Demikian penjelasan Pengasas Plot Sawit, Akmal Zaba, mengenai banglo inap desa yang menjanjikan pengunjungnya ketenangan dengan suasana desa.

Katanya, dekorasi minimalis sebenarnya memberikan lebih ruang kepada tetamu kerana luas dan lapang.

Ia tidak memerlukan banyak perabot, tetapi masih lengkap dengan kemudahan, nampak lebih ringkas, mudah, ‘ringan’ dan tidak sarat.

“Mungkin pada kebanyakan orang konsep ini agak lapang dan terlalu mudah, tetapi konsep minimalis memang berbeza daripada konsep dekorasi lain, yang lebih mengutamakan kecantikan perabot atau hiasan, kami lebih kepada memberi keselesaan kepada tetamu,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai banglo tersebut, kata Akmal, ia dibina di dalam ladang kelapa sawit dengan menyediakan tempat luas berpagar lagi privasi, yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

Suasana sekitar yang dikelilingi kehijauan dan pokok-pokok, sungai, kicauan burung serta pemandangan indah Gunung Ledang menjadi daya penarik kepada pengunjung.

Katanya, secara keseluruhan inap desa yang diketengahkan berkonsepkan kampung, sesuai dijadikan lokasi untuk bercuti, bertemu rakan sekolah, jamuan hari jadi, hari keluarga, kenduri dan sebagainya.

Keluasan banglo yang ada boleh memuatkan 44 orang tetamu pada satu-satu masa.

“Plot Sawit yang terletak di Merlimau, Melaka, mempunyai tiga blok rumah, lapan bilik lengkap dengan tandas, kemudahan air panas, katil, tuala, pendingin hawa, tilam, dua kolam yang luas untuk kanak-kanak dan dewasa, tempat berbeku, dapur terbuka, alatan sukaneka dan sebagainya.

Tambahnya, apa yang menarik, kebanyakan barang di inap desa ini juga dibuat sendiri menggunakan barang-barang terpakai seperti bekas cat dijadikan tong sampah, meja kayu dan rak.

Teknik yang menggunakan teknologi hijau ini menambah keunikan inap desa ini yang menjadikannya menarik.

“Dekorasi bilik juga lapang dengan diletakkan katil atau tilam serta katil Jepun. Tulisan-tulisan mengalu-alukan kedatangan tetamu juga dijadikan sebagai hiasaan di sini.

“Kemasan tiga blok banglo yang dibina juga sengaja dibiarkan tidak disapu dengan simen bagi menampakkan efek batu bata yang menjadi asas binaan.

“Selain tiga blok banglo dan kolam renang, pengunjung juga akan terpesona apabila dapat pengalaman ‘bermanja’ dengan arnab, ayam, itik, kambing dan lembu yang dipelihara di situ dan juga memancing serta berbasikal di sekeliling kawasan,” katanya.

Bagi yang berminat boleh layari Facebook dan Instagram, Plot Sawit.