Berkhatan bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi iaitu beberapa hari selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak perempuan akan menjalani upacara ini ketika berumur setahun atau lebih.

Adat ini akan dijalankan oleh bidan. Bagaimanapun kini hospital dan klinik perbidanan turut menyediakan khidmat khatan untuk bayi atau kanak-kanak perempuan. Kebiasaannya majlis berkhatan kanak-kanak perempuan tidak semeriah majlis berkhatan kanak-kanak lelaki dan ada juga yang menjalankannya serentak dengan majlis perkahwinan.

Menurut Pakar Ginekologi dan Obstetrik Hospital Pakar KPJ Rawang, Dr. Noor Fidak Samsudin, khatan bagi perempuan melibatkan pemotongan sebahagian kecil daging berbentuk balung ayam di atas saluran kencing iaitu pada bahagian kelentit atau klitoris.

“Kaedah yang betul adalah dengan membuang prepuce atau lebihan kulit pada bahagian klitoris sahaja dan tiada jahitan dilakukan pada kemaluan, malah prosesnya juga sangat ringkas dan sepatutnya tidak menyakitkan. Ini patut dilakukan sesedikit yang mungkin dan tidak mencacatkan atau memudaratkan bayi tersebut,” katanya.

Tambah Dr. Fidak, lazimnya di Malaysia, kanak-kanak perempuan dikhatankan semasa mereka bayi lagi untuk mengelakkan rasa malu. Waktu yang paling sesuai ialah sebelum bayi tersebut mencapai usia setahun, iaitu sebelum bayi boleh berjalan. Malah, ramai juga kanak-kanak perempuan yang dikhatankan sejurus selepas dilahirkan.

Hari ini terdapat banyak hospital dan klinik swasta selain kerajaan, menyediakan khidmat mengkhatan bayi perempuan. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan bidan terlatih untuk melakukannya di rumah. Bagi yang melakukannya di rumah, biasanya proses ini akan dibuat ketika bidan berkunjung untuk mengurut atau bertungku ibu yang bersalin semasa dalam pantang.

Oleh itu, bagi ibu bapa yang ingin menghantar anak perempuan mereka berkhatan menggunakan khidmat bidan, mereka seharusnya memilih bidan bertauliah dan telah mengikuti seminar. Ini supaya kaedah yang mereka lakukan selamat dan bersih.

Dalam pada itu, Nikmah Suhaidi, 55, bidan pekan Dengkil, Selangor memberitahu, bayi sebaik-baiknya dikhatan selepas 45 hari lahir dan terdapat juga orang dewasa seperti yang baru memeluk agama Islam yang ingin dikhatankan.

Ditanya tentang kebaikan berkhatan, Nikmah berkata, selain untuk mengawasi kesihatan batin ia juga dapat memelihara diri daripada dihinggapi pelbagai penyakit serta perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Allah.

“Selain tuntutan dalam Islam, berkhatan ini juga adalah satu cara untuk kita berdoa agar anak perempuan kita ini menjadi seorang yang baik dan solehah apabila dia dewasa kelak.