Masih menggunakan DNA Bonneville, namun kehadiran Triumph Scrambler 1200 XC dan XE baharu berkuasa 1,200 cc ini diberikan talaan scrambler yang lebih jitu dalam tunggangan di kawasan luar jalan raya.

Dengan tork puncak 110 Nm pada 3,950 rpm, Scrambler 1200 XC dan XE turut dipadatkan dengan teknologi ride by wire dengan enam tetapan tunggangan termasuk Off-Road Pro pada versi XE.

Apa yang pasti, model terbaharu Triumph ini mengekalkan reka bentuk unik motosikal retro namun disesuaikan dengan pelbagai tekonologi masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn. Bhd, (Fast Bikes), pengedar tunggal Triumph di Malaysia, Datuk Razak Al-Malique Hussain berkata, Scrambler 1200 XC dan XE ini akan menjadi tumpuan penggemar motosikal dwi-kegunaan.

Kata beliau, ini berikutan, kemampuan jentera dua roda baharu Triumph ini mendominasi jalan raya dan di luar jalan raya memberikan kelebihan dan nilai tambah kepada pemiliknya.

"Jika dahulu, scrambler hanya boleh digunakan di luar jalan raya sahaja dan tidak berapa sesuai di gunakan untuk ulang alik di jalan raya tengah-tengah bandar.

"Namun kehadiran XC dan XE membolehkan pemilik untuk bergaya di bandar selain menempuh halangan ketika berekreasi di luar jalan raya dalam jarak yang jauh dengan pelbagai pilihan aksesori dari Triumph sendiri," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Triumph 1200 XC dan XE disertakan dengan panel instrumen TFT berwarna penuh generasi kedua yang membolehkan penunggang menyesuaikan paparan mengikut kegemaran mereka.

Manakala bagi varian XE yang lebih 'liar dan berani' Triumph, menyediakan brek ABS yang optimum untuk keselesaan membrek dalam apa juga keadaan sementara kawalan cengkaman optimum ketika menyelekoh memberikan lebih keyakinan kepada penunggang.

Bagi penunggang yang sering terlupa di mana kunci motor mereka, Triumph 1200 XC dan XE menawarkan tunggangan tanpa kunci selain kawalan jelajah untuk mereka yang ingin menjadikan jentera dua roda ini sebagai motosikal rentas sempadan.

Kedua-dua varian ini juga dipadatkan dengan pencengkam yang boleh dipanaskan untuk kegunaan jelajah di negara bersuhu rendah selain soket pengecas USB yang kini sudah menjadi satu keperluan tetap.

Buat masa ini, harga jualan masih belum diumumkan untuk pasaran di Malaysia dan juga belum diketahui bila ia akan dibuka untuk tempahan.

Untuk sebarang keterangan lanjut dan penempahan, orang ramai boleh melayari laman web www.fastbikes.com.my atau menghubungi 03-79609007. - UTUSAN ONLINE

SPESIFIKASI

ENJIN: Penyejukan cecair, 8 injap, SOHC, Parallel Twin sudut engkol 270°

SESARAN: 1200cc

GEREK x LEJANG: 97.6 x 80.0mm

NISBAH MAMPATAN: 11.0:1

KUASA MAKSIMUM: 89hp @ 7,400rpm

TORK MAKSIMUM: 110Nm @ 3,950rpm

SISTEM BAHAN API: Suntikan bahan api elektronik sekuensial multipoin injection

KLAC: Klac bantuan multiplat, basah

KOTAK GEAR: 6-kelajuan

SUSPENSI: DEPAN - Fork USD Showa ⌀45mm boleh laras (XE-⌀47mm), travel 200mm (XE-250mm); BELAKANG - Öhlins boleh laras piggy-back RSU dengan spring kembar, travel 200mm (XE-250mm)

TINGGI PELANA: 840mm (XE-870mm)