Bermula dengan belajar mengait hanya melalui Internet, wanita yang mesra disapa sebagai Hajar, berjaya menguasainya dalam tempoh yang singkat.

Dia mengait pelbagai rekaan selimut dan topi menggunakan teknik kaitan kayu satu yang dikenali sebagai crochet.

Namun, lama-kelamaan Hajar mula berasa bosan kerana perlu mengikut corak yang telah tersedia kerana untuk membuat corak sendiri belum begitu mahir.

Ini membuatkan dia beralih kepada sulaman tangan.

“Setelah memahirkan diri dengan beberapa jenis sulaman, saya mula tertarik dengan sulaman tangan kontemporari, iaitu sulaman tradisional berbentuk moden yang diubah suai gaya dan penggunaannya.

“Sebenarnya di Barat, teknik sulaman tersebut telah lama berkembang dan di Malaysia ramai juga yang mula berjinak-jinak.

“Rata-rata menggunakan sulaman sebagai corak dan hiasan pada pakaian, sarung bantal, patch, beg, dan sebagainya. Namun, saya menggunakan sulaman ini sebagai satu elemen untuk menterjemahkan lukisan pada bingkai ram pemidang berbentuk gelung untuk dijadikan perhiasan,” katanya.

Bertitik tolak daripada minat, Hajar mula berkongsi hobi itu dengan pengikutnya dalam laman sosial.

Dia juga banyak menerima tempahan hiasan dinding menggunakan sulaman gelung kontemporari menerusi laman Instagram @gelungart.

Tanpa disangka, permintaan yang menggalakkan bukan sahaja dari Malaysia, bahkan di Jepun, selain kini sedang menyasarkan pelanggan dari Amerika Syarikat yang mempunyai komuniti peminat seni sulam yang ramai.

Pelanggan hanya perlu memberi gambar yang mahu dijadikan sulaman potret dan mereka juga boleh menentukan sendiri corak latar belakang mengikut pilihan masing-masing.

Menariknya, wanita berusia 28 tahun berasal dari Pulau Pinang itu, menghasilkan sulaman tangan menerusi gabungan seni sulaman dengan lakaran lukisan.

Dalam penghasilan seni tersebut, Hajar menyelitkan unsur alam semula jadi seperti pokok, abstrak dan potret untuk menjadikan karya tersebut tampil lain daripada yang lain seakan-akan panorama sebenar.

Mengakui tidak mudah untuk mendapatkan ilham bagi menghasilkan sesebuah sulaman tangan, dia banyak bereksperimen dengan teknik dan jenis jahitan bagi menghasilkan corak yang diinginkan.

Katanya, proses menyulam dimulakan dengan membuat lakaran corak terlebih dulu pada kertas supaya boleh menentukan posisi sulaman di dalam gelung dan pada masa yang sama, perlu menentukan berapa banyak kain sulaman depan dan kain lapik belakang yang mahu digunakan.

Hajar menggunakan kain jenis kapas kerana mudah dikawal, namun dia tidak menolak untuk menggunakan fabrik jenis lain bagi mempelbagaikan produknya.

“Selain teknik jahitan sulaman, apa yang penting adalah permainan warna untuk mendapatkan hasil rekaan yang cantik untuk dijadikan sebuah perhiasan.

“Saya tidak menggunakan satu warna benang sebaliknya mempelbagai rona untuk mendapatkan darjah kecerahan warna daripada gelap ke terang kerana bagi saya penggunaan warna yang betul dapat ‘menghidupkan’ sesuatu corak tersebut,” katanya.

Setelah menentukan berapa benang yang hendak digunakan sama ada menggunakan enam helai, tiga helai, atau dua helai, sulaman kemudian dibuat menggunakan benang kait lembut yang diperbuat daripada kapas.

Ia dijahit dengan pelbagai teknik berbeza, antaranya satin stitch, back stitch, french knot, outline stitch dan sesetengah rekaan menggunakan teknik chain stitch.

Memandangkan tidak mengikuti mana-mana kelas jahitan sulaman formal, Hajar mengambil inspirasi daripada rekaan-rekaan penyulam terkenal dari Jepun dan Barat, seperti Yumiko Higuchi, Sarah K Benning dan Tessa Perlow.

Baginya, amat penting untuk melatih diri dengan menyulam sekerap yang mungkin bagi memantapkan lagi kemahiran dalam sulaman tangan.

Jadi, ke mana sahaja dia pergi pasti dibawanya bersama gelung sulam, gunting, jarum, benang-benang dan kain.

“Masa yang diambil untuk menyiapkan setiap satu sulaman tidak sama, namun yang pasti ia mengambil masa berjam-jam lamanya. Kebiasaannya, saya akan cuba menyiapkan sulaman secepat mungkin supaya dapat memulakan rekaan yang baharu pada gelung lain,” ujarnya.