Dengan pantai sepanjang 70 kilometer dan diiktiraf sebagai antara yang tercantik di dunia Gold Coast menjanjikan keseronokan kepada pencinta aktiviti air seperti sukan luncur ombak, renang dan sebagainya.

Bagaimanapun, anda tersilap jika menganggap Gold Coast hanya dipenuhi dengan aktiviti pantai sahaja.

Gold Coast menjanjikan keseronokan dengan cabaran adrenalin, menyelusuri kehidupan di pantai, menghayati keindahan hutan dan alam sekitar termasuk aktiviti kesukaan wanita, membeli belah.

Dengan penerbangan 11 kali seminggu AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Gold Coast sudah pasti memudahkan pelancong Malaysia berkunjung ke sini.

Kembara kami ke Gold Coast dimulakan pada 26 Oktober yang mana delegasi media dijemput untuk bersama-sama meraikan majlis sambutan ulang tahun ke-10 Air Asia X. Kami dibawa oleh koordinator Gold Coast Tourism, Mish Lockington ke lokasi sukan luncur ombak yang popular di Coolangatta.

Setibanya kami di sana, kami terpegun melihat keindahan Lautan Pasifik yang membiru airnya dengan ombak memutih memukul pantai.

Cuaca yang agak terik dengan matahari memancar menjadikan warna air laut yang membiru dipantul dengan biasan cahaya seperti cermin berkilau memukau pandangan mata.

Kami tidak lama berada di sana memandangkan delegasi media perlu berada di Sky Point bagi menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-10 AirAsia X.

Selesai majlis sambutan yang diserikan dengan kehadiran penyanyi kelahiran Malaysia, Guy Sebastian, kami dibawa ke lokasi penginapan di The Star Cold Coast yang merupakan penginapan bertaraf lima bintang. Tentunya lena kami di sini begitu nyenyak sepanjang berada di Gold Coast.

Keesokan harinya (27 Oktober) bermula cabaran yang membuatkan adrenalin bergerak laju iaitu mendaki Sky Point Climb. Di sini pendaki diberikan pakaian khas dan dipakaikan abah-abah (harness) yang penuh dengan ciri-ciri keselamatan.

Di bangunan setinggi 78 tingkat ini, kami melihat tangga besi di luar dinding kaca yang akan kami daki. Agak gerun sebenarnya melihat tangga yang curam hingga ke puncak, namun rugi jika tidak dicuba.

Angin yang bertiup kencang menambah debaran. Di sini, ketepikan perasaan gayat. Anda dinasihatkan untuk melangkah perlahan-lahan sepanjang mendaki tangga besi sambil menikmati keindahan 360 darjah dari puncak bangunan dengan panorama Lautan Pasifik yang membiru.

Selesai mencabar diri di Sky Point Climb, kami dibawa ke Paradise Country bagi melihat sendiri haiwan eksotik Australia. Sudah pasti koala dan kanggaru menjadi tumpuan. Bagi peminat hidupan liar, tempat ini merupakan lokasi terbaik untuk melihat serta bermanja dengan haiwan yang jinak.

Selesai menghabiskan masa bermesra dengan koala dan kanggaru, kami dibawa ke Movie World pula yang mana cabaran untuk delegasi media diteruskan. Terdapat permainan hypercoster (roller coster) yang dikatakan paling mencabar di Australia.

Hypercoster yang baru sahaja dibuka kepada umum menelan belanja AUD32 juta (RM105 juta). Ternyata berbaloi untuk dicuba bagi peminat roller coster memandangkan dua minit yang dilalui sepanjang berada di dalam hypercoster merupakan saat paling mengujakan dan mendebarkan.

Bagi mereka yang tidak kental semangatnya, tidak mustahil anda akan termuntah selepas mencuba permainan ini. Namun percayalah, rugi jika anda tidak mencuba hypercoster kerana jeritan ketakutan dilambung ke kiri dan ke kanan serta tujahan angin ketika hypercoster berpusing 360 darjah melegakan stres yang dialami.

Seterusnya pada 28 Oktober, kami dibawa berjalan di sepanjang pesisir pantai Burleigh Headland National Park (Southern End).

Aktiviti hari ini lebih santai di mana kami berjalan perlahan-lahan menikmati kebiruan air laut Burleigh Headland National Park. Namun kami agak kecewa kerana ikan paus yang dikatakan sering melalui kawasan tersebut tidak kunjung tiba.

Hari terakhir di Gold Coast pada 29 Oktober adalah hari yang dinantikan oleh semua memandangkan kami akan dibawa menaiki belon udara panas di Canungra Valley bagi meninjau keindahan Gold Coast dari udara.

Bagi penulis, pengalaman menaiki belon udara panas sehingga ketinggian 701 meter (2,300 kaki) di udara sambil menyaksikan matahari terbit adalah acara kemuncak bagi kembara di Gold Coast bersama AirAsia X dan Gold Coast Tourism.

Gold Coast amat berbaloi untuk dikunjungi. Ribuan terima kasih kepada AirAsia X dan Gold Coast Tourism and Events Queensland (TEQ) yang menjadi tuan rumah kepada kunjungan kami kali ini.