Kadar tersebut amat membimbangkan dan dijangka terus meningkat.

Malah, Statistik Kajian Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan pesakit diabetes yang berumur 18 tahun ke atas berjumlah 3.5 juta orang, manakala pesakit yang paling muda berusia dua bulan.

Justeru itu, rakyat Malaysia perlu diberi kesedaran mengenai bahaya diabetes, biarpun sebenarnya ramai yang sudah maklum tetapi masih tidak berusaha atau mengambil sebarang tindakan bagi mengurangkan jumlah penghidapnya.

Melihat perkembangan itu, Institut Diabetes Negara (Nadi) , yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) melalui Pusat Maklumat Diabetes, D'Centers berusaha berkongsi peranan dalam menyebarkan maklumat tentang bahaya diabetes.

D'Centers menjadi pusat sumber maklumat sehenti bagi penyakit diabetes sama ada dari segi mendapatkan khidmat nasihat, rawatan mahupun program-program kesedaran.

Menurut pengasasnya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mustaffa Embong, orang Melayu terutama mereka yang menghidap diabetes adalah golongan yang paling tidak mengendahkan untuk menjaga kesihatan.

Katanya, mereka makan mengikut suka dan mengikut selera seolah-olah mereka bukan penghidap penyakit tersebut.

“Berdasarkan pengalaman, orang Melayu tidak peka mengenai kesihatan mereka. Di klinik saya, Diabetes Resource Centre di Klang, yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan, kebanyakan pesakit yang datang adalah orang Cina dan India.

“Orang Melayu yang datang boleh dibilang dengan jari. Ada beratus-ratus orang yang datang tetapi orang Melayu tidak ramai.

“Dengan kata lain, mereka tidak mahu datang. Jika datang pun, bila saya mula bercakap tentang diabetes, mereka tidak akan datang lagi selepas itu,” katanya yang juga pengerusi eksekutif (kehormat) Nadi, semasa ditemui baru-baru ini.

Kenapa orang Melayu tidak mengambil berat dan menjaga diabetes mereka?

Tambahnya, pertama, mereka tidak mengambil berat mengenai penyakit yang dihidapi dan apabila ditanya mengapa tidak dijaga dengan baik, mereka hanya senyap.

Berbeza orang Cina, sangat menghargai kesihatan mereka tetapi orang Melayu tidak.

Orang Melayu juga katanya, tidak mahu membuat diagnosis diabetes. Buktinya, satu daripada dua orang tidak menyedari mereka menghidap penyakit itu sehingga terdapat komplikasi, seperti sakit jantung, rosak buah pinggang dan buta mata.

ELAK BERLAKU KOMPLIKASI

“Ada pula yang telah diberi ubat, tetapi tidak mahu makan ubat. Alasan mereka terlupa, sibuk, ubat tidak berkesan dan bimbang badan menjadi letih dan boleh merosakkan buah pinggang.

“Diabetes perlu dikawal dengan baik supaya tidak berlaku komplikasi. Jika seseorang itu telah menghidap diabetes, ia perlu dijaga dengan baik kerana penyakit itu setakat ini, tidak boleh sembuh.

“Seseorang itu dikatakan menghidap diabetes apabila paras gula melebihi tujuh semasa berpuasa dan jika tidak berpuasa pula melebihi 11,” ujarnya yang mengakui wanita lebih ramai menghidap diabetes.

Dr. Mustaffa berkata, punca diabetes adalah berkait rapat dengan gaya hidup seperti makan berlebihan dan obesiti.

Malangnya, ramai yang penghidap penyakit itu selalunya menyatakan mereka tidak boleh mengawal nafsu makan kerana selera sedang sedap.

“Penyakit diabetes ini walau banyak mana makan ubat pun tetapi jika tidak menjaga makan, ubat tidak akan berkesan. Oleh itu, perlu menjaga makan dan bersenam jika mahu ubat berkesan.

“Ada pula berkata, mereka hendak pergi kenduri dan mungkin makan lebih, jadi mereka membuat andaian perlu makan ubat yang lebih juga. Ini pendapat yang tidak betul.

“Orang Melayu sangat percaya pada takdir. Jika mereka mendapat diabetes mereka kata kerana takdir, potong kaki kerana takdir dan mati kerana sudah ditakdirkan.

“Ada pula yang berisiko tinggi untuk mendapat diabetes kerana ibu bapa ada diabetes, badan gemuk dan tidak mahu menjaga makan. Kata mereka, kalau nak kena, kenalah.

“Mereka lebih mempercayai perubatan tradisional. Ubat-ubatan hospital tidak mahu makan. Alasan, ubat tradisional dibuat daripada bahan-bahan semula jadi,” katanya.

Sebenarnya kata Dr. Mustaffa, ramai orang Melayu mengalami kerosakan buah pinggang disebabkan memakan ubat tradisional.

Tidak dinafikan ada bahan makanan atau herba yang boleh menurunkan gula dalam darah seperti petai, hempedu bumi, peria katak dan sebagainya, tetapi perlu juga makan ubat hospital kerana herba hanya sebagai komplimentari.

Beliau menambah, orang Melayu perlu menukar pendirian mereka mengenai diabetes. Setiap seorang yang kita tahu ada diabetes sebenarnya ada seorang lagi yang tidak tahu dia ada diabetes.