JAWAPAN

Perancang keluarga adalah kaedah yang diamalkan isteri atau suami yang belum bersedia untuk menimang cahaya mata atau bagi mereka yang telah menimang cahaya mata tetapi ingin menjarakkan kelahiran anak. Ada pelbagai cara untuk merancang keluarga termasuk secara semula jadi atau menggunakan kaedah perubatan moden.

Kaedah-kaedah merancang keluarga adalah seperti berikut:

Suntikan progestin dan progesteron

Kehamilan boleh dicegah sehingga tempoh tiga bulan dengan suntikan depo provera. Depo provera mengandungi hormon yang hampir serupa dengan progesteron.

Alat intrauterin dan sistem intrauterin (iud)

Bagi alat dalam rahim yang mengandungi kupur (copper), kehamilan dielakkan dengan menghalang sperma daripada memasuki rahim dan bersenyawa dengan telur, juga bertindak dengan menghalang telur yang sudah tersenyawa daripada melekat di dinding rahim seterusnya menghalang implantasi atau penempelan daripada berlaku.

Implanon

Implanon adalah alat perancang keluarga berbentuk rod kecil yang dipasang hanya di bawah lapisan kulit (subdermal) di bahagian tengah lengan atas. Ia boleh menghalang kehamilan sehingga tiga tahun dan tidak memerlukan sebarang tindakan harian.

Pelekat (evra patch)

Evra patch pula adalah jenis perancang keluarga dalam bentuk tampalan atau pelekat. Ia merupakan kombinasi estrogen dan progesteron yang memberi tindak balas terhadap kulit secara perlahan.

Nuva ring

Nuva Ring adalah kaedah perancang kehamilan yang sesuai bagi wanita muda yang ingin merancang keluarga, ibu-ibu ingin menjarakkan kelahiran anak dan wanita yang masih didatangi haid dan tidak mahu risiko kehamilan secara tidak sengaja.

Pil perancang keluarga

Wanita kerap mengambil pil perancang keluarga secara oral sebagai langkah pertama mencegah kehamilan.