Tahukah anda simptom ini merupakan salah satu petanda kegagalan jantung? Di sebalik bilangan kes yang semakin meningkat, kurang satu daripada 10 orang boleh mengenal pasti tiga simptom utama kegagalan jantung, termasuk sesak nafas yang teruk, bengkak pergelangan kaki, peningkatan berat badan secara mendadak dan kesukaran untuk bergerak.

Statistik menunjukkan sejumlah 76 peratus daripada pesakit terpaksa bergelut untuk melaksanakan aktiviti seharian selepas menjalani diagnosis. Penyakit yang melumpuhkan ini sering dianggap sebagai keadaan apabila jantung seseorang berhenti berfungsi. Namun realitinya, kegagalan jantung ditakrifkan sebagai suatu keadaan yang berpotensi mengancam nyawa apabila jantung tidak berupaya mengepam jumlah darah yang mencukupi ke seluruh badan kerana otot jantung menjadi semakin lemah.

Pakar Runding Kardiologi, Jabatan Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azmee Mohd Ghazi berkata, masalah kegagalan jantung biasanya disebabkan keadaan jantung yang lemah dan tidak dapat mengepam darah yang cukup untuk dialirkan ke seluruh badan.

“Kegagalan jantung berlaku apabila jantung gagal melaksanakan fungsi utamanya untuk mengekalkan pengeluaran darah beroksigen yang mencukupi untuk seluruh tubuh berfungsi seperti biasa.

“Terdapat pelbagai punca kegagalan jantung termasuk serangan jantung atau salur darah akibat tekanan darah terlalu tinggi, injap bocor atau keadaan jantung lemah iaitu cardiomyopathy serta jangkitan kuman atau virus, salur darah jantung tersumbat, dilahirkan jantung lemah atau kes minimum dalam kalangan wanita hamil,” katanya.

Dr. Azmee menyarankan pesakit yang mempunyai simptom tersebut agar menjalani pemeriksaan kesihatan secepat mungkin. Hampir 30 peratus daripada kes kemasukan ke hospital akibat daripada kegagalan jantung berakhir dengan kematian, jumlah ini amat membimbangkan kumpulan pakar perubatan.

Jelasnya lagi, objektif rawatan untuk pesakit kegagalan jantung adalah memberikan sokongan kepada organ terpenting itu menjalankan tugasnya, biasanya dalam bentuk ubat-ubatan, pengurusan peranti yang baik dan pengurusan amalan gaya hidup yang lebih sihat. Menariknya, IJN turut menawarkan sesi kaunseling kepada pesakit khususnya membantu mereka mengubah gaya hidup sihat.

Dalam kes tertentu, jika jantung gagal berfungsi, pesakit akan mendapatkan rawatan Alat Bantuan Implan Ventricle (LVAD) sementara menunggu transplan jantung daripada penderma.

Mengulas tentang gaya hidup sihat, Dr. Azmee memberitahu, tabiat negatif seperti pemakanan tidak sihat, merokok dan sebagainya menjadi faktor besar risiko kegagalan jantung. Pun begitu, aktiviti sihat seperti bersukan juga perlu dilakukan dengan waspada bagi mengelak penyakit mati mengejut.

Bersukan secara keseluruhannya kata beliau, memberikan kesan baik kepada kesihatan kecuali individu terbabit mengalami masalah jantung koronari yang tidak pernah dikesan sebelum ini.

“Tanda seseorang mengalami serangan jantung ketika bersukan seperti rasa berat di dada mungkin merebak ke bahagian tekak, tangan kiri, sesak nafas, rasa hendak pitam, peluh sejuk dan jantung berdebar,” katanya.

Aktiviti lasak sebegini kata Dr. Azmee, meningkatkan risiko serangan jantung seperti Hipertropik Kardiomiopati iaitu sebahagian jantung mengeras dan tidak dapat mengepam darah secara berkesan.

Dalam keadaan begini, kata beliau, individu berkenaan mengalami kesukaran bernafas serta boleh menyebabkan kematian mengejut.