Namun mereka yang pernah melalui bandar Tangkak, Johor, mungkin tertarik dengan sebuah taman yang terletak di bandar tersebut kerana keunikannya. Sesuai dengan nama taman ajaib, taman berkenaan boleh menjadi daya tarikan baharu ke bandar berkenaan.

Pembinaan taman tersebut sebenarnya mendapat inspirasi daripada kisah peminangan Puteri Gunung Ledang memerlukan tujuh hati nyamuk dan sebagainya.

Justeru dengan kos RM100,000, taman tersebut dibina dalam tempoh enam minggu dengan bantuan dan kerjasama dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Kawasan tersebut pada asalnya adalah taman bunga raya berkeluasan tiga ekar dan sebahagian besarnya adalah taman bunga raya.

Idea daripada pemimpin kawasan tersebut dan dengan janaan idea oleh FRIM yang mencadangkan reka bentuk, susun atur dan jenis-jenis pokok atau tanaman yang sesuai merealisasikan berkenaan.

Ideanya adalah untuk menubuhkan satu taman yang mirip Dubai Miracle Garden.

FRIM menyediakan kertas cadangan yang dikemukakan kepada Timbalan Menteri pada 27 Jun 2016 dan perbincangan kemudian diadakan.

Kawasan seluas 900 meter persegi di dalam Laman Bunga Raya telah dipilih sebagai tapak Taman Mini Ajaib Ledang.

Cadangan FRIM termasuklah menaik taraf landskap yang sedia ada di Laman Ledang dengan elemen-elemen tarikan landskap yang baharu terdiri daripada komponen landskap kejur yang dihiasi dengan landskap lembut iaitu bunga-bungaan berwarna warni dan tanaman pokok renek yang menarik serta pokok-pokok topiari.

FRIM juga menyediakan pelan landskap terperinci untuk menaik taraf landskap dengan elemen-elemen tarikan landskap yang baharu terdiri daripada arca-arca dan gerbang-gerbang bunga-bungaan, di samping tanaman-tanaman renek yang menarik.

Kerja-kerja menaik taraf taman berkenaan memberikan wajah baharu di kawasan laman sedia ada dan memberi kelainan rupa landskap taman di bandar Tangkak.

Usaha tersebut bertujuan menawarkan tarikan kawasan pelancongan baharu kepada Bandar Tangkak, meningkatkan jumlah pengunjung dan pengguna, serta mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan selesa.

Peningkatan kehadiran pengunjung dan pelancong boleh menjadi pemangkin kepada kerancakan kegiatan ekonomi tempatan.

Pembangunan taman tersebut dipantau bersama oleh FRIM dan Majlis Daerah Tangkak dan sekarang, ia merupakan taman bawah jagaan majlis daerah tersebut.

Menurut Pegawai Perancang Bandar dan Desa Majlis Daerah Tangkak, Zulkifli Sabree, meskipun hanya kawasan berkeluasan 900 meter persegi, tetapi taman berkenaan boleh dianggap ajaib disebabkan konsepnya berdasarkan legenda yang ada di Ledang berkenaan yang tertakluk kepada syarat peminangan.

“Saya nasihatkan masyarakat sekitar atau pengunjung supaya menghargai taman ini dan jangan petik bunga sesuka hari,” ujarnya yang akan menambah baik dengan adanya pencahayaan dan menambah koleksi produk hardscape dan softscape yang dibuat secara berperingkat-peringkat.

Menurut Penolong Arkitek Landskap, Hanafi Lazim, pihak juga mengambil kira pembangunan struktur yang menepati kehendak semasa supaya tidak kelihatan ketinggalan zaman.

Sebagai contoh, pihaknya menggunakan struktur daripada bahan lain selain daripada kayu semata-mata bagi memberi kesegaran dan mengikut perubahan semasa manakala bunga yang dipilh adalah jenis renek yang tidak terlalu besar.