Cukup berkuasa

Sememangnya model terbaharu ini dihasilkan dengan lebih kuasa dan daya kilas berbanding keluaran terdahulu. Model sebelum ini mempunyai 125 kuasa kuda (hp) pada 10,300 rpm dan 100 Nm pada 8,000 rpm. Prestasi enjin kali ini ditingkatkan 20 hp dan empat Nm lagi. Memang ada umph!

Ia didatangkan dengan enjin empat lejang 998 cc DOHC yang menghasilkan kuasa puncak 107 kW pada 7,500 rpm dengan daya kilas maksimum 104 Nm pada 8,250 rpm. Bor dan lejang masih 75 milimeter (mm) x 56.5 mm tetapi nisbah mampatan meningkat 0.4 menjadi 11.6:1.

Stabil

Penulis mengujinya di laluan berselekoh pendek dan tajam dari Hulu Yam menuju Gohtong Jaya. Walau bagaimanapun, penulis tidak sempat menghabiskan pusingan ‘litar’ tersebut berikutan hujan. Namun kesempatan itu digunakan untuk mencuba mod tunggangan Rain. Ternyata jentera ini stabil meredah jalan basah. Adanya sistem brek antikekunci (ABS) menambahkan lagi keyakinan untuk berdepan saat-saat mencemaskan.

Terdapat tiga lagi mod bagi menyesuaikan dengan corak tunggangan diingini iaitu Stan­dard, Sport dan User. Mod Sport lebih agresif manakala User membolehkan penunggang me­ngubah suai traction (cengkaman), engine braking (pembrekan enjin) dan power (kuasa) mengikut cita rasa sendiri. Semua mod itu boleh ditukar dengan jari sahaja pada suis di bahagian kiri bar hendal.

Tidak berpuas hati, penulis menguji jentera ini di Jalan Sungai Tekali dari Hulu Langat menuju Empangan Semenyih pada hari lain pula. Kali ini nasib baik menyebelahi penulis kerana cuaca panas. Ternyata CB1000R menghasilkan daya pecutan mengagumkan, ditambah adanya slipper clutch dan sistem pendikit ride by wire yang memberikan tindak balas pantas ketika masuk dan keluar selekoh.

Tambahan pula fork terbalik Showa yang dipasang pada bahagian depan dan monoshock di belakang dari jenis sama selain jarak roda 1,455 mm membantu menjadikannya lebih stabil ketika di selekoh.

Selesa

Bagi menjadikan tunggangan lebih selesa, bar hendal dilebarkan lagi 12 mm dan ditinggikan 13 mm manakala tempat duduk lebih tinggi 5 mm berbanding model sebelumnya.

Menawan

CB1000R bukan sahaja berkuasa malah unik dari segi reka bentuk. Konsep neo sports cafe yang diperkenalkan Honda menggabungkan kombinasi cafe racer dan sport naked menjadikan CB1000R nampak cukup berbeza berbanding motosikal berkuasa tinggi lain. 

Sekadar memuat naik gambar CB1000R ke dalam media sosial pun sudah cukup untuk menerima reaksi positif dan rasa kagum rakan-rakan penulis tentang reka bentuknya.

Dari jauh, cahaya lampu depan dan belakang diod pemancar cahaya (LED) berbentuk ladam kuda ternyata menarik perhatian ramai membuatkan mereka rasa tidak sabar untuk melihatnya sendiri di depan mata.

Selain itu, ngauman ekzos yang garang meskipun standard mampu mengalihkan perhatian orang berhampirannya. Ekzos ini menggunakan sistem baharu four-into-two selain bentuknya yang cun!

Cepat mesra

CB1000R mungkin tidak se­suai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan motosikal berkuasa tinggi tetapi bagi penulis, sebenarnya tidak memerlukan masa yang lama untuk serasi. Meskipun tinggi tempat duduk 830 mm agak mengkhuatirkan penulis pada mulanya, namun rasa cuak itu lama-kelamaan lenyap kerana dengan berat 211 kilogram (kg), ia senang dikawal dan dikendalikan.

Kesimpulannya, CB1000R me­mang sesuai untuk kaki pecut tapi pada masa sama mementingkan gaya penampilan.

Didatangkan dalam dua warna pilihan iaitu Graphite Black (hitam) dan Candy Chromosphere Red (merah), CB1000R dijual pada harga RM74,999 tanpa insurans, cukai jalan dan caj pendaftaran.