Alunannya menenangkan fikiran terutama kepada yang sudah bosan dengan hiruk-pikuk kota atau letih dengan beban kerja seharian.

Justeru, tidak hairanlah mengapa kedamaian mergastua dikatakan mampu menjadi terapi minda, memberi ilham dan idea kepada mereka yang berjiwa seni.

Dengan khazanah semula jadi dan aset yang belum terusik itu mendorong seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Fadzli Abdul Rashid, mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halamannya dan membuka sebuah tapak perkhemahan dan rekreasi.

Berbekalkan ilmu yang diperoleh ketika mengikuti Kursus Usahawan Pelancongan di Kolej Perhebat, Kem Sungai Buloh pada 2015, Fadzli atau lebih dikenali sebagai Pak Li dalam kalangan rakan-rakan dan penduduk setempat mengusahakan sebidang tanah di belakang rumahnya di tepi sungai di Kampung Sumpitan, Lenggong, Perak pada 2016.

Dengan ilmu yang dipelajari semasa latihan peralihan selama setahun, Fadzli pendapat dia perlu mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama memajukan ekopelancongan di Lenggong dengan serius dan sepenuh masa.

Meskipun Lenggong mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia (WHS) sejak 2012, tetapi ia masih belum menjadi salah satu kawasan pelancongan yang terkenal di negara ini.

Menurut Fadzli, sejak dibuka pada Januari 2017, Riverine Nature Camp telah menerima kedatangan pelbagai lapisan masyarakat, dari bandar dan desa seluruh negara termasuk pelancong asing sama ada yang berbasikal mahupun back packers juga sudah bermalam di sini. Pelbagai jenis kenderaan sama ada kereta, van, pacuan empat roda, basikal dan motosikal dari jenis kapcai sampai goldwing dan Harley Davidson juga sudah sampai ke situ.

“Konsep Riverine Nature Camp lebih kepada perkongsian bersama tapak perkhemahan ini untuk kemudahan semua.

“Dengan bayaran masuk hanya RM2 bagi dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak, mereka bebas melakukan aktiviti riadah dari pagi hingga ke petang.

Trending dan tular di sini adalah riadah dan berkelah bersama keluarga dengan meja dan kerusi di dalam sungai. Pelampung juga disediakan dan disewakan untuk kanak-kanak bermain di dalam sungai.

Selain itu menurut Fadzli, tapak perkhemahan ini cukup sesuai untuk aktiviti riadah bersama keluarga termasuk sambutan hari keluarga, program anjuran sekolah, kolej atau universiti kerana ia mampu menampung 100 hingga 150 orang pengunjung.

“Kemudahan yang disediakan adalah seperti khemah, fly sheet, ground sheet, camp bed, beg tidur, tiub tayar dan lain -lain termasuk kemudahan tandas, bilik mandi dan lampu yang menerangi kegelapan pada waktu malam.

Menurut Fadzli, istimewanya di sini tetamu-tetamu boleh menempah awal menu masakan dalam buluh dan disediakan di dalam sungai.

Asasnya pengurusan Riverine Nature Camp boleh menyediakan perkhidmatan mengikut kehendak pelanggan.

“Antara pakej yang ditawarkan di sini adalah Pakej Educational Heritage dan Arkeologi Trail (melawat gua-gua) dan WHS Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (Unesco) di Lenggong Valley, Tour Lenggong Valley World Heritage Site, mandi-manda dan berkelah, menikmati makanan tengah hari dalam sungai (menu masakan dalam buluh) dan Camping & Camper Van termasuk pacuan empat roda ( 4x4).

Mengenai masakan dalam buluh pula, menurutnya, terdapat sehingga 10 menu makanan termasuk nasi buluh, ayam, ikan baung, ikan pekasam, ikan kering, ulam-ulaman, sup sayur, labu masak lemak dan air sirap.

“Ayam dan ikan baung kami masak dalam buluh, saya perap dengan ramuan sendiri seperti daun serai, pucuk kaduk, daun salang dan kesum kemudian dimasukkan ke dalam buluh dan di bakar seperti membakar lemang.

“Begitu juga dengan nasi, dibungkus dengan daun bemban dan dimasukkan ke dalam buluh secara bertindih serta di bakar juga seperti membakar lemang.

“Semua menu ini akan dihidangkan di atas meja lipat di dalam sungai dan pengunjung boleh menjamu selera dengan duduk di atas kerusi plastik yang disediakan sambil kaki berendam dalam air sungai yang mengalir sejuk.

“Harga pakej ini RM25 seorang dan minimum 10 orang baru kita masak. Kami pernah masak menu ini untuk 160 orang yang datang secara berkumpulan.

“Selain itu Riverine Nature Camp juga menyediakan pakej hari keluarga, pertemuan semula (reunion), sambutan hari lahir dan pelbagai majlis termasuk lawatan ke ladang kelulut, ladang rusa, mendaki dan merentas hutan, menghilir sungai dan perkhidmatan berpandu ke WHS Lenggong Valley.

Menurut Fadzli lagi, dalam usaha memajukan aktiviti ekopelancongan di Lenggong Bandar Prasejarah Unesco ini, Riverine Nature Vamp dan Pitstop Route A76 Lenggong turut terlibat menjenamakan semula bandar Lenggong ini dengan jenama baru A76 Lenggong dan mewujudkan Persatuan Komuniti Pelancongan A76 Lenggong untuk menyatukan pemain industri pelancongan di situ. Persatuan komuniti berkenaan ditubuhkan atas inisiatif penduduk setempat untuk memajukan dan mempromosikan industri pelancongan di kawasan itu.

A76 adalah merujuk kepada nombor kod laluan jalan raya yang merentasi Lenggong dalam peta dunia dan ia berpusat atau beroperasi dari Pitstop Route A76 iaitu sebuah pusat sehenti yang memberikan informasi kepada pelawat dalam mahupun luar negara mengenai tempat-tempat menarik di situ.

Suasana kondusif untuk istirahat

Bagi seorang pengunjung, Rozain Mat Ross, 47, dia bersama rakan-rakan penunggang motosikal Kayang Cool Rider dari Perlis yang ditubuhkan sejak 1990, kesempatan bercuti hujung minggu di Riverine Nature Camp. Ia bagi mengumpulkam semula mereka yang terpisah kira-kira 20 tahun lamanya dengan mengadakan program reunion di kem berkenaan.

Menurut Rozain, ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke Lenggong setelah mendengar cerita dari rakan-rakan lain mengenai tapak perkhemahan itu.

“Seramai 32 orang dari Perlis , Kedah, Pulau Pinang dan Bukit Mertajam berkonvoi bersama-sama ke sini semata-mata untuk berkumpul dan menikmati keindahan alam semula jadi.

“Suasana yang nyaman dan aliran air sungai yang sejuk serta menu masakan dalam buluh yang unik menawan hati kami.

Rakannya, Mokhtar Daud, 45, pula berkata, suasana yang nyaman, jauh dari hiruk-pikuk kota sangat sesuai untuk beristirahat bersama keluarga.

“Kemudahan tapak perkhemahan yang disediakan dengan harga yang berpatutan pasti menarik untuk datang lagi bersama keluarga,” katanya.

Selain kelab bermotosikal, sebuah lagi kelab iaitu Forester Malaya Club, iaitu pemilik kereta Subaru Forester juga bertandang ke Riverine Nature Camp untuk bermandi-manda bersama keluarga sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain.

Jurucakap kepada kelab tersebut, Mohd. Ikhwan Che Mohamood, 36, berkata, dia dan rakan-rakan selalunya singgah di Pitstop Route A76 apabila melalui jalan tersebut dan hari ini singgah di Riverine Nature Camp untuk menikmati masakan dalam buluh yang yang menjadi bualan.

“Keistimewaan tempat ini ialah masakannya dan makan di meja yang diletakkan dalam sungai. Jadi sambil mandi manda, kami boleh menikmati juadah tengah hari,” ujarnya.

Menurut Mohd. Ikhwan, mereka berkonvoi dari utara ke Lenggong dengan lima buah kenderaan Subaru Forester bersama keluarga masing-masing.

Seorang pengemar aktiviti luar, Christine Wong, 51, bersama suaminya, Alan Ngo, 55, dari Pulau Pinang tertarik datang ke situ setelah mendengar tentang keunikan dan keistimewaan Riverine Nature Camp dari rakan-rakannya.

Menurut Christine, dia dan suami memang sukakan aktiviti luar dan biasa berkhemah di dalam hutan.

“Kali ini saya membawa sahabat-sahabat dari Kuala Lumpur seramai 19 orang untuk berkhemah dan menikmati keindahan alam semula jadi dan keunikan masakan dalam buluh,” ujarnya.