 350 km untuk tangki penuh (17.3 liter).

Siapa patut milikinya?

Jentera berkuasa sederhana empat lejang ini menyediakan prestasi enjin yang boleh dimanfaatkan dan memberi kepuasan kepada semua jenis penunggang, tidak kiralah mereka yang baru berjinak-jinak atau mahu meneruskan ‘karier’ permotoran dua roda.

Namun pada pandangan penulis, model ini sesuai bagi newbie atau mereka yang masih baharu dengan superbike berikutan enjinnya yang boleh disifatkan ‘lembut’ tetapi mampu memberikan kuasa cukup mantap.

Dijual pada harga pasaran RM47,115. CBR650F tidak sofistikated untuk dikendalikan, namun menjanjikan keseronokan serta kepuasan kepada si penunggang.

HONDA CBR650F

ENJIN & SISTEM GEAR

4 silinder selari, penyejukan cecair

Kapasiti 648.72 cc

Bor x Lejang - 67 x 46 (mm)

Nisbah mampatan 11.4:1

Transmisi 6 kelajuan

DIMENSI & BERAT

Lebar x Panjang x Tinggi - 753 x 2,107 x 1,149 (mm)

Jarak roda 1,449 mm

Kelegaan lantai 133 mm

Tinggi tempat duduk
810 mm

Berat 214 kg

Tangki bahan api 17.3 liter

PENYERAP 
HENTAKAN & TAYAR

Depan - Cabang teleskopik 41 mm, lejang 120 mm

Belakang - Monoshock boleh laras, lejang 43.5 mm

Brek depan - Cakera berkembar hidraulik 320 x 5 mm

Brek belakang - Cakera hidraulik 240 x 5 mm

Tayar depan 120/70

Tayar belakang 180/55