Terletak 10 kilometer dari bandar raya Alor Setar, Kedah, Keriang Hill Resort sering menjadi tumpuan bagi mereka yang ingin menikmati percutian yang menenangkan bersama keluarga tercinta.

Lokasinya yang terletak di kaki Gunung Keriang menjadi tarikan dan nilai tambah kepada pelancong yang cukup menggemari suasana kampung yang berlatarbelakangkan gunung batu kapur yang tersergam indah dengan hamparan sawah padi yang sejuk mata memandang.

Kewujudan resort perkampungan ini sudah pastinya memberi peluang kepada mereka yang ingin keluar dari kesesakan dan kesibukan kota, sekali gus mencari kedamaian dan menikmati pemandangan pokok-pokok hijau yang rendang dan redup.

Gunung Keriang yang mengandungi pelbagai kisah mitos, misteri dan khazanah berharga di dalamnya turut menjadi pilihan lokasi pendakian bagi penggemar aktiviti lasak. Daya tarikan yang terdapat di gunung ini sudah tentu membuatkan perasaan ingin tahu pengunjung untuk menerokainya.

Jika menginap di Keriang Hill Resort, bolehlah melakukan aktiviti pendakian di gunung tersebut sebagai sebahagian daripada aktiviti sampingan untuk beriadah. Meskipun ketinggiannya hanya 218 meter namun, tetap memberikan cabaran dalam pendakian dan sememangnya aktiviti tersebut dapat membantu mengeluarkan peluh.

Selain itu, keunikan resort ini terletak pada setiap pondok yang dibina daripada kayu berkualiti tinggi dengan reka bentuk berbeza yang dipindahkan dari beberapa daerah di Kedah.

Terdapat 15 pondok kesemuanya yang menawarkan rumah penginapan buat pengunjung yang bercuti di sini. Meskipun bercirikan kampung tradisional, kemudahan kolam renang dan gimnasium ada disediakan.

Keriang Hill Resort juga menawarkan pakej majlis perkahwinan bagi pasangan pengantin yang inginkan suasana romantik di kaki gunung dan suasana kampung tradisional.

Resort tersebut turut menyediakan pakar perancang perkahwinan mengikut tema pilihan dan konsep di ruang yang mampu menampung lebih 700 pengunjung.