Laman web pemeriksaan kesihatan gusi secara percuma ini adalah sebahagian daripada kempen kesedaran dan pendidikan Ke Arah Pemeriksaan Kesihatan Gusi 1 Juta Gumbatte Systema 2019 (Kempen Gumbatte).

Dr. Norliza Mohamed mewakili Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian berkata, kesihatan oral sering dilihat sebagai kurang penting berbanding kesihatan umum yang lain. Namun, sikap itu perlu diubah kerana ia merupakan isu yang serius. Beliau berkata, tahap kesihatan oral yang rendah sering dikaitkan dengan masalah kesihatan yang lain.

“Kajian penyelidikan menunjukkan korelasi di antara penyakit gusi dengan serangan jantung, diabetes dan terbaharu alzheimer. Ini merupakan penyakit yang boleh mengancam nyawa. Sekiranya pengesanan dan rawatan awal penyakit gusi boleh merendahkan korelasi ini, kita wajar menerokanya,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Gumbatte yang diadakan sempena Hari Kesihatan Oral Kebangsaan di pusat beli-belah 1 Utama di Bandar Utama baru-baru ini.

Mengambil semangat daripada perkataan Jepun ganbatte yang bermaksud ‘anda boleh melakukannya’, kempen itu menyeru rakyat negara ini menjaga kesihatan gusi sekali gus mencapai satu juta pemeriksaan gusi.

Kempen yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Doktor Pergigian Malaysia itu bertujuan membantu rakyat Malaysia mencapai tahap kesihatan oral yang lebih baik dengan matlamat utamanya memberi motivasi kepada lebih ramai orang supaya mengekalkan 20 batang gigi asal mereka apabila berusia 60 tahun dan ke atas. Justeru, mereka boleh menikmati kesihatan sepanjang hayat selari dengan matlamat Kementerian Kesihatan.

Dr. Norliza mengakui bahawa Kempen Gumbatte Systema yang memberi penekanan terhadap kesihatan gusi secara dalam talian dilihat cukup tepat kerana majoriti rakyat Malaysia termasuk di kawasan pedalaman memperoleh maklumat dari dalam talian.

“Kempen ini boleh membantu Bahagian Penjagaan Oral Kementerian Kesihatan mendidik lebih ramai orang mengenai perlunya menjaga kesihatan gusi dan oral dengan lebih cepat menerusi keputusan yang dapat diperoleh secara serta-merta,” tambahnya.

Sementara itu Pengurus Besar Southern Lion Sdn. Bhd., Carmen Foo berkata, usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan oral ini dibuat kerana gigi yang kuat bermula dengan gusi yang sihat.

Menurutnya, Systema adalah jenama teras Lion Corporation, Jepun dan memiliki warisan penjagaan oral selama lebih 120 tahun hasil kolaborasi dengan pakar-pakar pergigian, pihak berkuasa kesihatan, saintis dan penyelidik.

“Sistem Anti-Plak Systema menggabungkan ubat gigi Systema Advance Anti-Plaque untuk menyingkirkan plak dan membunuh bakteria berbahaya walaupun di dalam poket gusi. Bulu berus gigi tirus 0.02mm Systema membantu menyingkirkan plak biarpun di kawasan yang sukar dicapai di antara gigi, sepanjang garisan gusi dan di dalam poket gusi.

“Kini kita sudah ada penyelesaiannya. Inilah masanya untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit gusi kerana ia adalah asas kepada gusi dan gigi yang sihat sepanjang hayat. Sebab itulah kami memperkenalkan kempen Ke Arah Pemeriksaan Kesihatan Gusi 1 Juta Gumbatte bagi membina kesedaran diri tentang perlunya perubahan yang positif,” kata Carmen.

Beliau berkata, memandangkan rakyat negara ini memperoleh banyak maklumat daripada media sosial, maka pihaknya bekerjasama dengan pasangan artis terkenal, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel untuk menyemarakkan lagi kempen tersebut.

“Kami percaya dengan strategi ini, kesedaran mengenai pentingnya pemeriksaan kesihatan gusi dapat menarik perhatian lebih ramai orang seterusnya menggalakkan mereka mengambil langkah demi mencapai tahap kesihatan oral yang lebih baik,”ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia, Dr. Leong Kei Joe, berkata, usaha mengurang­kan penyakit gusi di Malaysia perlu dimulakan dengan mengubah persepsi tentang penyakit gusi sepenuhnya. Beliau memuji kempen menangani masalah penyakit gusi itu.

“Kesedaran terhadap penyakit gusi memang serius dan ia berpotensi memberi impak kepada kualiti hidup selain mempunyai kaitan dengan penyakit berbahaya. Terlalu ramai di antara kita yang melihat tanda-tanda penyakit gusi seperti berdarah ketika memberus sebagai sesuatu yang normal.

“Rakyat Malaysia perlu mengenal pasti tanda-tanda dan simptom penyakit gusi. Jadi, mereka tahu apabila ada yang tidak kena, mereka boleh mendapatkan bantuan. Pantau kesihatan oral anda dengan melayari laman web gumhealthcheck.com untuk menilai status kesihatan gusi anda. Jika perlu, jumpa doktor gigi untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau memberitahu, ahli-ahli Persatuan Doktor Pergigian Malaysia akan menawarkan pemeriksaan kesihatan gusi secara percuma sebagai sokongan kepada Bulan Kesihatan Oral Kebangsaan. Selain itu, beliau mencadangkan setiap orang perlu berjumpa dengan doktor gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Dalam kempen itu, Systema turut mengagihkan 10,000 ubat gigi Systema Advance Anti-Plaque dan 10,000 berus gigi dengan bulu berus tirus 0.02mm bagi menyokong program jangkauan di seluruh negara.

Jadilah antara yang terawal daripada satu juta orang yang memeriksa kesihatan gusi secara dalam talian di laman web gumhealthcheck.com untuk gigi dan gusi yang sihat sepanjang hayat.

Adakah anda tergolong dalam 94 peratus orang dewasa di Malaysia yang mengalami masalah gusi? Jika anda tidak pasti, layari laman web gumhealthcheck.com untuk membuat penilaian dalam talian secara percuma yang dapat membantu anda mendapatkan gusi dan gigi sihat sepanjang hayat.