S. Katiravan, 57, memberitahu S2, inisiatif yang dilakukannya adalah sebahagian daripada usaha murninya untuk menyedarkan masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kemusnahan alam semula jadi yang akhirnya memberi kesan kepada kehidupan manusia.

Menurutnya, tujuan misi itu adalah ingin memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan kemusnahan hutan dan menebang pokok tanpa kawalan.

“Bayangkan kalau semua hutan dimusnahkan, suatu hari nanti..., kita akan mengalami kekurangan air dan bumi semakin panas,”katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Misi Jelajah S. Katiravan ke tujuh buah negara di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut hadir pada majlis ini ialah Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan pemilik Viva Mall, Datuk T.K.Lim.

Pada majlis itu, seramai 20 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari pelbagai kelab turut hadir bagi memberi sokongan moral dan semangat kepada penunggang solo tersebut.

Peruntukan untuk menjayakan misi selama 64 hari ini adalah hasil dana sendiri iaitu kira-kira RM57,000.

Menerusi jelajah itu, beliau akan menyampaikan seberapa banyak maklumat mengenai kesedaran alam sekitar termasuk tindakan apa yang perlu dilakukan bagi menyelamatkan hutan kepada komuniti di negara yang dijelajahinya iaitu Thailand, Myanmar, Bhutan, India, Nepal, Bangladesh dan Pakistan.

Tambahnya, segala persiapan telah dilakukan sebelum memulakan perjalanan tersebut.

“Ia termasuklah menyediakan pelbagai dokumen untuk masuk ke negara terbabit. Ia penting bagi mengelakkan masalah timbul sepanjang misi solo ini.

“Persiapan lain termasuklah melakukan senaman dan mengenal pasti segala cabaran yang bakal dihadapi.

“Ya..saya memang sudah bersedia termasuk dalam aspek kekuatan mental,”ujarnya.

Menurutnya, beliau perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan. Cuma yang menjadi kerisauannya adalah hujan.

“Walaupun ditimpa hujan, saya tetap meneruskan perjalanan,”tambahnya.

Mengulas lanjut, Katiravan, berkata, misi jelajah kali ini melibatkan jarak paling jauh iaitu kira-kira 21,000 kilometer (km).

“Misi ini bukan jelajah solo pertama saya, kerana pada 2016, saya pernah menunggang motosikal secara solo menjelajah negara India. Namun, jarak perjalanan yang ditempuh ketika itu hanya 5,100 kilometer yang mengambil masa 15 hari.

“Ini bermakna misi ini merupakan penjelajahan bermotosikal solo paling jauh dicatatkan iaitu 21,000 km,”katanya.

Selain itu, katanya, beliau pernah menjayakan aktiviti konvoi motosikal berkuasa tinggi bersama 12 penunggang lain, menjelajah China pada 2013.

“Konvoi terakhir sebelum misi solo ini adalah terlibat bersama 10 penunggang menjelajah Thailand dan Singapura pada tahun lalu,” katanya.