Menurut Lexus Malaysia, RX300 Special Edition itu hadir dengan spesifikasi sama dengan varian RX300 Luxury, namun ditambah dengan beberapa aksesori tambahan terutama penampilan luaran dan fungsi tambahan bagi permotoran.

“RX ketika ini adalah gene­rasi keempat dan RX300 Special Edition ini adalah varian ketujuh RX oleh Lexus Malaysia, satu daripada model pa­ling berjaya jenama ini.

“Semua varian RX300 dilengkapi enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo empat silinder yang mampu menjana kuasa kuda 235 PS dan kuasa kilas 350 Nm,” jelas syarikat itu dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) itu menampilkan sebuah panel dipasang di bahagian hadapan untuk melin­dunginya daripada batu dan objek lain, selain rekaan sisi yang bukan saja bergaya malah menjadikannya tambah elegan.

Visor rekaan khas dipasang pada tingkap bagi mengelakkan air hujan masuk ke dalam kabin kereta yang turut ditambah dengan ciri laluan yang meminimumkan kemasukan angin walaupun tingkap dibuka sedikit ketika bergerak.

Untuk ruang kargo belakang, ia kini dipasang dengan pelindung tangga pada bahagian hujung bawah pintu belakang bagi melindunginya daripada calar dan kotoran terutama ketika urusan keluar dan masuk barangan.

Dua aksesori lain turut dipasang pada RX300 Special Edition itu ialah pengimbas kad Touch ‘n Go yang membolehkannya melalui laluan Smart Tag di plaza tol untuk kemudahan pemandu.

Model itu dilengkapi Pe­rakam Video Digital (DVR) bagi tujuan visual perjalanan dan bukti utama jika berlaku kejadian kemalangan terletak di belakang cermin pandang belakang.

Semua aksesori model RX300 Special Edition itu memenuhi standard dan kualiti tinggi dipasang oleh kakita­ngan Lexus terlatih dan profesional di Pusat Aksesori UMW Toyota di Bukit Raja Selangor.