Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh GO Communications Sdn Bhd., walaupun pencinta bola sepak menikmati sambutan hangat di rumah masing-masing atau berkumpul di gerai mamak yang penuh sesak untuk bersorak menyokong pasukan pilihan, namun ada orang lain lebih suka berehat dalam suasana tenang, mengelakkan tempat dan saluran penyiaran Piala Dunia 2018.

Tidak perlu mengambil langkah seperti itu kerana Agoda, platform tempahan perjalanan global menyenaraikan beberapa cadangan destinasi untuk mengelak kegilaan bola sepak sepanjang musim Piala Dunia.

Bagi yang mahu lari daripada kegilaan bola sepak, boleh bercuti di enam lokasi pilihan Agoda. Walaupun Piala Dunia akan berakhir esok, namun perjalanan ke destinasi pilihan untuk berehat daripada keriuhan menyaksikan pertandingan itu masih sempat dilakukan.

Pastinya, kegilaan peminat sukan itu akan memuncak di setiap saluran stesen televisyen yang menyiarkan perlawanan akhir yang tentunya bingit dengan sorakan penyokong pasukan masing-masing. Tentunya gerai mamak padat dengan kerusi dan meja yang melimpah hingga ke kaki lima.

Di sebalik keriuhan itu, masih ada kelompok yang lebih rela menjauhi lokasi panas yang menyiarkan perlawanan bola sepak termasuk di rumah! Tidak perlu mengambil cuti sakit, cukuplah sekadar merehatkan diri di lima destinasi yang pastinya memberikan ketenangan kepada anda.

1.Pulau Koror, Republik Palau

Kembara ke pulau Pasifik Selatan Palau yang mempunyai banyak kehidupan marin, gunung berapi dan air terjun yang cukup menawan menjadi tarikan utama pelancong. Palau juga meraih mata bonus kerana tidak memiliki pasukan bola sepak kebangsaan. Berehat di Palau Royal Resort sambil melihat pemandangan pantai yang tenang pasti mengujakan.

2.Baler, Filipina

Anda berkemungkinan besar bertemu dengan sahabat papan luncur, bukannya peminat bola sepak di Baler. Destinasi ini juga dikenali sebagai ‘tempat lahir pemain papan luncur di Filipina’. Dengan pantai disirami pasir menawan dan ombak laut memukau, serta denai gunung berliku yang indah dan lokasi kembara jalan kaki, pulau ini tidak akan mendapat ‘kad merah’ daripada anda. Resort Costa Pacifica yang cerah dan berangin di Pantai Sabang adalah basecamp yang ideal.

3.North West Cape, Australia Barat

North West Cape ini menempatkan Taman Negara Cape Range dan Ningaloo Reef. Di sini, anda akan bertemu hidupan liar eksotik yang tidak mengendahkan perlawanan akhir bola sepak. Sal Salis, kem safari eksklusif yang dikelilingi pantai dan belukar, menjadikan basecamp ini ideal untuk meneroka kawasan sekitarnya.

4. Galle, Sri Lanka

Dikenali kerana kriket, bukan bola sepak, anda boleh menikmati kehidupan perlahan dan jalan-jalan santai di Galle, Tapak Warisan Dunia UNESCO. Tiada penalti untuk membeli-belah dalam lawatan ini. Fort Square Boutique Villa, yang terletak di pusat bandar Galle, adalah tempat yang patut dikunjungi.

5. Pulau Pangkor Laut, Malaysia

Anda tidak akan berisiko melakukan ofsaid di pulau peribadi milik anda. Pangkor Laut Resort terdiri daripada 140 vila dan lapan estet dalam pulau persendirian seluas kira-kira 121 hektar. Kemudahan resort di pulau ini menawarkan privasi menyeluruh dengan pemandangan laut yang sangat menawan.

6.Raja Ampat, Indonesia

Untuk pengalaman di tempat yang benar-benar terpencil, tujulah ke Raja Ampat. Ketiadaan internet dan WiFi di sana membuatkan anda akan mudah terleka, apalagi untuk mengingati soal bola sepak. Di Waiwo Dive Resort, anda boleh berehat dengan sesi mengurut dan kelas yoga.