Tidak perlu berbelanja besar untuk ke negara beriklim sejuk bagi menikmati suasana percutian salji. Pengalaman itu boleh sahaja dirasai apabila kita mengunjungi Genting Highlands yang menyajikan pelbagai keseronokan kepada semua pengunjung tidak mengira usia.

Snow World yang dibuka di First World Plaza menyajikan laman salji yang mempesonakan, lengkap dengan gelongsor bagi membolehkan pengunjung bermain luncur salji.

Dengan ketinggian melebihi dua meter, Snow World merupakan laman salji terbesar di Malaysia.

Lebih mengujakan, pengunjung berpeluang bertemu dan bergambar kenangan bersama Snow Monster.

Keriangan bermain salji di Genting Highlands lebih terasa apabila membawa sekali anak-anak. Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan bagi golongan berusia antara dua hingga 12 tahun.

Antaranya termasuklah menyertai aktiviti permainan di Jungle Gym yang berupaya meningkatkan keupayaan mereka dengan pergerakan yang lasak dan aktif.

Kolam bola, gelongsor, terowong, trampolis dan bilik wayang menjadi antara aktiviti yang boleh dilakukan dalam satu kawasan berkeluasan 650 meter persegi, khusus untuk kanak-kanak.

Seksyen itu juga sesuai dijadikan kawasan sambutan hari lahir anak-anak.

Selain Jungle Gym, anak-anak kecil juga boleh menikmati keseronokan berada di Genting Highlands dengan melawat Taman Safari, Dinosaur dan Fairy Tale.

Bagi yang meminati aktiviti luar biasa yang lebih mendebarkan, Auditorium Ripley’s Believe It or Not menyediakan pelbagai cabaran.

Dengan bahan pameran lebih 400 barang, auditorium itu mempunyai daya tarikan tersendiri.

Sebuah kabinet misteri yang penuh dengan artifak menarik dari seluruh dunia menjadikan pengalaman pengunjung sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

Pelbagai koleksi unik dan pelik disediakan di sini termasuklah patung Vampire Woman dan juga replika sepasang kaki bintang bola sepak, David Beckham yang diperbuat daripada resit terpakai.

Jurassic Research Center turut menarik perhatian pengunjung kerana mempunyai pameran replika haiwan prasejarah itu.

Lebih menarik dan mendebarkan adalah pameran Zombie Outbreak yang diwujudkan bagi menambahkan keterujaan berada di Resorts World Genting Highlands.

Pameran ini menampilkan situasi yang mana pengunjung bermain di dalam satu permainan untuk mencari tempat berteduh di sebuah rumah terbiar bakal diserang zombi, selain melalui cabaran untuk menyelamatkan diri.

Elemen kejutan dan seram yang menanti pengunjung di setiap persimpangan pada permainan itu membuatkan mereka berjaga-jaga dengan serangan zombi.

Alive Museum pula menyediakan keseronokan lain daripada yang lain kerana pengunjung dapat berinteraksi dengan seni ilusi optik.

Sambil berjalan dari satu tarikan ke tarikan yang lain, pengunjung tidak perlu berjalan jauh untuk menikmati makanan di mana-mana kedai atau restoran.

Ini kerana terdapat banyak tempat menjamu selera yang tersedia, antaranya JR Curry House yang menghidangkan kari dan menu bercita rasa India serta makanan tempatan yang lazat.

Untuk maklumat lanjut mengenai tempat-tempat menarik di Resorts World Genting Highlands, hubungi talian 03-61011118 atau layari www.rwgenting.com.