Sejak diperkenalkan pada 2004, kejohanan itu belum pernah menyaksikan kehadiran peserta dari Malaysia. Omar merupakan rakyat Malaysia pertama yang bertanding dalam kejohanan paling berprestij bagi pereka motosikal binaan khas.

Kalau Piala Dunia FIFA adalah kejohanan bola sepak paling berprestij, Kejohanan Dunia AMD adalah ibarat Piala Dunia untuk pereka motosikal binaan khas.

Meskipun menduduki tempat kedua dalam kelas gaya bebas tetapi untuk pengetahuan umum, kategori itu adalah acara utama dalam kejohanan tersebut. Hanya kelas itu menerima penyertaan daripada apa jua jenis serta reka bentuk motosikal dan hanya pemenang kelas itu mendapat gelaran Juara Dunia.

Omar yang masih berada di Jerman ketika dihubungi MotorMania menerusi aplikasi WhatsApp, meluahkan rasa gembira kerana berjaya menduduki tempat kedua dalam kejohanan tersebut.

“Walaupun saya meletakkan sasaran untuk muncul juara dunia tetapi saya tetap gembira meskipun mendapat tempat kedua kerana impian saya sudah tercapai.

“Saya sudah memasang impian untuk bertanding di Kejohanan Dunia Motosikal Binaan Khas AMD sejak bergiat secara serius dalam perniagaan membikin motosikal pada 2009,” katanya.

Pada kejohanan yang berlangsung dari 3 hingga 7 Oktober itu, gelaran juara dunia menjadi milik Golubchikov Dima dari Rusia manakala tempat ketiga dimenangi Marusius dari Hungary.

Omar merupakan pereka motosikal binaan khas yang cukup dikenali dan dikagumi di Malaysia kerana motosikal binaan khas yang dihasilkannya penuh berseni.

Kini nama beliau semakin dikenali di persada antarabangsa selepas motosikal “Bone X” yang dihasilkannya dengan kos sekitar RM60,000 untuk kejohanan dunia itu menduduki tempat kedua.

Perjuangan anak jati Klang, Selangor berusia 48 tahun itu untuk menempa nama di kejohanan tersebut menuntut pengorbanan besar. Bukan setakat masa, malah wang ringgit banyak telah dihabiskan bagi memenuhi impiannya.

Bapa kepada empat orang anak itu pernah menjual dua buah kedai pembuatan jeriji dan besi miliknya pada 2013 untuk mendapatkan modal membuka bengkel di Amerika Syarikat (AS). Semua itu dilakukan semata-mata bagi mencari peluang untuk bertanding di Kejohanan Dunia Motosikal Binaan Khas AMD.

Oleh sebab kekangan kewangan, beliau terpaksa memendam seketika impiannya itu dan kembali ke Malaysia. Namun, siapa sangka, peluang tersebut akhirnya terhidang di tanah air sendiri.

Omar mendapat tiket bertanding di Kejohanan Dunia Motosikal Binaan Khas AMD 2018 selepas memenangi pertandingan saringan yang diadakan di karnival permotoran Motonation 2017 pada Disember tahun lalu di Putrajaya.

Pada Motonation 2017, motosikal “Bone X” yang dihasilkan oleh Omar paling menyerlah dan turut memukau perhatian Neil Blaber yang mengendalikan pertandingan itu. Blaber merupakan pemilik pengurusan pameran motosikal binaan khas dari United Kingdom (UK).

MotorMania masih ingat dengan jelas kata-kata Blaber semasa berbual dengan beliau di Motonation 2017. “Kamu sudah boleh mengagak siapa pemenangnya tanpa saya perlu memberitahu kamu kerana ia sudah terlalu jelas,” kata Blaber.

Meskipun impiannya untuk bertanding di pentas paling berprestij untuk pereka motosikal binaan khas sudah tercapai, Omar semakin teruja dan mahu muncul juara dalam kejohanan berikutnya yang akan diadakan pada 2020.

“Saya sedang mencari idea untuk menghasilkan motosikal untuk kejohanan selepas ini. Mungkin seperti Bone X tetapi akan diperbaiki dan ditambah baik,” katanya.

Omar juga mengatakan bahawa beliau sudah mempunyai strategi bagi memastikan orang lain tidak meniru konsep motosikal binaan khas beliau.

“Saya tidak mahu gambar dan video motosikal saya ditayangkan di Internet sebelum pertandingan.

“Macam Bone X, gambar motosikal itu sudah tersebar di Internet selepas saya menyertai Motonation 2017 iaitu setahun sebelum Kejohanan Dunia Motosikal Binaan Khas AMD 2018.

“Walaupun ini mungkin memberikan kelebihan kepada saya dari segi populariti tetapi sisi buruknya ialah orang lain boleh meniru konsep saya itu,” ujarnya.