Prestasi pelajaran semakin merosot, daripada seorang penuntut yang cemerlang, dia kini bermasalah dalam pengajiannya sehingga menimbulkan kebimbangan keluarganya.

Apabila ditanya, anak bongsu daripada empat beradik yang kesemua lelaki hanya mendiamkan diri.

Bagi mengelakkan masalah lebih berlarutan, pada pertengahan tahun lalu dia dirujuk kepada pakar psikiatri untuk memohon surat sokongan bagi penangguhan pengajian.

Kepada pakar psikiatri, Kamal, 23, membongkar segala isi hati yang dipendam selama ini yang menyebabkan dia mengurung diri.

Kamal mahu merogol perempuan! Dia tidak boleh melihat perempuan terutama bahagian-bahagian tertentu pada tubuh seorang perempuan. Dia cepat terangsang.

Ini yang menghantui fikiran dan emosinya sehingga dia memencilkan diri.

Untuk mengelak menjadi seorang perogol, dia mengurung diri kerana bimbang jika tidak dapat menahan diri daripada memegang bahagian tertentu tubuh wanita.

Lebih membimbangkan Kamal, sekira mangsanya nanti adalah rakan perempuan sekuliah, justeru lebih baik dia tidak keluar bilik.

Kamal sendiri tahu dia tidak akan melakukan perbuatan yang difikirkan itu malah mengetahui ia salah tetapi takut-takut tidak dapat menahan diri.

Itu yang membuatkan dia merasa amat tidak selesa, resah, gelisah dan tidak tenteram. Penyelesaiannya ialah melakukan onani.

Memang sejak remaja dia sering melakukan onani namun sejak dua tahun lalu tabiat itu semakin parah. Daripada sekali atau dua kali seminggu kepada setiap hari malah melebihi 10 kali dalam sehari.

Selepas melakukan onani, fikiran yang meresahkan itu hilang, emosi Kamal mula stabil.

Pernah ketika menghadiri kuliah, -fikiran yang mengganggu itu menerpa dalam kepalanya menyebabkan dia pulang tergesa-gesa ke asrama untuk melakukan onani sambil menonton filem pornografi.

Dalam kes ini penulis berpendapat, fikiran dan gambaran yang berulang-ulang dialami Kamal dikategorikan sebagai gejala obsesi atau kecelaruan kompulsif obsesi (OCD).

Sering berlaku kekeliruan apabila istilah obsesi (obsession) digunakan. Biasanya masyarakat merujuk obsesi kepada perbuatan atau aktiviti menyeronokkan yang dilakukan pada kadar berlebihan.

Namun secara psikologi, obsesi adalah fikiran, gambaran, niat dan keinginan yang amat tidak selesa dan di luar kawalan selain tidak boleh dielakkan.

Malah mana-mana individu yang mengalami obsesi mengetahui bahawa fikiran terbabit adalah fikirannya sendiri. Walaupun tahu mereka tidak akan melakukan perkara yang difikirkan itu, namun pada masa sama merasa kurang yakin bahawa mereka tidak akan melakukannya.

Disebabkan obsesi ini, mereka akan berasa amat tidak selesa dan perlu melakukan sesuatu perbuatan atau aktiviti untuk menghilangkan perasaan tersebut. Namun aktiviti itu hanya berkesan untuk sementara waktu kerana obsesi ini akan kembali dan terpaksa diulangi perbuatan itu bagi menghilangkan keresahan.

Memang pada awalnya, masalah yang dialami oleh Kamal dilihat seperti masalah ketagihan pornografi dan seksual tetapi diagnosis sebenar mendapati ia adalah OCD. Meskipun begitu seksual bukanlah tema yang biasa untuk OCD jika dibandingkan dengan 
tema–tema OCD yang lain kerana lazimnya OCD dikaitkan dengan tabiat 
yang dilakukan berulang kali.

Antaranya mereka yang berulang kali memeriksa sama ada pintu rumah sudah berkunci atau tidak. Mereka ini digolongkan dalam golongan yang sentiasa berasa was-was pada tahap teruk sehingga mengganggu pekerjaan masing-masing.

Seperkara lagi, OCD adalah salah satu penyakit psikiatri namun tiada faktor utama membawa kepada punca penyakit tersebut sebaliknya terjadi akibat pelbagai faktor antaranya genetik, personaliti dan cara didikan.

Rawatan berkesan untuk OCD memerlukan kombinasi ubatan dan psikoterapi dan seperti penyakit-penyakit yang lain rawatan awal boleh mengelakkan komplikasi. Yang lebih penting, buat pemeriksaan dan diagnosis untuk tujuan pengesahan penyakit ini bagi membolehkan rawatan lanjut dilakukan.