Neuropsikologi sebagai bidang melibatkan prestasi fungsi kognitif otak (misalnya memori, perhatian, perancangan, penyusunan, persepsi visual, bahasa, dan pengucapan), fungsi tingkah laku otak (misalnya mood, keperibadian, emosi, kebimbangan, kemurungan, sifat agresif) serta proses-proses psikologikal.

Antara penyakit dan kondisi yang biasa dirawat oleh ahli neuropsikologi klinikal bersama ahli pembedahan dan perubatan otak termasuk barah otak, kecederaan otak, strok, gangguan pergerakan (misalnya, Parkinson, Parkinson-plus, tourette, sawan dan epilepsi, pelbagai jenis nyanyuk), gangguan memori (amnesia, Korsakoff), pelbagai jenis sklerosis, gangguan kesedaran (keadaan vegetative, keadaan sedar yang minimum), serta gangguan-gangguan pembedahan otak yang lain.

Asas pemeriksaan neuropsikologikal ke atas pesakit-pesakit ini biasanya melibatkan penilaian tidak invasif dan mendalam terhadap pelbagai bidang fungsi kognitif.

Ini termasuk keupayaan intelek, tempoh tumpuan, fungsi eksekutif otak, pembelajaran, persepsi, kemahiran motor, bahasa, percakapan serta simptom-simptom psikologikal.

Penilaian kognitif ini boleh dilanjutkan atau diikut oleh pemeriksaan lain termasuk radiologi, darah, perubatan serta ujian neurologikal.

Keputusan daripada penilaian tersebut kemudian digunakan untuk merekod tahap fungsi kognitif semasa pesakit, corak pertukaran kognitif dan tahap keseriusannya kerana ia mungkin mempunyai kaitan dengan gangguan neurologikal atau kondisi perubatan.

Pilihan penilaian serta alat dan modaliti rawatan bergantung kepada simptom sedia ada pesakit, punca penyakit atau kondisi, dan waktu ia mula berlaku.

Gangguan Memori

Kalangan yang mengalami masalah kognitif atau gangguan memori berkaitan usia boleh melawat klinik pesakit luar.

Dalam kebanyakan masanya, pesakit ini menunjukkan simptom-simptom seperti kesukaran untuk melaksanakan tugasan biasa di rumah atau di tempat kerja, kesukaran merancang atau menyelesaikan masalah, kekeliruan dengan masa atau tempat, perubahan keperibadian atau mood, tahap penilaian yang kian menurun, pengunduran sosial, sering kehilangan barang, mengulang maklumat atau soalan yang sama, serta mempunyai masalah dengan perkataan atau penulisan.

Rawatan dan pemulihan pesakit-pesakit ini biasanya tidak bersifat penyembuhan secara semula jadi. Ia lazimnya bertujuan menguruskan faktor-faktor risiko dan memperlahan perkembangan.

Di samping itu, peranan ahli neuropsikologi klinikal dalam aspek penjagaan dan pengurusan pesakit pembedahan otak tidak wajar diambil ringan, terutama bagi mereka yang menghidap jenis lesi tertentu atau barah otak dan mungkin perlu menjalani pembedahan otak yang kompleks.

Sebelum pembedahan, pesakit akan menjalani satu siri pemeriksaan neuropsikologikal serta pemetaan kawasan otak yang terperinci atau ujian Wada.

Status fungsi pascapembedahan dan defisit sedia ada merupakan maklumat penting yang perlu diperolehi untuk meramal hasil pascapembedahan.

Bagi pembedahan otak sewaktu pesakit sedar, pemetaan prapembedahan atas fungsi struktur-struktur penting yang melibatkan lesi pembedahan berkaitan adalah sangat penting dalam memutuskan margin pembedahan secara kolektif dan meminimumkan risiko defisit yang tidak dijangka.

Sewaktu pembedahan, ahli neuropsiklogi biasanya akan menilai aspek pertuturan, pergerakan (motor) dan fungsi-fungsi kognitif yang lain. Sementara itu, pakar bedah otak pula aktif merangsang kawasan otak di sekeliling lesi yang sebelum ini telah dipetakan.

Langkah ini memberi maklumat yang tepat dan sesuai pada masanya kepada doktor bedah tentang margin pembedahan dan status fungsi pesakit pada waktu sebenar.

Selepas pembedahan, para pesakit itu kemudian akan menjalani rawatan pemulihan rehabilitasi jika perlu.

Penerangan di atas memberikan gambaran yang lebih jelas tentang bagaimana input, penglibatan dan rawatan neuropsikologikal sememangnya amat penting dalam merawat serta menguruskan gangguan otak dan tulang belakang.

Kecederaan Otak

Pesakit yang mengalami apa jua bentuk kecederaan otak akibat kejadian traumatik atau kemalangan, strok, kejadian serebrovaskular (misalnya retak aneurisme atau malformasi arteriovena) boleh dilihat dengan jelas dan akan diuruskan oleh pakar bedah atau doktor perubatan otak.

Pesakit kemudian akan dirujuk kepada seorang ahli neuropsikologi klinikal pada waktu kemasukan yang sama untuk menilai tahap kerosakan otak serta masalah defisit berkaitan fungsi kognitif, tingkah laku dan psikologikal.

Defisit sebagai contohnya, boleh terjadi dalam bentuk ketidakupayaan pesakit untuk mengingat atau mengenal pasti orang, tempat, situasi biasa, percakapan yang tidak jelas, ketidakupayaan mengeluarkan kata-kata atau memahami percakapan, keburukan anggota badan, kemampuan imbangan yang teruk, gaya berjalan dan banyak lagi.

Pemulihan dan rawatan kognitif yang sesuai pada peringkat awal bersama pemulihan fizikal akan dilakukan untuk mempercepat kesembuhan serta menambah baik aspek prognosis dan hasil secara keseluruhannya.