Terletak kira-kira 80 kilometer dari Kuala Lumpur, Taman Alam Kuala Selangor menjadi destinasi sempurna untuk tujuan tersebut.

Lokasi itu menjadi pilihan penulis kali ini untuk beriadah bersama keluarga.

Pastinya si kecil berpeluang mengenali dan merasai sendiri pengalaman menghayati kehijauan alam semula jadi, sekali gus menjadikan Taman Alam Kuala Selangor, tempat yang sesuai untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Sudah pasti si kecil begitu teruja kerana dapat melihat dan meneroka alam yang hijau, jauh pada hiruk-pikuk kehidupan bandar yang menyesakkan.

Tidak susah untuk sampai ke situ. Sebaik sahaja memasuki bandar Kuala Selangor, cari sahaja lokasi Bukit Melawati.

Taman Alam Kuala Selangor terletak bersebelahan dengan bukit itu. Tiket masuk yang dikenakan pula berbaloi iaitu RM4 dewasa, RM2 warga emas dan RM1 kanak-kanak, tujuh tahun ke bawah.

Taman yang diuruskan oleh Persatuan Pencinta Alam (MNS) itu mempunyai keluasan 296 hektar. Ia terbahagi kepada dua bahagian utama yang merangkumi hutan hujan tropika, seluas 201 hektar dan selebihnya adalah hutan paya bakau.

Selepas membeli tiket masuk, penulis dan keluarga memulakan aktiviti treking.

Berjalan dengan anak-anak kecil mengambil masa yang lebih lama kerana melayan keterujaan mereka melihat keunikan alam semula jadi.

Dibuka tujuh hari seminggu termasuk cuti umum, dari pukul 9 pagi hingga 6 petang, taman itu mempunyai beberapa denai untuk pengunjung berjalan kaki.

Perjalanan penulis dan keluarga bermula dari denai utama sepanjang 550 meter, menempuh hutan menghijau yang dipenuhi dengan pokok bersaiz besar seperti pokok ara, beruas dan ketapang.

Denai yang selesa memudahkan kami menyelusurinya sehingga persimpangan denai yang menghubungkan Pangolin 
Trail dan Bund Trail, masing-masing sejauh 988 meter dan 1,675 meter.

Kedua-dua denai itu pula menghubungkan pengunjung ke denai Mangrove Walkway atau Laluan Paya Bakau sepanjang 1,500 meter.

Kesemua laluan itu mengelilingi sebuah tasik buatan manusia seluas 10 hektar yang dicipta untuk tujuan pembiakan dan memelihara pelbagai spesies burung yang menjadikan taman itu sebagai habitat.

Kawasan itu menjadi habitat lebih daripada 150 spesies burung dan 57 daripadanya adalah burung dari luar negara yang bermigrasi setiap tahun.

Justeru, Taman Alam Kuala Selangor menjadi tempat popular dalam kalangan pemerhati burung yang datang dari dalam dan luar negara.

Antara spesies burung tempatan yang menjadi penghuni tetap di taman itu ialah burung bakau, bangau, ketitir, pekaka, raja udang, pucong, serandau dan helang bahu hitam.

Spesies burung berhijrah pula adalah purple herow, great eagle, tiger shrike, brown shrike, arctic shrike, warbler dan purple swamphen.

Setibanya kami di penghujung denai utama, terdapat satu menara pemerhati yang dibina bagi memudahkan pengunjung naik dan melihat pemandangan sekeliling taman alam ini. Dari atas menara itu juga, kita boleh memerhatikan pelbagai spesies burung yang menghuni di kawasan sekitar.

Terdapat tiga menara pemerhati yang dibina sekitar taman alam ini.

Beberapa ketika kemudian, perjalanan diteruskan melalui denai yang mengelilingi tasik untuk ke kawasan hutan paya bakau.

Perjalanan ke sana mengambil masa hampir sejam, namun tidak terasa penatnya kerana laluannya menyajikan pemandangan memukau yang dikelilingi ‘terowong pepohon’ yang menghijau.

Sambil berjalan, kelihatan beberapa spesies haiwan yang menghuni hutan di situ seperti memerang, kera, burung, ketam, ikan belacak dan rama-rama.

Tiba di pintu masuk laluan hutan paya bakau, anak-anak kecil tambah teruja apabila berpeluang menempuh satu lagi terowong pokok bakau yang dipelihara di situ.

Denai sejauh satu kilometer itu melalui platform konkrit, memberi cabaran baharu buat si kecil.

Di sepanjang denai itu, pokok bakau menghiasi pemandangan kiri dan kanan laluan, manakala bawah platform kontrik itu adalah kawasan berlumpur.

Hutan paya bakau di sini berfungsi sebagai pengekal ekosistem dan menjadi habitat semula jadi kepada pelbagai jenis haiwan liar seperti memerang ikan, ketam rehab, ketam bakau, ikan belacak dan siput sedut.

Selepas menghabiskan masa kira-kira 20 minit di pondok hutan paya bakau, kami mula bergerak untuk menyambung perjalanan sehingga tiba ke pintu keluar taman paya bakau.

Perjalanan ditamatkan dengan menempuh Bund Trail sejauh 1,674 meter dan tiba semula di persimpangan denai utama.

Keseronokan dan keterujaan anak-anak kecil membuatkan mereka mahu kembali ke taman ini semula.