Tarikan itu telah mendorong penulis bersama dua kenalan yang merupakan suami isteri terbang ke sana. Percutian ini lebih kepada mendaki santai sambil melayan pemandangan indah pergunungan.

HARI PERTAMA

Penerbangan dari klia2 ke Delhi memakan masa 5 jam 30 minit. Dari Delhi, kami menaiki penerbangan domestik ke Srinagar yang mengambil masa 1 jam 30 minit. Setibanya di sana, kami menuju pula ke Sonamarq dengan masa perjalanan hampir dua jam.

Sonamarq sendiri sudah cukup indah. Kami terpegun melihat indahnya alam. Setelah hampir 20 tahun tidak mendaki, kini saya akan mendaki semula.

HARI KEDUA

Kami cuma menggalas beg kecil. Beg besar termasuk keperluan peralatan perkhemahan, tong gas dan makanan dibawa dengan kuda. Malah, kami turut membawa beberapa ekor ayam hidup.

Pendakian awal menempuh kawasan berbatu di lereng bukit dengan laluan semakin tinggi sedikit demi sedikit. Sesekali kami menuruni lereng. Kami cukup teruja melihat keindahan alam. Hilang lelah tatkala mata disajikan dengan pemandangan indah. Memang penat tetapi kami bersyukur kerana berpeluang melihat indahnya alam ciptaan Yang Maha Esa. Alhamdulillah.

Bekalan air yang hampir habis diisi semula dengan sumber mata air pergunungan. Air mineral semula jadi ini adalah yang terbaik pernah saya rasa. Pemandu pelancong kami, Mohammad Abas sempat mandi sementara menunggu kami menikmati perjalanan.

Tahap oksigen yang semakin nipis membuatkan kami cepat berasa penat. Walaupun musim panas tetapi suhunya mencatatkan 20 darjah selsius, diikuti angin sepoi-sepoi bahasa, membuatkan kami berasa agak semput dan terpaksa berjalan perlahan.

Selepas menempuh pendakian hampir sembilan jam, kami tiba di kem induk Nichi Nalli. Terdapat kira-kira 50 orang bermalam di situ. Ada yang datang dari Rusia dan pelbagai negara lain.

Suhu pada waktu malam jatuh mendadak kepada 10 darjah selsius. Tidak tahan terlalu sejuk, saya menyarung sehingga tiga helai beg tidur!

HARI KETIGA

Pendakian diteruskan ke tasik Vishansur yang memakan masa lima jam. Syukur, kami tidak mengalami sebarang masalah. Ada pelancong lain muntah dan tersandar di pokok untuk melepaskan lelah.

Saya pula berasa sangat rileks. Pendakian diteruskan dan akhirnya kami sampai ke puncak Nichi Nalli. Berguguran air mata kerana inilah pertama kali saya dapat menjejakkan kaki di ketinggian 3,950 meter dari paras laut. Lebih mengujakan apabila berada di Kashmir. Memang sweet memory sangat.

Kami berehat sambil menikmati mi segera dan chai Kashmir (teh tarik). Nikmatnya makan Maggie panas dalam persekitaran sejuk dan berangin. Hampir satu jam kami berehat sebelum meneruskan pendakian ke kem induk Vishansur.

Di kem ini, Mohammad membuat kejutan. Beliau mengajak kami menangkap ikan. Wah...banyaknya dapat ikan trout. Makan malam kami disajikan dengan ikan segar yang digoreng. Kumpulan saya terdiri daripada tukang masak, pembantu tukang masak dan dua pemandu pelancong.

HARI KEEMPAT

Sepatutnya, kami balik ke Nichi Nalli tetapi cuaca tidak mengizinkan. Kami terpaksa bermalam sehari lagi di Vishansur. Untuk mengelak bosan, kami dibawa treking ke tasik Krishna. Tak jauh, hanya satu jam berjalan kaki dari kem kami. Subhanallah...,cantiknya ciptaan Allah. Tasiknya begitu indah. Hilang segala penat.

HARI KELIMA

Kami bangun awal memandangkan hujan dijangka turun. Setelah berbincang, kami bersetuju menunggang kuda. Ingatkan tidak mencabar, rupa-rupanya lebih mencabar daripada mendaki! Kami menyusuri sungai yang banyak batu dan merentasi lereng bukit. Kecut juga perut dibuatnya. Perjalanan ini mengambil masa lima jam.

Tidak mungkin dapat saya lupakan pengalaman menunggang kuda dalam hujan dan angin kuat, membuatkan kaki berasa kebas. Akhirnya kami selamat sampai ke Sonamarq, tempat mula mendaki. Setelah bersalaman dengan sherpa, cef dan lain-lain, kami hadiahkan mereka tongkat dan lampu kepala sebagai tanda penghargaaan.

Tanpa berlengah, kami terus ke Gulmarg. Kami dibawa ke motel untuk bermalam.

HARI KEENAM

Kami berpindah ke hotel yang lebih selesa. Servis memang cemerlang. Setelah mendaftar masuk, kami dibawa menaiki gondola sehingga ke titik tertinggi. Selepas itu, kami singgah ke rumah Mohammad di Tanamarq, kira-kira 20 minit dari Gulmarg.

Kami dihidangkan dengan menu tengah hari yang lazat. Sempat juga Mohammad membawa kami ke kebun epal. Seronok dapat petik dan makan terus epal itu. Terdapat juga walnut yang baru nak berbuah.

HARI KETUJUH

Pada hari ini, kami bergerak ke rumah bot di Srinagar. Tasik Dal memang telah lama menjadi buah mulut orang yang bercerita tentang keindahannya. Persekitarannya sangat nyaman. Sempat pula saya memperagakan pakaian zuerey yang direka oleh butik saya di Queen Pavilion, Seksyen 7, Shah Alam.

Kami dibawa mengelilingi tasik dengan menaiki shikara (sampan berhias). Kami dijamu makan malam di rumah bot. Tak lama kemudian, muncul beberapa penjual kurta, sari dan cincin. Harga yang ditawarkan sangat murah.

HARI KELAPAN

Seawal pukul 3 pagi, kami siap sarapan kerana mahu mengejar penerbangan awal ke Delhi. Kami akan terus ke Agra untuk menyaksikan sendiri keindahan seni bina Taj Mahal. Rugi kalau tidak ke sana. Tiba di Delhi, pemandu kami sudahpun menunggu. Perjalanan ke Agra mengambil masa empat jam. Setibanya di sana, kami disambut pemandu pelancong dan beliau membenarkan kami menggunakan laluan VVIP untuk masuk ke Taj Mahal.

HARI KESEMBILAN

Sebelum pulang ke Delhi, kami melawat sekitar Agra. Sempat juga kami beli-belah kain sari. Setelah penat, kami mendaftar masuk ke hotel.

HARI KESEPULUH

Awal pagi, kami sudah tercegat di hadapan Sharojini Nagar Market. Kegilaan kami adalah memborong kain sari. Harga sangat berbaloi dan hasilnya, sebanyak 17 helai dibawa balik ke tanah air. Setelah 10 hari, kami pulang ke Malaysia dengan menaiki pesawat pada pukul 11 malam.

HARI KESEBELAS

Pesawat selamat mendapat pada pukul 6 pagi. HOME SWEET HOME, masa untuk pulang ke rumah.

Dalam pada itu, rakan penulis, Rashdan Rosli, 48, memberitahu, lawatan ke Kashmir meninggalkan banyak pengalaman baru kepadanya dan isteri, Fauziah Ishak, 47.

“Ini kali pertama isteri mendaki ke paras lebih 3,000 meter. Alhamdulillah, tiada masalah sepanjang mendaki santai ini,” ujarnya.

Sehingga sekarang beliau tidak dapat melupakan pengalaman perkhemahan yang sungguh luar biasa.

“Sejuk dan berangin. Bila buka pintu khemah... terus mata terpukau melihat pemandangan gunung, savana dan sungai yang sungguh menakjubkan.

“Masa hiking tu, musim panas. Jadi, banyak bunga dan rumput kehijauan. Tengok tasik..macam tak percaya itu adalah tasik...ia sangat cantik,” tambahnya.

Selain itu, pengalaman menunggang kuda turut mengujakannya. “Terasa seperti koboi pula,” ujarnya.