Dalam pertemuan itu, beliau yang juga penulis ruangan Tip Permotoran di MotorMania memberitahu, sasarannya dalam perlumbaan MSF tahun ini ialah tiga tempat teratas dalam kategori Street Tuned.

Ramai peminat dan pelumba MSF sendiri sebenarnya melihat sasaran yang ditetapkan oleh Mohd. Fadly itu terlalu tinggi dan sukar dicapai. Ini memandangkan Mohd. Fadly bukan pelumba yang dikenali dalam perlumbaan litar walaupun namanya gah dalam disiplin autocross dan gymkhana. Apatah lagi, MSF 2018 merupakan perlumbaan musim penuh yang pertama bagi Mohd. Fadly.

Namun, keyakinan Mohd. Fadly itu sebenarnya disandarkan dengan faktor beliau bergandingan dengan pelumba hebat, Alif Hamdan dalam MSF 2018 untuk memandu jentera Proton Satria nombor 201.

Ramai pelumba mula memandang serius cabaran Mohd. Fadly dan Alif apabila mereka mencatatkan masa terpantas dalam pusingan kelayakan perlumbaan pusingan pertama MSF 2018 pada 25 Februari lalu. Namun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila gagal menamatkan perlumbaan disebabkan masalah teknikal.

Walau bagaimanapun, dalam empat pusingan seterusnya, gandingan Mohd. Fadly dan Alif bukan setakat mencatatkan masa terpantas dalam setiap pusingan kelayakan malah muncul juara dalam perlumbaan.

BERTUAH

Meskipun perlumbaan MSF 2018, masih berbaki satu pusingan, Mohd. Fadly dan Alif sudah memastikan kejuaraan kategori Street Tuned lebih awal.

Menurut Mohd. Fadly yang juga dikenali sebagai The Racing Lawyer kerana kerjayanya sebagai peguam, beliau sangat gembira kerana berjaya muncul juara dalam musim penuh pertamanya di MSF.

“Saya sekadar meletakkan sasaran tiga teratas pada awal musim tetapi tidak sangka mampu menjuarai perlumbaan MSF 2018 dengan begitu bergaya.

“Walaupun sudah sah juara, saya berharap dapat mengekalkan momentum kemenangan ini dalam perlumbaan pusingan terakhir pada 1 Disember ini,” katanya kepada MotorMania.

Sementara itu, Alif berkata, beliau berasa amat bertuah kerana diberikan peluang berganding dengan Mohd. Fadly untuk sepanjang musim MSF 2018.

“Pemilik dan pemandu kereta Proton Satria nombor 201, Mohd. Fadly sejak awal lagi telah membuat keputusan untuk membentuk kerjasama dengan saya dan AHM Technik Motorsport.

“Alhamdulillah, kami berjaya mengungguli sebanyak empat daripada perlumbaan setakat ini,”katanya.

Menurut Alif, AHM Technik berperanan dalam memastikan pembangunan dari segi pemanduan dan pengendalian jentera Proton Satria 1.6 Turbo untuk Mohd. Fadly.

“Enjin dan driveline kereta tersebut telah diubah suai dan disiapkan oleh Z Garage Motorsport. Walaupun kuasa kereta hanya setakat 200 kuasa kuda, namun kereta tetap boleh diharapkan dan berkualiti. Terima kasih Z Garage Motorsport.

“Saya dan AHM Technik sentiasa berharap dan mahukan kerjasama ini akan berterusan untuk pengendalian kemajuan kenderaan 201 pada masa hadapan,” ujarnya.

Selain Z Garage Motorsport dan AHM Technik, Mohd. Fadly dan Alif mendapat penajaan daripada Cafe Famili DrM3, Perfect T Oil Treatment, Mingguan Malaysia, Fleetoil, Fleet Battery, Draco, Aaron Spray & Bodyworks, Brotherhood Sticker, F Tuned Racing Suspension dan K1 Exhaust Specialist.

Mereka juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penaja dan keluarga masing-masing.