Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, langkah itu bagi memastikan kawasan tersebut terus kekal sebagai pulau paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia dan satu-satunya di perairan negeri Johor.

Katanya, Pulau Kukup juga telah diisytiharkan sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa di bawah Konvensyen Ramsar.

“Pertukaran status kawasan ini sudah tentu boleh memberi kesan kepada pengiktirafannya sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa yang telah diterima serta menjejaskan reputasi negara dalam memulihara biodiversiti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kelmarin meluluskan usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup di Pontian.

Usul yang dibawa oleh Ir. Khairuddin A. Rahim (PH-Senggarang) diluluskan oleh Speaker DUN, Suhaizan Kaiat selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Mengulas lanjut, Xavier berkata, rakyat juga secara umumnya menyokong supaya status tersebut dikekalkan supaya ekosistem Pulau Kukup terus terpelihara sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa demi faedah generasi masa kini dan masa depan.

Sebarang kegagalan dalam menguruskan kawasan itu secara berhemah katanya, boleh menyebabkan kehilangan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai di samping menjejaskan usaha-usaha mengiktiraf Mersing sebagai Geopark Kebangsaan.

“Pulau Kukup yang mempunyai ekosistem pulau bakau yang jarang ditemui dan diancam kepupusan merupakan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai kepada negara dan kepada negeri Johor khususnya.

“Ia telah dikenal pasti sebagai kawasan persinggahan burung migrasi, tempat pembiakan dan perlindungan hidupan liar terancam seperti Burung Botak, Bangau Cina dan Pacat Bakau serta sumber perikanan dan akuakultur negara,” katanya.

Menurutnya, terdapat kira-kira 18 spesies bakau asli di Hutan Paya Bakau Pulau Kukup dan jika dibandingkan dengan kawasan bakau lain di Semenanjung Malaysia, kekayaan spesies bakau asli di kawasan itu adalah tinggi. - UTUSAN ONLINE