Serena J Impul baharu berharga RM147,800 (warna luar satu tona) dan RM149,800 (dua tona) sebuah untuk Semenanjung Malaysia manakala RM150,300 (satu tona) hingga RM152,300 (dua tona) sebuah untuk pasaran Sabah dan Sarawak.

Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan berkata, bibir spoiler depan dan belakang pada bahagian bampar dengan kemasan krom J Impul dibina khas di Jepun bagi menghasilkan rekaan tiga dimensi yang tepat.

“Penghasilannya dibuat menerusi acuan suntikan untuk mencapai downforce sehingga 10 peratus dan menambah baik kestabilan pada kelajuan tinggi.

“Rim aloi Impul Millennium bersaiz 18 inci dengan kemasan hitam berkilat menyerlahkan lagi rekaan mewah dan aspek aerodinamik kenderaan pelbagai guna (MPV) ini. Sementara itu, kerusi kulit premium sulaman berlian menonjolkan kemewahan sentuhan Jepun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Tan, Nissan Serena J Impul baharu direka khas untuk mereka yang ingin merasai dan menghargai kemewahan Jepun.

Katanya, sistem 2.0L S-Hybrid menawarkan penjimatan bahan bakar yang terbaik dalam kelasnya iaitu 14.2km/L sekali gus menjadikan Nissan Serena setanding kenderaan cekap tenaga (EEV).

“Pelbagai ciri inovatif disertakan seperti pintu gelongsor berkuasa bebas tangan, dua pintu di bahagian belakang, tujuh port USB, Monitor Pandangan Keliling Pintar (I-AVM) bersama Pengesanan Objek Bergerak Pintar (I-MOD) dan sambungan Apple CarPlay.

“Ciri-ciri yang lengkap ini menjadikan Nissan Serena 2.0L S-Hybrid sebagai MPV saiz sederhana bukan nasional paling laris di Malaysia,” ujarnya.