Hakikatnya, kanak-kanak dan remaja autisme mempunyai perlakuan yang sama dengan golongan normal. Salah satunya ialah perilaku seksual iaitu segala bentuk tingkah laku yang didorong oleh hasrat seksual sama ada sesama jenis atau lawan jenis apabila meningkat remaja.

Masalah perilaku seksual turut menimpa remaja autisme jika dibiarkan tanpa pengawalan dan perhatian yang sewajarnya oleh ibu bapa dan guru. Malangnya, golongan ini sering mengundang salah faham masyarakat ketika berada dalam khalayak ramai apabila melakukan perkara yang tidak sepatutnya, semasa ‘mengendalikan’ keinginan seksual mereka.

DR. KATE CHAN SOOK CHENG
DR. KATE CHAN SOOK CHENG 

Menurut Pakar Pediatrik Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Kate Chan Sook Cheng, autisme adalah masalah perkembangan kompleks. Ia melibatkan interaksi sosial seorang kanak-kanak terganggu akibat masalah kemahiran berkomunikasi, tingkah laku tidak wajar yang berulangan, pemencilan diri serta mempunyai keinginan terhad terhadap sesuatu benda.

“Sebab-sebab autisme tidak diketahui tetapi kemungkinan berpunca daripada faktor keturunan atau ketidakseimbangan kimia di dalam otak. Terencat akal boleh berlaku dalam 75 peratus kanak-kanak autisme.

“Kanak-kanak ini biasanya lambat bertutur jika dibandingkan dengan rakan sebaya mereka. Perkembangan bahasa mereka adalah berbeza bagi setiap individu. Ia bergantung kepada tahap keseriusan ciri-ciri autisme kanak-kanak tersebut sama ada tahap ringan atau teruk,” jelasnya.

Tambah Dr. Kate, remaja autisme ialah berumur dalam lingkungan 12 hingga 21 tahun dan mempunyai masalah kecelaruan perkembangan neurologi. Golongan ini mempunyai perlakuan yang sama dengan remaja normal apabila melalui peringkat remaja. Salah satunya ialah perilaku seksual iaitu segala bentuk tingkah laku yang didorong oleh hasrat seksual sama ada sesama jenis atau lawan jenis.

“Perilaku seksual ini bermula dengan tingkah laku yang mendorong untuk bersentuhan iaitu berpegangan tangan sehingga berpelukan antara satu sama lain, ciuman, cumbuan serta membawa kepada hubungan kelamin yang boleh mendatangkan kemudaratan besar pada kemudian hari terutama kepada remaja autisme yang tidak mengetahui tentang larangan tersebut,” katanya.

DR. MARIANI
DR. MARIANI 

Dalam pada itu, Pakar Psikologi Pendidikan Kanak-kanak, Datin Dr. Mariani Md. Nor memberitahu, terdapat kanak-kanak autisme yang mungkin beronani bagi melepaskan rasa tekanan dan dibimbangi sukar untuk berhenti atau dikawal terutama di tempat awam.

“Onani sebenarnya bukan perkara pelik untuk dibincangkan, namun dalam konteks golongan autisme ia perlu dipandang secara lebih luas dan serius kerana golongan ini tidak boleh menilai tindakan yang dilakukan itu salah atau betul. Beronani bukanlah satu-satunya cara untuk menguruskan keinginan seksual golongan ini, namun jika itu dapat membantu mereka menguruskan keinginan seks mereka, perkara itu perlu dihormati,” katanya.

Oleh itu, semua pihak yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta dan orang perseorangan memainkan peranan penting dalam memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat tentang autisme. Remaja autisme tidak boleh dibiar sepi tanpa ada perhatian dan pengawalan terutamanya daripada sudut pendidikan agama.