Pengucapan daripada sesuatu penghasilan karya seni juga perlu diberi penafsiran yang sebaik mungkin selain menggunakan pendekatan yang didaktik dalam disiplinnya.

Ini yang ingin ditekan dan diketengahkan oleh Persatuan Pelukis Negeri Perlis (PPNPs) menerusi pameran terbaharu mereka di sebuah hotel terkemuka di Kangar, baru- baru ini.

Pameran itu berlangsung selama dua minggu itu dan melibatkan 25 orang pelukis dan memperaga 35 buah karya masing–masing yang bertemakan “Program Visualisasi Kontemporari Seni Visual 2.0”.

Dalam ucapan ringkas perasmiannya, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Nasaruddin Abdul Mutallib meminta para pelukis dapat mengaplikasikan teknologi semasa dan penggunaan media baharu, termasuklah untuk tujuan memasaran lukisan sehingga ke tahap global.

Presiden PPNPs, Yaakob Abd Aziz pula memberitahu, pameran yang kali ke-20 itu diadakan di hotel untuk memberi peluang dilihat oleh peminat 24 jam selain dikunjungi orang ramai luar dari Perlis.

“Persatuan juga terlibat dengan berbagai-bagai aktiiviti dengn kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri seperti mengadakan bengkel, ceramah serta lukisan mural seni jalanan di Kangar,” katanya.

Beliau merayu pihak berwajib untuk menyokong dan membantu khususnya dari segi kewangan bagi memajukan Seni Jalanan di bandar Kangar supaya dapat menjadi tarikan pelancong serta laman para pelukis dan peminat seni berkarya.

Pameran kali ke-20 ini, menggabungkan pelukis dari tiga generasi iaitu generasi veteran, pertengahan dan pelapis muda untuk menampakkan kepebalbagaian konsep, gaya serta aliran yang diutarakan.

Lukisan Cat minyak atas kanvas karya Rosli Osman misalnya, walaupun bersaiz sederhana, tetapi amat sensitif terhadap pencahayaan sehingga memberi impak fatamorgana secara fizikalnya.

Adunan aliran semiimpresionisme dan realisme itu dipersembah dengan menggunakan landskap kampung di Perlis yang sebelumn ini tidak diketahui. Rosli bijak mencari sudut dan subjek rakamannya yang penuh nostalgia dan terpelihara.

Sementara itu, guru pendidikan seni lepasan UiTM , Khairil Azmir Ahmad cuba merungkai fakta dan cerita yang tersirat dan tersirat dalam peribahasa.

Karya lukisan cat airnya bertajuk, “Terkilas Ikan Di Air”, meskipun sederhana olahan dan gaya sapuan berusnya, mengajak khalayak berfikir di sebalik simbol ikan dalam akuarium yang dikaitkan dengan kehidupan manusia itu.

Lukisan media campuran oleh pelukis dan penyair, Solihin Osman pula mengemukakan metafora manusia dan helang sebagai watak antagonis dan protagonis yang berlaku dalam masyarakat kontemporari untuk dihayati dan dikupas erti dan maknanya dalam dua buah karya mutakhirnya, ”Mata Helang dan Hati Ketam” dan ”Mata Helang dan perasaan baby”.

Bagi pelukis, Saidan Othman, selain yang gemar bereksperimentasi dengan media, beliau telah menghasilkan potret dengan menggunakan alat dan bahan dari besi pematerian.

Antara pelukis muda seperti Sharifah Anis Shahirah Syed Faris Shah, Nahfuzah Mohd Shukor dan Mohamad Fazwan Amir Roslan pula, masing–masing memperaga karya yang mengambil kira unsur-unsur budaya dan alam semula jadi tempatan.

Pelukis veteran mapan Perlis dan generasi pertengahan lain yang mengambil bahagian dalam pameran itu termasuklah Ahmad Omar dan Mansor Mahmud dan Amir Sanusi Mat Desa.