Dalam perlumbaan basikal yang dilangsungkan pada waktu siang, jurufoto dinasihatkan agar menggunakan julat ukuran cahaya (ISO) rendah dengan kelajuan pengatup (shutter speed) tinggi dan bukaan cahaya (aperture) besar.

Namun begitu jika seseorang jurufoto hendak `bermain’ dengan seni fotografi boleh saja menggunakannya mengikut suasana bersesuaian dengan gambar yang ingin dirakamkan. Peminat-peminat fotografi juga boleh mengambil peluang mengambil gambar perlumbaan ini dengan berada di lokasi-lokasi strategik untuk merakam detik-detik menarik.

Merakam perlumbaan basikal memerlukan seseorang jurufoto itu berfikir secara pantas dan menggunakan ketajaman mata. Dengan erti kata lain tidak ada masa untuk melakukan kesilapan. Pemilihan komposisi yang betul sebelum membidik aksi-aksi pelumba basikal perlu dititikberatkan.

Kekuatan mental pada tahap ini amat diperlukan khususnya ketika bertugas dalam suasana cuaca panas. Jurufoto juga perlu memahami jarak dan kepantasan kayuhan pelumba.

Apabila jurufoto berada di laluan perlumbaan pencarian lokasi menarik amat penting. Tujuannya adalah untuk mengaplikasikan teknik latar belakang (background) atau latar hadapan (foreground) di kawasan tersebut.

Seperti contoh di Jambatan Seri Saujana, Putrajaya. Keupayaan merakam komposisi sudut rendah gambar dapat menjadikan reka bentuk jambatan itu sebagai subjek utama dan pelumba sebagai subjek kedua.

Dalam pada itu teknik sudut pandang rakaman reaksi pelumba sedang mengayuh boleh memberi gambaran sebenar realiti perlumbaan dalam rakaman pegun (still photo).

Sebagai contoh rakaman perlumbaan di kawasan berbukit dan ketika berada di garisan penamat.

Pada keseluruhannya perlumbaan basikal LTdL edisi 2019 memberi banyak ruang pada penulis untuk berkarya dari sudut fotografi sukan. Yang penting seorang jurufoto dapat menggunakan seluas-luasnya ilmu fotografi yang kemudiannya akan diterjemahkan dalam bentuk visual seperti dipaparkan.