Itulah yang berlaku di Pulau Langkawi baru-baru ini apabila sekumpulan 30 pelajar jurusan Pengurusan Sukan dari Pusat Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya (UM) dibawa melawat sebuah gimnasium Muay Thai milik seorang jurulatih rakyat tempatan di pantai Cenang.

Kesemua pelajar terbabit menghabiskan masa di gimnasium itu untuk mendalami aspek pengurusan dan pemasaran gimnasium Muay Thai.

“Ini kali pertama saya mengunjungi sebuah gimnasium Muay Thai. Saya berpeluang mencuba satu sesi latihan. Tidak sangka ia amat menyeronokkan. Saya pasti dengan komitmen dan teknik pengurusan yang betul, sesebuah produk rekreasi seperti gimnasium mampu memberikan impak sosioekonomi yang mapan kepada komuniti di sekelilingnya,” kata seorang pelajar yang menjadi peserta program lawatan, Jasmine Lai Pui Yee dalam satu kenyataan kepada Mega Rona.

Sementara itu pensyarah kanan di Pusat Sukan dan Sains Eksesais UM yang juga penasihat program, Dr. Teo Eng Wah berkata, walaupun Pulau Langkawi sudah dikenali sebagai antara tarikan pelancong utama di negara ini, namun masih banyak aspek pelancongan sukan yang boleh diteroka pengunjung dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, antara lain program itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai sistem pengurusan yang diguna pakai oleh pemain industri pelancongan berkaitan sukan dan rekreasi di Pulau Langkawi.

“Pemilihan Pulau Langkawi sebagai lokasi rujukan untuk kursus ini sangat bertepatan. Ini kerana terdapat sumber tarikan semulajadi yang banyak dan boleh diolah sebagai produk pelancongan berbentuk sukan dan rekreasi,”tambahnya.

Dalam pada itu katanya, peserta turut diminta menyelesaikan beberapa tugasan akademik semasa program berlangsung.

“Mereka diminta mengatur temubual bersama penduduk tempatan, pegawai dari agensi berkaitan dan pihak-pihak lain yang ada kaitan bagi tujuan pengumpulan data.

“Data yang dikumpul akan dianalisis dan digunakan sebagai sebahagian dari aspek penilaian untuk kerja kursus mereka,” katanya.

Sementara itu seorang peserta, Mohammad Syawal Mior berkata, kehadiran pulau-pulau kecil yang dianggarkan berjumlah 99 buah di sekeliling Pulau Langkawi membuatkan panorama pantai dan alam semula jadinya cukup indah.

“Penduduknya yang mesra dan peramah telah membantu mengukuhkan struktur sokongan yang kuat untuk industri pelancongan di pulau ini,” katanya.

Dalam lawatan itu, peserta turut mengunjungi Pulau Payar yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Pulau Langkawi.

Di pulau itu, mereka sempat melakukan aktiviti rekreasi air yang disediakan seperti berenang, kayak dan selam snorkel.

“Peluang melakukan selam snorkel bersama rakan-rakan di Pulau Payar merupakan kemuncak pengalaman saya dalam program ini.

“Airnya yang bersih dengan pemandangan bawah laut berwarna-warni amat mengujakan saya dan rakan-rakan.

“Jelas sekali Pulau Langkawi mempunyai kelebihan tersendiri dalam menawarkan produk pelancongan sukan terutama aktiviti air,” kata Mohammad Syawal.