Itulah yang dilakukan oleh warga kelab permotoran Nimota CK9 Shah Alam (CK9SA) baru-baru ini. Mereka sanggup berkonvoi ke Temerloh di Pahang semata-mata mahu menikmati tempoyak ikan patin.

Temerloh merupakan sebuah daerah yang terkenal dengan ikan patin. Geografinya yang terletak di tepi Sungai Pahang menjadikan bandar itu lokasi tumpuan ramai pengunjung.

Malah, pasar tani Pekan Sari yang terkenal itu juga menjadi tumpuan pengunjung dan penduduk tempatan untuk mendapatkan ikan patin segar sama ada yang ditangkap liar atau ikan sangkar yang diternak di Sungai Pahang.

Perancangan dibuat seawal sebulan. Selain memaklumkan kepada ahli kumpulan, pelbagai persiapan lain turut dirancang seperti tempahan inap desa, aktiviti barbeku dan sebagainya.

Menurut penganjurnya, Mohd. Adznan Che Yahya, 41, aktiviti sedemikian dilakukan secara tahunan. Konvoi yang sama turut diadakan pada tahun lalu.

Beliau memberitahu, disebabkan ikan patin begitu digemari rakan-rakan dalam kalangan ahli CK9SA, maka ia diadakan sekali lagi kerana aktiviti itu juga dapat merapatkan lagi persahabatan mereka.

“Teh Tarik Session (TTS) ikan patin di Temerloh biasanya ambil masa sehari sahaja. Bertolak pada waktu pagi, kemudian balik semula ke rumah pada petang hari yang sama. Itu yang selalu dilakukan ahli kelab permotoran lain.

“Tetapi dalam konvoi kali ini, kami bermalam di Temerloh. Selain dapat memanfaatkan masa hujung minggu dengan berkonvoi, aktiviti yang diadakan juga dapat mengeratkan silaturahim ahli,” katanya kepada S2.

Menurutnya, konvoi bermula pada petang Sabtu minggu lalu. Kesemua ahli bergerak dengan lapan buah motosikal pelbagai model serta sebuah pacuan empat roda (4x4) ke Temerloh,” katanya.

Perjalanan yang biasanya mengambil masa dua jam menjadi tiga jam. Itu perkara biasa dalam aktiviti konvoi terutama jika melibatkan penyertaan yang ramai.

Seramai 12 orang termasuk empat sekeluarga yang menaiki jentera 4x4 menyertai konvoi ini. Kami bertolak dari Kota Kemuning, Shah Alam kira-kira pukul 3.30 petang.

Tambah Mohd. Adznan, kesemua ahli begitu seronok berkonvoi. Lebih mengujakan apabila kami disajikan dengan pemandangan menghijau di sepanjang Lebuhraya Karak.

“Kami bersyukur cuaca baik sepanjang perjalanan ke Temerloh. Kami tiba di homestay di Kampung Bangau tidak jauh dari bandar Temerloh kira-kira pukul 7 petang.

“Sebaik sahaja tiba, kami meneruskan aktiviti barbeku dan memancing. Memang sedap ayam bakar yang disediakan. Ayam..., kami bawa yang siap diperap dari rumah.

“Tetapi, nasib tidak menyebelahi rakan-rakan yang memancing. Tiada seekor ikan pun berjaya dinaikkan kerana air sungai agak deras. Jadi, kami hanya makan ayam bakar dan makanan ringan sahaja,” ujarnya.

Tidak banyak aktiviti dilakukan pada waktu malam. Selain memancing mereka banyak menghabiskan masa dengan bersembang dan berkongsi masalah motosikal masing-masing.

Tambah Mohd. Adznan lagi aktiviti yang paling dinanti-nanti adalah pada hari keesokannya iaitu Ahad.

“Selesai sarapan, kami terus pergi ke sangkar ikan patin yang terletak tidak jauh dari inap desa.

“Lebih mengujakan, kami diberi peluang untuk tangkap sendiri ikan patin dalam sangkar di tepi Sungai Pahang.

“Kami menangkap 25 ekor ikan patin dan dibawa ke Warung De Ceri, milik saudara kepada rakan kami yang juga merupakan orang tempatan di Temerloh,” katanya.

Menurut beliau lagi, hanya 10 ekor dimasak gulai, manakala selebihnya dibawa pulang.