Pemiliknya, Ahmaddiah Jaamat berkata, makanan tersebut hasil idea salah seorang pekerja nya sebagai percubaan untuk melihat penerimaan pelanggan terhadap resepi baharu itu.

“Proses membuatnya adalah mudah dengan hanya menyalut roti pita bersama serbuk roti manakala intinya adalah campuran beberapa jenis sayur dan ayam yang dipotong dadu.

“Kira-kira 50 hingga 60 biji kebab disediakan setiap hari manakala pada hari minggu dan cuti umum permintaannya lebih tinggi mencecah sehingga 200 biji,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, kedai itu turut menghidangkan pelbagai menu sarapan seperti nasi lemak, kuey teow goreng dan aneka kuih yang menggunakan konsep masakan panas untuk mengekalkan kesegaran makanan.

Lebih menarik lagi, harga setiap kuih dan makanan yang dimasak masih mengikut harga sarapan dalam lingkungan 50 sen hingga RM2 tidak termasuk lauk tambahan.

Kodai Sarapan D’Sawah turut menerima kunjungan pelanggan dari Lembah Klang terutama pada cuti hujung minggu kerana keunikan lokasinya yang dikelilingi sawah.

“Tapak kedai ini adalah ta­nah pusaka yang diwariskan daripada keluarga, maka menjadi tanggungjawab saya untuk mengusahakan tanah ini supaya tidak terbiar begitu sahaja.

“Ketika itulah saya membuat keputusan untuk membuka kedai sarapan memandangkan tapak ini berada di jalan utama orang ramai ke selatan selain dikelilingi sawah,” ujarnya.

Seorang pelanggan, Jamari Ibrahim, 65, berkata, kedai ini sentiasa dipenuhi pelanggan sehinggakan ada antara mereka yang terpaksa menunggu.

“Saya dan kawan-kawan selalu singgah makan di sini sebelum sampai ke Bahau kerana bukan sahaja makanannya mememenuhi selera, tetapi juga menawarkan harga berpatutan” ujarnya.

Orang ramai yang ingin ke Kuala Pilah boleh singgah bersarapan di kedai tersebut yang dibuka setiap hari kecuali hari Selasa dan beroperasi dari pukul 7 hingga 11 pagi.