Perasaan bercampur-baur antara teruja, cemas dan takut, meskipun hakikatnya dia merupakan jururawat terlatih dan mempunyai kelulusan yang diperlukan.

Ketika itu dia menyedari akan berurusan dengan soal nyawa dan pesakit yang sedang melalui saat getir.

“Di atas kertas mungkin kita dianggap terlatih, tetapi apa saja boleh berlaku ketika ‘di lapangan’ sebenar.

“Namun, saya berusaha pujuk diri agar bertenang dan ikut arahan doktor bertugas. Alhamdulillah, pengalaman pertama ini saya dapat tempoh dengan berjaya,” katanya mengimbau pengalaman beberapa tahun lalu.

Bertugas sebagai jururawat terlatih di Dewan Bedah, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, Johor, Nurul Fattwa memperoleh diplomanya dari Kolej Universiti MasterSkill, Cheras.

Sebaik sahaja tamat pengajian, anak sulung daripada empat beradik itu bekerja di sebuah hospital swasta, sebelum memohon jawatan jururawat di Kementerian Kesihatan empat tahun lalu.

Apabila diterima bertugas di HSNI, dia telah ditempatkan di dewan bedah walhal sebelum ini tidak mempunyai pengalaman langsung di dewan bedah.

Pun begitu, dia menerima cabaran itu dan berazam menjalankan tugasnya dengan sebaik mungkin.

“Saya mengikuti kursus kejururawatan selama tiga tahun dan diajar tentang semua rawatan asas perubatan, psikiatri, pediatrik, sakit puan, ortopedik dan sebagainya.

“Walaupun tidak diajar secara khusus dan tidak berpengalaman di dewan bedah, kerana minat dan suka dengan tugas yang mencabar, saya anggap ini sebagai satu bonus.

“Tugas pertama saya ialah mengenal pasti peralatan yang digunakan di dewan bedah. Saya perlu menghafal setiap satu. Agak susah kerana setiap satu mempunyai fungsi berbeza,” katanya yang merupakan anak kelahiran Batu Pahat, Johor.

Menurutnya, setakat ini dia telah membantu dalam pembedahan caesarian, ortopedik, menukar tulang paha, pesakit yang parah akibat kemalangan jalan raya dan sebagainya.

Ditanya pengalaman sukar dilupakan ketika berdepan pesakit yang bertarung dengan maut semasa pembedahan sedang dilakukan, katanya terlalu banyak untuk diceritakan.

Ada satu kes, katanya, paras oksigen pesakit tiba-tiba turun dan pesakit dalam keadaan kritikal.

Biarpun, bantuan pernafasan segera diberikan, akhirnya pesakit tersebut meninggal dunia di atas meja pembedahan.

Selain sedih kerana pesakit tersebut gagal diselamatkan, satu lagi saat paling sukar ialah tidak tahu bagaimana hendak memberitahu saudara-mara yang sedang menunggu di luar.

Nurul Fattwa turut menceritakan satu lagi pengalaman agak mengerikan, apabila seorang pesakit lelaki dikejarkan ke dewan bedah kerana mengalami kemalangan yang dipanggil trauma alert.

“Pesakit yang berumur dalam lingkungan usia 60-an itu sedang mengayuh basikal apabila dia digilis treler yang mengakibatkan bahagian pinggang ke paha hancur dan perutnya terkeluar.

“Keadaan ketika itu memang kelam-kabut, pendarahan perlu segera dihentikan dan pembedahan segera dilakukan. Pembedahan ini agak rumit kerana melibatkan banyak bahagian tubuh.

“Setelah selesai pembedahan, dia dihantar ke Unit Rawatan Rapi dan alhamdulillah kini sembuh,” jelasnya yang turut gembira apabila pesakitnya dapat melewati tempoh kritikal dan selamat.

Ditanya mengenai kerjaya yang sedang diceburi ini, Nurul Fattwa, bidang kejururawatan mempunyai potensi besar khususnya golongan lepasan sekolah baik wanita mahupun lelaki.

Katanya, jururawat mempunyai banyak cabang pengkhususan yang menarik dan mencabar bagi mereka yang berminat.

“Apa yang penting, ia adalah kerjaya yang mulia membantu pesakit yang tidak berupaya,” katanya.

Tunggu tawaran bekerja di Arab Saudi

MAHU menimba pengalaman bekerja di negara orang selain berharap memperoleh pendapatan lebih lumayan, Nurul Fattwa kini sedang menunggu tawaran untuk bekerja di sebuah hospital di Arab Saudi.

Katanya, dia telah pun menulis surat permohonan cuma sekarang menunggu jawapan sahaja.

Keputusannya ini mendapat persetujuan dan kebenaran daripada suami dan keluarga.

“Jika diterima bekerja, saya perlu berhenti kerja di sini. Saya memang teringin sangat hendak ke sana untuk melihat negara orang dan dalam masa yang sama dapat menunaikan umrah.

“Gaji sebagai jururawat di hospital Arab Saudi sangat lumayan, iaitu kira-kira RM12,000 sebulan dan saya akan menandatangani kontrak selama lima tahun. Tempat tinggal pun turut disediakan,” kata ibu kepada seorang anak lelaki, Muhammad Iman Rifqi Mohd. Noor Ikhwan, 4.

Tambahnya, bekerja di hospital di Arab Saudi bukan lagi asing bagi jururawat di Malaysia kerana telah ramai yang pergi ke sana bagi merebut peluang pendapatan yang lebih lumayan bagi keselesaan hidup.