Suatu hari keadaan sesak nafasnya semakin teruk sehingga tidak bernafas dan terpaksa dihantar oleh isterinya ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Di hospital, doktor memberitahu saya menghadapi masalah jantung dan diberikan beberapa jenis ubat sebelum menjalani ujian angiogram baru-baru ini.

“Pemeriksaan menunjukkan dua saluran jantung tersumbat 100 peratus dan satu lagi 40 peratus dan doktor merujuk kes saya ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani pembedahan bypass,” katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Abu Bakar menambah, doktor mencadangkannya menjalani pembedahan bypass jantung menggunakan teknik terkini dengan bukaan luka lebih kecil, kurang menyakitkan dan tidak memerlukan pesakit tinggal lama di wad hospital.

“Ketika itu hanya Allah tahu perasaan saya apabila mendengar perkataan pembedahan, takut, gementar risau semuanya bercampur-baur walaupun doktor memberikan penerangan mendalam mengenai prosedur pembedahan yang bakal dijalani.

“Kini selepas enam hari pembedahan jantung, luka di dada sudah beransur pulih, saya sudah boleh berjalan dan tidak perlu tinggal lama di wad dan menunggu masa pulang ke rumah,” katanya sambil menunjukkan parut pembedahan yang menunjukkan tanda sembuh.

Abu Bakar melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Ketua dan Pengarah Operasi, Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr. Mohamed Ezani Md Taib dan kumpulannnya yang bertungkus-lumus menjalankan pembedahan berkenaan dengan jayanya.

“Enam hari selepas pembedahan saya rasa sangat sihat, kurang penat dan lebih bertenaga. Saya tidak sabar untuk pulang ke rumah dan kembali bertugas,” katanya.

Pembedahan bypass jantung biasanya perlukan tempoh yang lama untuk pemulihan kerana melibatkan pembedahan tulang rusuk dan luka lebih besar malah pesakit tidak boleh membuat kerja berat termasuk memandu kenderaan sekurang-kurangnya dua bulan.

Bagaimanapun kini IJN telah memperkenalkan pembedahan jantung Minimally Invasive Cardiac yang melibatkan pembedahan bahagian otot di antara tulang rusuk dan meninggalkan luka kecil di antara tulang rusuk tadi.

Kepakaran

Datuk Dr. Mohamed Ezani Md berkata, secara psikologi, pesakit merasa lebih selesa kerana pembedahan tidak melibatkan luka besar atau pemotongan tulang rusuk dan membolehkan pesakit cepat sembuh, kurang sakit dan parut kecil.

“Bagaimanapun bagi pakar bedah, kaedah pembedahan ini lebih mencabar kerana bukan saja mengambil masa lebih lama tetapi lebih rumit kerana bukaan pembedahan kecil menyebabkan pakar bedah perlu mempunyai kepakaran tinggi sebelum boleh melakukan pembedahan.

“Pembedahan ini bukan hanya melibatkan pemotongan otot tetapi banyak prosedur dan peralatan canggih bagi melancarkan pembedahan kerana jantung masih berdegup semasa pembedahan,” katanya yang telah melakukan pembedahan Minimally Invasive Cardiac kepada lebih 30 pesakit.

Selain peralatan canggih, jelas Dr. Ezani, kumpulan berpengalaman amat diperlukan semasa pembedahan bagi memastikannya berjaya.

“Kerja berkumpulan amat penting bagi melancarkan pembedahan jantung Minimally Invasive Cardiac,” katanya.

Beliau menyediakan pesakit bagi kedua-dua pembedahan kerana bukan semua pesakit sesuai menjalaninya.

Sepanjang menjalankan pembedahan berkenaan daripada 37 orang pesakit, hanya dua orang sahaja tidak sesuai atas sebab tertentu. Dr. Ezani juga berkata Minimally Invasive Cardiac menjadi pilihan pesakit kerana:

1. Luka yang kecil

2. Kurang sakit

3. Tempoh pemulihan pendek

4. Masa di wad unit penjagaan rapi (ICU)

lebih singkat

6. Risiko jangkitan rendah

7. Tempoh cuti sakit dipendekkan

“Selepas pembedahan, pesakit hanya mengalami luka kecil dan tidak menunjukkan perbezaan besar kepada gaya hidup. Biasanya pesakit sudah boleh memandu kenderaan selepas dua minggu.

“Ini kerana dalam keadaan sekarang biasanya pesakit tidak mahu cuti sakit terlalu lama dan ingin kembali bekerja dan majikan juga tidak perlu mendapatkan pengganti,” katanya.

Oleh kerana pembedahan Minimally Invasive Cardiac Surgery masih baru, hanya beberapa hopital mempunyai kepakaran melakukannya kerana memerlukan kepakaran dengan mengira kadar kejayaan sebelum boleh melakukannya.

“Kami adalah antara hospital paling awal melakukan pembedahan Minimally Invasive Cardiac sejak setahun setengah lalu setelah mengambil kira banyak perkara.

“Kami mempunyai kumpulan pembedahan yang sama dan konsisten kerana kami tidak boleh bertolak-ansur dengan sebarang kecuaian.

“Permintaan untuk pembedahan Minimally Invasive Cardiac juga amat tinggi tetapi tidak semua boleh melakukannya,” katanya.