Dengan penyertaan 620 buah kenderaan terdiri daripada 210 buah kereta lumba MSF Superturismo, 80 buah motosikal lumba MSF Superbikes, 30 buah kereta drift MSF Drift Gonzo dan 300 buah kereta dari kelab kereta, ia merupakan penyertaaan terbesar dalam sejarah MSF.

Malah, kehadiran penonton pada perlumbaan tersebut amat luar biasa iaitu melebihi 10,000 orang, satu angka yang jauh lebih besar berbanding siri perlumbaan MSF sebelum ini.

Menurut penyelaras acara perlumbaan MSF, Mohd. Zahrin Mohd. Zahran, itu merupakan kali pertama MSF dilangsungkan pada waktu malam sejak pertandingan tersebut yang dahulunya dikenali sebagai Saturday Night Fever (SNF) dijenamakan sebagai MSF pada 2016.

“MSF Merdeka Enduro 2018 juga merupakan perlumbaan diiktiraf Persatuan Automobil Malaysia (AAM) pertama yang dilangsungkan pada waktu malam di bawah sinaran lampu 150-lumen baharu SIC.

“Saya amat gembira MSF kini semakin berkembang dan mendapat sambutan daripada ramai pelumba tempatan dan negara jiran. Ini satu perkembangan yang baik dan menunjukkan budaya automotif di negara ini kini kembali rancak,” katanya kepada MotorMania.

Acara utama dalam MSF Merdeka Enduro adalah Piala Enduro bagi kategori SuperTurismo yang diadakan setahun sekali pada sempena Hari Kebangsaan.

Pasukan Evotec menerusi gandingan Shazull Hisham dan Hafiz Bachok mengulangi pencapaian pada tahun lalu selepas menguasai perlumbaan kategori Race Cars Open (Kereta Lumba Terbuka).

Walaupun ketinggalan pada peringkat permulaan, Shazul dan Hafiz yang memandu kereta Honda Civic FD2R K24 menamatkan perlumbaan dengan bergaya selepas pendahulu awal, Weekaraj Dokchan dan Mohd. Yuzaidi yang memandu Mitsubishi Evolution 9 mengalami masalah enjin.

Sementara itu, acara Drift yang mempertandingkan tiga kategori iaitu Pro Comp, Street dan Super 1600 turut menjadi tumpuan ramai. Dalam kategori Pro Comp iaitu untuk peserta profesional, Jack Tan muncul juara manakala tempat kedua milik Tan Hang Eng dan ketiga, Lim Cheng Ho.

Perlumbaan Superbikes Super 1000 pula menyaksikan persaingan dramatik antara Ahmad Khan dengan Azwan Malek. Walaupun bermula di petak belakang, Ahmad Khan berjaya muncul juara selepas motosikal yang ditunggang Azwan mengalami masalah. Tempat kedua pula menjadi milik Muhammad Fazli Mansuar.

Pusingan kelima MSF yang dijadualkan pada 14 Oktober ini menjanjikan aksi yang lebih mendebarkan ketika persaingan merebut kejuaraan semakin menuju ke penghujung.