Aktiviti seperti itu menjadi wadah terbaik bagi pemilik jentera dua roda itu untuk bersosial dan membina silaturahim antara satu sama lain.

Jika sudah saling mengenali, tentu mudah untuk ahli berkongsi dan bertanyakan apa sahaja maklumat mengenai pengendalian jentera yang dimiliki.

Begitu juga, mudah bagi pemiliknya berhubung jika berlaku apa sahaja masalah terutamanya berkaitan teknikal.

Bagi kelab Northern Versys Owner’s Group (NVOG) & Friends, tentu sahaja aktiviti riadah yang menghimpunkan pemilik motosikal berkuasa tinggi model Versys keluaran Kawasaki menjadi agenda utama untuk mengeratkan persahabatan antara pemiliknya.

Ditubuhkan pada 2011, kelab ini pada awalnya disertai beberapa pemilik motosikal Versys dari utara yang menganjurkan aktiviti riadah secara kecil-kecilan bagi mengisi masa lapang dan minat yang sama.

Presidennya, Fazrul Syahril, berkata, ahli yang menyertai NVOG & Friends ketika ini terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya antaranya guru, jurutera, usahawan, doktor, pegawai polis dan tentera serta yang bertugas di dalam sektor awam dan swasta.

Kesemua mereka yang memiliki minat dan hobi yang sama terhadap motosikal berkuasa tinggi seperti Versys sepakat mengajak ahli NVOG & Friends ketika itu menganjurkan aktiviti riadah bersama-sama.

Jumlah ahli yang bertambah sehingga mencecah 100 orang pada 2012 menyebabkan NVOG & Friends tidak menang tangan mengadakan pelbagai program agar pengisian aktiviti kelab itu tidak sia-sia.

Menurut Fazrul, kelab itu kini mempunyai 189 ahli yang terdiri daripada penunggang Versys lelaki dan 11 penunggang wanita.

Antara program yang pernah dianjurkan termasuklah menyertai Bike Week dan aktiviti konvoi, selain memeriahkan acara permotoran tempatan dan negara jiran seperti Thailand dan Singapura.

“Aktiviti yang kami sertai berjaya menambah ahli NVOG & Friends. Kami turut menerima banyak jemputan daripada sekolah, IPTA dan IPTS untuk menganjurkan acara motosikal bagi menarik minat golongan pelajar dan masyarakat terhadap dunia permotoran,” katanya kepada S2.

Menurut Fazrul, pada 2014, NVOG & Friends bersama institusi pengajian tinggi tempatan dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan aktiviti amal Ride Pray For Syria bagi mengumpul dana untuk membantu pelarian Syria, selain acara NVOG Ride From Bikers For Gaza bersama kelab motosikal dari sekitar Sungai Petani, Kedah.

Bermula dari situ, kata Fazrul, NVOG & Friends mula mendapat peluang memperluaskan lagi aktivitinya kepada dua matlamat iaitu kembara untuk beriadah dan beramal.

Selain itu, acara lain turut memenuhi kalender NVOG & Friends pada tahun sama iaitu Phuket Bike Week 2014, Hatyai Bike Week dan Sadao Bike Week.

Peluang mengembara ke negara jiran tidak disia-siakan begitu sahaja apabila NVOG turut menjalin kerjasama dengan menganjurkan pula NVOG Ride Silaturahim Penang- Pattani 2014 dan NVOG Ride King Invitation 2014.

Setahun kemudian, aktiviti yang lebih mengujakan diteruskan iaitu beralih kepada niat untuk beramal pula.

NVOG & Friends mengadakan program amal yang dikenali sebagai Kembara Ihsan Samui 2015 yang memulakan konvoi dari Pulau Pinang ke Koh Samui, Thailand bagi menyampaikan sumbangan amal ke sekolah pondok yang terletak di Kampung Masjid Melayu Samui.

Kejayaan program itu disusuli pula dengan penganjuran yang menjadi sejarah besar buat NVOG & Friends iaitu First Islamic Bike Fest 2015 yang diadakan selama tiga hari di sekitar Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Kata Fazrul, program itu berjaya menarik lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran acara.

Pada 2016 pula, NVOG & Friends lebih fokus menganjurkan acara riadah termasuklah SAM Merdeka Ride dan Ride Jelajah Semenanjung Malaysia dan diselang-selikan dengan beberapa acara ride amal seperti Ride Bertam Berselawat serta Karnival Gegar Surau Taman Pauh Jaya bagi memenuhi jemputan pihak masjid dan surau di sekitar Kedah dan Pulau Pinang.

Tambahnya, ketika itu juga kelab itu mengadakan beberapa siri Ride Kembara Overlander dan Ride Tri-Adventure Rides 2016 ke 1,000 selekoh di utara Thailand dan ‘Ride Kejam’ ke Laos.

Tahun lalu menjadi waktu yang paling sibuk buat kelab ini apabila menganjurkan tiga acara iaitu Islamic Bike Fest 2017 pada bulan Mei, Kembara Jejak Ulamak pada September, Northern Bike Week pada November.

“Tidak ketinggalan pada tahun lalu, kami juga menyertai Kembara Perpatih & Versys Bike Jamm 2017 di Negeri Sembilan yang dianjurkan oleh Versys Owners Group (VOG). Bagi mengakhiri tahun itu pula, kami menganjurkan NVOG BBQ Nite 2017,” katanya.