UAE juga adalah gabungan tujuh wilayah iaitu; Dubai, Abu Dhabi, Sharjah, Ajman, Umm al-Qaywayh, Ras Al Khaimah dan Al- Fujayrah. Pada 1971 selepas bermesyuarat antara tujuh pemerintah akhirnya semua bersetuju membentuk sebuah negara dipanggil UAE. Populasi penduduknya adalah kira-kira 9.3 juta orang. Daripada jumlah itu hanya 20 peratus rakyat UAE manakala 80 peratus lagi adalah rakyat negara luar sama ada bekerja atau berniaga di negara tersebut.

Abu Dhabi ialah ibu negara UAE dan kaya dengan penghasilan minyaknya. Juga merupakan bandar pentadbiran UAE. Dubai pula adalah bandar raya kosmopolitan, perdagangan selain pusat komersial. Menurut pemandu pelancong kami, Shamsudin yang berasal dari India dan telah bermastautin lebih 25 tahun di Dubai, sebahagian besar pendapatan wilayah itu sekarang bukan lagi daripada hasil minyak tetapi datangnya daripada industri pelancongan.

PENULIS berswafoto di salah sebuah souq terkenal di Dubai. Penulis (bawah) berada di Menara Al Burj
PENULIS berswafoto di salah sebuah souq terkenal di Dubai. Penulis (bawah) berada di Menara Al Burj 

Itu yang mendorong pihak pemerintah Dubai mengadakan promosi besar-besaran kepada masyarakat dunia untuk melawat wilayah berkenaan. Dengan pelbagai destinasi menarik yang disediakan tidak hairanlah Dubai berjaya menggamit puluhan juta pelancong setiap tahun berkunjung ke wilayah terkenal itu.

Dahulu mungkin tidak ramai pelancong dari Malaysia berkunjung ke Dubai tetapi sejak lima tahun kebelakangan ini keadaan itu telah berubah. Dikatakan jumlah pelancong dari Malaysia mengunjungi Dubai semakin meningkat.

Berdasarkan pengamatan penulis, antara strategi yang digunakan oleh pihak berkuasa Dubai untuk menarik pelancong ialah dengan membina infrastruktur yang hebat dan gah . Antaranya pembinaan bangunan-bangunan pencakar langit yang unik. Bahkan ada yang dikategorikan sebagai tertinggi di dunia. Menara atau bangunan tersebut kemudian menjadi tarikan kepada pelancong. Antaranya, Al Burj Khalifa, bangunan Dubai Frame, Kompleks Atlantis, Burj Al Arab dan Marina Bay Dubai.

PENULIS merakamkan gambar di Ferrari Park Abu Dhabi.
PENULIS merakamkan gambar di Ferrari Park Abu Dhabi. 

Dubai juga mempunyai 10 pasar juga dikenali dengan nama souq dibina dan diubah suai khusus untuk para pelancong membeli-belah. Kebanyakan souq ini terletak di tepi sungai kerana di situlah mulanya pedagang–pedagang melabuhkan kapal dan sampan dari Qatar, India, Pakistan, Oman dan negara-negara lain sejak beratus tahun lalu.

Dalam artikel destinasi kali ini penulis akan berkongsi beberapa lokasi menarik untuk dilawati. Sudah pasti yang wajib dilawati ialah Menara Al Burj Khalifa. Bangunan paling tinggi di dunia. Ketinggian menara ini lebih kurang 830 meter dan mempunyai 163 tingkat. Bangunan ini mula bina pada tahun 2004 dan siap sepenuhnya pada 2009. Secara rasmi menara itu dibuka pada 2010.

Untuk para pelawat atau pelancong, mereka hanya boleh melawat sehingga ke tingkat 125 sahaja. Itu pun sudah memadai kerana pemandangan dari atas membolehkan pengunjung menyaksikan panorama seluruh bandar raya Dubai.

Di Abu Dhabi pula kami sempat melawat Masjid Sheikh Zayed Grand Mosque yang dibina pada tahun 1996 dan siap tahun 2007. Masjid ini mempunyai 82 buah kubah dengan tujuh jenis saiz yang berbeza. Ferrari Park juga adalah antara salah satu yang menjadi tarikan utama pelancong yang berkunjung ke Abu Dhabi. Harga tiket masuk yang ditetapkan ialah AED 295 (RM339), Memang mahal tetapi cukup berbaloi.