Walaupun sedikit lewat, produk Type R ini tidak lut dek masa, kerana semua tahu keistimewaannya. Civic Type R generasi baharu ini menggunakan enjin 2.0 liter VTEC Turbo K20C1, diperkasa dengan hanya transmisi gear manual enam-kelajuan nisbah rapat bersama short shifter dan LSD helical.

Didatangkan terus dari Kilang Honda Swindon di United Kingdom, harga Civic-R ini ialah RM330,002 tanpa insurans.

Kelajuan

Berbanding model Ero­pah dan Jepun yang menerima talaan kuasa 320 PS dan kuasa kilas maksimum 400 Nm, pasaran ASEAN termasuk Malaysia menerima talaan kuasa 310 PS dengan jumlah kuasa kilas yang sama.

Menurut Honda Malaysia, pengurangan talaan kuasa 10 PS ini disebabkan jenis petrol yang digunakan di Malaysia. Ini bukan bermaksud petrol di Malaysia rendah kualiti, tetapi enjin ini ditala agar dapat beroperasi secara optimum walaupun menggunakan petrol RON95, berbanding negara yang mendapat kuasa 320 PS yang telah ditetapkan enjin berkenaan hanya boleh beroperasi dengan petrol oktana tinggi.

Walaupun dengan jumlah kuasa yang sedikit rendah, jumlah kuasa kilas 400 Nm yang sama membolehkan pecutan 0-100 km/j hampir tidak berubah, iaitu tidak sampai 0.1 saat berbanding catatan 5.7 saat. Hebatnya Civic-R ini tetap mampu mencapai kelajuan maksimum 272 km/j.

Enjin

Enjin baharu ini turut diberikan sentuhan yang lebih teliti antaranya, roda tenaga (flywheel) beban-tunggal pada enjin untuk mengurangkan inersia klac sebanyak 25 peratus. Ia juga menampilkan sistem auto-blip untuk menurunkan gear secara agresif (dengan memberikan throttle-blip secara automatik ketika gear diturunkan), membolehkan pemandu tanpa kemahiran menggunakan gear manual menurunkan gear dengan lancar secara drastik.

Sistem gantungan

Daripada segi mekanikal, Civic-R ini sama dengan model-model pasaran luar. Ia menampilkan sistem gantungan hadapan dua-paksi bersama lengan bawah dan knuckle kemudia roda aluminium bagi menambah baik had ketika membelok di selekoh serta mengurangkan torque steer, bersama sistem kemudi roda berkuasa elektrik dua-pinan dengan nisbah pelbagai.

Berbanding Type-R FK2 generasi terdahulu yang hanya memiliki sistem gantungan jenis torsion beam, Civic Type-R baharu ini menampilkan siste gantungan multilink pada bahagian belakang, seterusnya meningkatkan lagi had pengendaliannya. Kesemua sistem gantungan pada model baharu ini juga menerima Sistem Gantungan Adaptif dengan penyerap hentak tiga-chamber, penderia strok individu dan tiga penderia daya-G pada kenderaan bagi menawarkan kadar variasi lebih luas antara keselesaan dan juga gerak balas pengendalian yang dinamik.

Ciri lain

Model pasaran Malaysia ini turut dilengkapi Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Kawalan Traction, ABS dan EBD serta cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix pada bahagian belakang. Type R ini juga hadir dengan sistem Advanced Display Audio dengan skrin sentuh tujuh-inci.

Roda

Civic Type-R ini diperaga dengan rim aluminium berdiameter 20-inci, menggunakan tayar berprestasi tinggi Continental ContiSportContact 6 bersaiz 245/30R20. Sistem brek Brembo ditempatkan disebalik rim-rim gergasi ini dengan cakera berliang serta ditebuk berdiameter 350 mm bersama angkup brek empat-omboh dihadapan, manakala cakera solid berdiameter 305 mm pada roda belakang.

Badan

Kerangka Type-R ini dibina lebih kukuh berbanding model hatchback dan sedan FC standard, dengan 38 peratus peningkatan pada ketegaran kilas serta 45 peratus peningkatan pada ketegaran lentur berbanding Civic Type-R terdahulu. Ini membolehkan respon kemudi roda lebih baik dapat dicapai selain dari melenyapkan getaran badan serta bunyi pada kabin.

Proses ini dilakukan dengan menggunakan pelekat struktur pada seluruh badan. Keluli berkekuatan ultra-tinggi digunakan sebanyak 14 peratus daripada keseluruhan badan, bersama bonet enjin aluminium menjadikan Type-R FK8 16 kg lebih ringan berbanding Civic Type-R generasi sebelumnya.

Luaran

Bahagian luaran kereta ini pantas mengingatkan kita ciri kereta berprestasi tinggi dalam filem Fast & Furious. Kit aero kereta ini iaitu bampar hadapan bersama splitter udara, liang udara pada bonet dan kedua-dua fender hadapan, penjana vortex pada bumbung belakang, spoiler gergasi dan juga diffuser belakang benar-benar memberikan downforce yang diperlukan ketika memecut.

Berbanding model 1.5 Turbo standard yang hanya dilengkapkan dengan tip ekzos berkembar, versi Type-R ini dilengkapi dengan tiga batang ekzos pada bahagian tengah. Untuk pasaran Malaysia, FK8 hanya hadir dengan warna rasmi Type-R iaitu Championship White dan ia turut menerima perincian Type-R lain seperti lencana, dan yang paling penting, logo H dengan latar belakang merah.

Dalaman

Bahagian dalaman versi Type-R ini masih mengekalkan asas rekaan pada model sedan dan hatchback standard. Sama seperti barisan model Type-R yang lain, ia menerima paparan meter dengan latar belakang merah, serta kemasan-kemasan merah lain seperti jalur serlahan pada papan pemuka dan pintu serta jahitan benang merah pada bahagian tertentu, selain dari kemasan-kemasan dengan elemen gentian karbon.

Tempat duduk bucket berwarna merah diberikan bersama roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit (dengan elemen merah), sarung tuil gear kulit, tombol dan set pedal aluminium serta plat nombor siri Type-R ditempatkan pada konsol tengah, bagi melengkapkan identiti sebuah Type-R sebenar.

SPESIFIKASI CIVIC TYPE-R

EnJIN:

• 4 Silinder, 16 Injap, DOHC VTEC TURBO

Sistem Bahan Api:

• PGM-FI (Suntikan Terus)

Kuasa Maksimum:

• 310 PS (228kW) @ 6,500rpm

Kuasa Kilas:

• 400 Nm 2,500-4,[email protected]

Harga (Tanpa Insurans):

• RM330,002